Ya Allah, Atas KemuliaanMu,KeagunganMu dan Belas EhsanMu limpahkan lah hidayahMu kepada kami,semuga kami semua berjumpa dengan sebenar-benar jalan untuk kami pulang kesisiMu........


Fekah tanpa tasauf fasik,Tasauf tanpa fekah zindiq

Tuesday, June 14, 2011

PENYAKIT NAFSU DAN PENAWARNYA



'Uyub Al-Nafsi wa Dawaa'uha
PENYAKIT NAFSU DAN PENAWARNYA
(325H-412H)
oleh
Imam Abu Abdul Rahman Al-Sulami
ditahqiq oleh
Dr. Muhammad al-Sayyid al-Julainid
terjemahan oleh
A.F. Ustaz Haji A. Basit b. A. Wahab





Disalin semula oleh Bicarasufi.com
dengan keizinan
Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan


Muqaddimah
Saya telah diminta oleh beberapa orang syeikh r.m.h agar dapat menyusun satu kitab yang membicarakan perihal yang bersangkutan dengan jiwa dan nafsu manusia serta perkara-perkara yang tersirat berhubung dengannya. Saya cuba untuk menyumpurnakan permintaan ini. Lali saya susun satu buku yang berkaitan dengan ini. Saya memohon kepada Allah agar mengurniakan keberkatanNya. Semuanya saya tulis setelah mendapat jawapan yang positif daripada solat istikharah yang saya lakukan. Hanya Allah sahaja yang membalasnya dan Dia jugalah sebaik-baik Pelindung. Selawat dan salam kepada Nabi Muhammad s.a.w., keluarganya dan para sahabat.
Firman Allah SWT yang bermaksud,
".... Sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh kepada kejahatan ...."
(Surah Yusof : 53)
Firman Allah SWT yang bermaksud,
".... serta ia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu."
(Surah al-Nazi'ah : 40)
Firman Allah SWT yang bermaksud,
"Dengan yang demikian bagaimana fikirannu(wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya tuhan yang dipatuhinya ...."
(Surah al-Jathiyah : 23)

Banyak lagi ayat-ayat Al-Quran yang merakamkan tentang kejahatan nafsu serta sedikitnya kecenderungan nafsu kepada kebaikan. Hal ini dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadith baginda:1
Yang bermaksud, "Bala bencana, hawa nafsu dan syahwat telah diadun sebati dengan tubuh Adam." 2



Nota kaki:
1.Saya tidak menemui hadith ini di dalam kitab-kitab hadith tetapi dari sudut pengertiannya(matan) adalah soheh. Semoga ia adalah daripada riwayat para sufi yang boleh diterima.  [Balik]  [Atas]
2.Riwayat Abu Hurairah r.a. [Balik]  [Atas]


Penyakit Pertama
Ia menyangka bahawa ia telah berjaya mengetuk pintu ketuhanan dengan berbagai-bagai zikir dan amal ketaatan. Pintu itu memang terbuka tetapi laluan untuk rujuk kepada Allah di dalam jiwa ditutupnya, disebabkan oleh banyaknya dosa-dosa yang telah dilakukan.
Kata Ibn Masruq, pada suatu hari Rabia'ah al-Adawiyah3 telah lalu dimajlis Soleh al-Murra, lalu Soleh berkata, "Siapa yang berterusan mengetuk pintu ketuhanan Allah akhirnya ia akan dibuka," lalu dijawab oleh Rabia'ah al-Adawiyah, " Pintu itu terbuka tapi kamu lari daripadanya. Bagaimanakah kamu boleh sampai kepada matlamat perjalanan sekiranya kamu tersalah jalan sejak dari langkah yang pertama lagi? Bagaimanakah seseorang hamba itu dapat membebaskan dirinya daripada pengaruh jahat nafsunya sedangkan ia sentiasa dikuasai oleh syahwat? Atau bagaimanakah seseorang itu mampu membebaskan dirinya daripada kongkongan hawa nafsu sedangkan ia tidak menegah dirinya daripada melakukan dosa-dosa?"Kata al-Sulamiy, Ibn Abu Dunya4 berkata, para ahli hikmah berkata, "Janganlah kamu meletakkan harapan yang tinggi untuk mendapat kejayaan menuju Allah sedangkan dirimu diselaputi dosa."
Rawatannya ialah sepertimana kata Sarij al-Saqati,5"Hendaklah kamu sentiasa menurut jalan hidayah, mempastikan segala pemakanan bersumber daripada yang halal serta menyempurnakan ketakwaan kepada Allah."



Nota kaki:
3.Rabi'ah al-Adawiah ialah Rabiah binti Ismail al-Adawiyah (Umm al-Khair) hamba kepada keluarga 'Atik dari Basrah. Beliau terkenal dengan sifat wara dan zuhud di dalam dunia kesufian. Dia dilahirkan di Basrah dan meninggal dunia di Palestin pada tahun 135H. Dunia kesufian mengiktiraf beliau sebagai seorang tokoh besar yang terlibat secara langsung dalam bidang keilmuan dan menyebarkan amalan kesufian pada pengikut beliau. Para sufi dizaman itu menjadikan Rabi'ah sebagai sumber rujukan dan menampilkan riwayat-riwayat di dalam karya mereka yang telah diambil daripada Rabi'ah. antaranya ialah Kitab al-Hilyah al-'Auliya' oleh al-Esfahani;Al-Luma' oleh al-Siraj; Tabaqat al-Qubra oleh al-Sya'rani. Rabia'ah memahami pengertian yang tersendiri di dalam masaalah Mahabbah. Aliran ini tersebar luas dikalangan para sufi. Seorang pengkaji, Dr. Abdul Rahman Badawi menganggap Rabi'ah seorang tokoh yang jarang ditemui. Untuk kajian lihat Wafayat al-A'yan 1/182, Ad-Dur al-Mansur 202; Al-Syarishi 2/231, al-A'lam al-Nubala' 30/31. [Balik]  [Atas]
4.Beliau ialah Abdullah bin Muhammad bin Ubaid bin Sufian ibn Abi Dunya al-Qurausyi al-Umawi. Dilahirkan pada tahun 208H. Dan meninggal dunia pada tahun 281H. Beliau terkenal sebagai seorang daripada hafiz dalam bidang hadith dan juga terkenal dalam menulis tajuk zuhud serta ketinggian kerihanian. Imam al-Zahabi menyebut di dalam kitab Tarikhnya bahawa karya-karya Ibn Abu Dunya sebanyak 186 buah. Kebanyakannya yang menyangkut persoalan jiwa dan adab-adabnya, akhlak, zuhud, yang menjadi rujukan kepada para sufi lain. Lihat al-Fahras oleh Ibn Nadim 1/185 Siyar Tarikh Baghdad 10/89; Tabaqat Ibn Abi Ya'la 1/192, Daerah al-Ma'arif al-Islamiyah 1/72; al-A'lam al-Nubala' 4/260. [Balik]  [Atas]
5.Abu Hasan Sarij al-Saqati bin al-Mughlis adalah antara tokoh peringkat kedua dalam dunia kesufian. Ia adalah bapa saudara disebelah ibu kepada Junaid Al-Baghdadi serta Junaid sebagai gurunya. Beliau bergaul rapat dengan Syeikh Ma'ruf al-Karkhi yang juga merupakan seorang tokoh terbilang dizamannya. Al-Saqati termasuk ke dalam golongan pertama yang membicarakan persoalan al-Ahwal al-Sufiah di Baghdad. Beliau juga terkenal sebagai Syeikh kepada penduduk Baghdad ketika itu. Meninggasl dunia pada tahun 251H. Al-Junaid adalah tempat ambilan dan rujukan bagi al-Saqati. Pada suatu ketika al-Saqati ditanya tentang apakah itu aqal. Beliau menjawab, "Akal itu ialah tempat meletakkan hujah syara' samada berkaitan dengan persoalan perintah atau tegahan Allah." Beliau juga pernah berkata, "Sesiapa yang tidak dapat mengenal kadar nikmat yang diberikan untuknya, nescaya nikmat itu akan dirampas daripadanya tanpa disedarinya." Katanya, " Sesiapa yang takut kepada Allah maka dia akan ditakuti oleh segala sesuatu." Katanya, " Sesiapa yang menghiaskan diri dengan berpura-pura takut kepada Allah maka Allah akan menjatuhkannya dihadapan manusia." Sila lihat Tabaqat al-Sufiah-14, cetakan Dar al-Sya'bi. [Balik]  [Atas]


Penyakit Kedua
Apabila ia menangis maka hilanglah rasa dukacitanya dan ia berada di dalam keadaan senang hati.
Rawatannya ialah dengan sentiasa melazimi perbuatan menangis berserta perasaan dukacita oleh kerana dosa yang ia lakukan sehingga ia tidak berhajat kepada keinginan untuk bersenang hati. Oleh itu apabila seseorang diuji oleh Allah dengan perasaan dukacita, ia tidak akan menangis dengan sebab dukacita itu, bahkan ia akan merasa senang hati dan bergembira jika tangisan itu lahir daripada rasa takut kepada Allah kerana dosa yang dilakukannya. Sesiapa yang menangis kerana dukacita maka tangisan itu akan menambahkan lagi beban dukacita yang ditanggungnya.


Penyakit Ketiga
Apabila ia ditimpa mudarat ia akan mengadukannya kepada kuasa yang tidak mampu merungkai mudharat tersebut. Bagitu juga, dia akan meletakkan pergantungan harapannya kepada sesuatu yang tidak akan mampu memenuhi harapannya. Ia juga berhempas pulas dan menumpukan perhatian sepenuhnya mencari rezeki sedangkan rezekinya telah dijamin oleh Allah.
Rawatannya ialah dengan memperbetulkan keimanan dengan menyakini sepenuhnya firman Allah s.w.t. :
Yang bermaksud, "Dan jika Allah mengenakan engkau dengan sesuatu yang membahayakan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghapuskannya melainkan Dia(Allah); dan jika Ia menghendaki engkau beroleh sesuatu kebaikan, maka tiada sesiapapun yang akan dapat menghalangi limpah kurniaNya. Allah melimpahkan kurniaNya itu kepada sesiapa yang dikendakiNya dari hamba-hambaNya, ...
Firman Allah s.w.t. lagi:
Dan tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya ...
Hakikat yang telah dinyatakan oleh ayat-ayat tersebut adalah sangat jelas bahawa semua makhluk Allah itu bersifat lemah. Di suatu sudut yang lain, semua makhluk memerlukan bantuan daripada pihak lain untuk menyempurnakan kehidupannya. Bagaimanakah orang yang memerlukan bantuan untuk memenuhi kehidupannya mampu untuk mengisi keperluan hidup orang lain. Oleh itu apabila seseorang itu ternyata lemah serta tidak berkemampuan nescaya dia tidak akan dapat memperbaiki orang lain. Jadi dia perlu memperbetulkan salah faham ini dan hendaklah bergantung kepada Allah secara mutlak.


Penyakit Keempat
Dia telah mengabaikan hak-hak tertentu yang wajib ke atasnya, sedangkan sebelumnya dia telah melaksanakan hak-hak tersebut. Pengabaian ini lebih tercela apabila seseorang itu langsung tidak ambil peduli terhadap kecuaian dan kelalaian itu. Ia akan menjadi sangat tercela apabila seseorang itu tidak menyedari kelalaiannya. Keadaan ini akan menjadi lebih dahsyat apabila seseorang itu menyangka bahawa kehidupan agamanya sempurna walaupun keadaan dirinya penuh cuai.Hal ini berlaku kerana ketika ia melaksanakan hak-hak yang dituntut ke atas dirinya itu, sifat syukur yang ada di dalam dirinya kepada Allah sangat sedikit. Apabila semakin berkurangan sifat syukur di dalam dirinya, lalu kedudukan seseorang itu akan ditukar oleh Allah daripada menghayati dan menjunjung perintahNya kepada makam lalai dan cuai. Akhirnya seseorang itu akan terhijap daripada dapat melihat kelemahannya bahkan lebih dahsyat lagi, dia akan menganggap kejahatan dan dosa yang dilakukannya sebagai kebaikan. Hal inilah yang ditegaskan oleh Allah dalam firmanNya:
Yang bermaksud, "Maka (fikirkanlah) adakah orang yang diperelokkan kepadanya amal buruknya (oleh Syaitan) lalu ia memandangnya dan mempercayainya baik,?"
(Surah Fathir : 8)
Rawatannya ialah sentiasa rujuk kepada Allah dalam segala hal serta melazimi zikir-zikir tertentu, membaca Al-Quran, berhati-hati dan teliti dalam sumber rezeki dan makanan dengan mempastikan yang halal, memelihara kehormatan dan maruah umat Islam, serta memohon doa daripada auli'a Allah agar melalui doanya itu Allah akan memeliharanya daripada kelemahan dan kesalahan yang telah disebutkan sebelum ini, disamping Allah akan membukakan hijab untuknya melaksanakan ketaatan kepada Allah.


Penyakit Keempat
Dia telah mengabaikan hak-hak tertentu yang wajib ke atasnya, sedangkan sebelumnya dia telah melaksanakan hak-hak tersebut. Pengabaian ini lebih tercela apabila seseorang itu langsung tidak ambil peduli terhadap kecuaian dan kelalaian itu. Ia akan menjadi sangat tercela apabila seseorang itu tidak menyedari kelalaiannya. Keadaan ini akan menjadi lebih dahsyat apabila seseorang itu menyangka bahawa kehidupan agamanya sempurna walaupun keadaan dirinya penuh cuai.Hal ini berlaku kerana ketika ia melaksanakan hak-hak yang dituntut ke atas dirinya itu, sifat syukur yang ada di dalam dirinya kepada Allah sangat sedikit. Apabila semakin berkurangan sifat syukur di dalam dirinya, lalu kedudukan seseorang itu akan ditukar oleh Allah daripada menghayati dan menjunjung perintahNya kepada makam lalai dan cuai. Akhirnya seseorang itu akan terhijap daripada dapat melihat kelemahannya bahkan lebih dahsyat lagi, dia akan menganggap kejahatan dan dosa yang dilakukannya sebagai kebaikan. Hal inilah yang ditegaskan oleh Allah dalam firmanNya:
Yang bermaksud, "Maka (fikirkanlah) adakah orang yang diperelokkan kepadanya amal buruknya (oleh Syaitan) lalu ia memandangnya dan mempercayainya baik,?"
(Surah Fathir : 8)
Rawatannya ialah sentiasa rujuk kepada Allah dalam segala hal serta melazimi zikir-zikir tertentu, membaca Al-Quran, berhati-hati dan teliti dalam sumber rezeki dan makanan dengan mempastikan yang halal, memelihara kehormatan dan maruah umat Islam, serta memohon doa daripada auli'a Allah agar melalui doanya itu Allah akan memeliharanya daripada kelemahan dan kesalahan yang telah disebutkan sebelum ini, disamping Allah akan membukakan hijab untuknya melaksanakan ketaatan kepada Allah.


Penyakit Kelima
Dia mentaati perintah Allah tetapi tidak dapat mencapai kemanisan di dalam melaksanakan perintah itu. Hal ini berlaku kerana amal ketaatannya itu telah bercampur baur dengan unsur-unsur riya' dan tidak disertai dengan keikhlasan serta tidak menurut sunnah di dalam amalan.
Rawatannya ialah dengan melatih jiwa supaya ikhlas di dalam amalan, menuruti sunnah di dalam setiap perbuatan dan amalan serta memperbetulkan seluruh asas kehidupan supaya kesudahannya menepati kehendak kebenaran.


Penyakit Keenam
Dia mengharapkan dirinya mendapat balasan kebaikan setelah mendapati tanda kebaikan itu wujud pada dirinya.  Sekiranya ia dapat mencapai kebaikan itu nescaya orang yang jiwanya hampir kepada Allah  akan bermasam muka dan merasa malang dengan kehadirannya.Hal ini pemah disebutkan kepada sebahagian daripada para salaf, "Apakah pendapatmu terhadap  (Seseorang yang bertahan makamnya di dalam dunia kesufian di antara dua makam)?"  Lalu dijawab, "Aku pernah menyaksikan pelbagai golongan seperti itu. Kalaulah bukan kerana aku pernah menjadi seperti mereka, nescaya aku akan memohonkan keampunan daripada Allah untuk mereka.  Beginilah bentuk perjalanan  (jiwa yang hidup).
Rawatannya ialah hendaklah diketahui sekiranya Allah mengampunkan dosa-dosa mereka sedangkan Allah menyaksikan dan mengetahui bahawa keampunan yang dianugerahkannya itu akan ditukar ganti oleh mereka itu dengan melakukan dosa dan maksiat.  Oleh itu hendaklah kita merasa malu kepada Allah dan sentiasa sedar terhadap kejahatan diri sendiri.  Hal ini dinyatakan oleh al-Fudail bin 'Iyad6"Alangkah kejinya perbuatan kamu itu walaupun kamu merasakan ianya sesuatu yang baik.  Ini adalah kerana kamu telah mendahului ilmu Allah di dalam urusan tersebut." Kata Al-Sulamiy, Yahya bin Muaz7 berkata, "Berlapar itu dianggap sebagai makanan kerana dengan berlapar itu Allah akan memperkuatkan tubuh badan para siddiqin."


Nota kaki:
6.Al-Fudail bin 'Iyad bin Mas'ud bin Bisyr Al-Tamimi.  Al-Sulami telah meletakkan nama al-Fudail nama yang pertama sebagai tokoh peringkat pertama di dalam kitabnya al-Tabaqat.  Al-Fudail berasal dari bandar Marwa di sebuah kampung bernama Fandin.  Beliau dilahirkan di Samarkand dan membesar di Abyud, Turkistan.  Meninggal dunia di Mekah pada tahun 187H dalam bulan Muharram.  Para sufi banyak meriwayatkan riwayat yang ma'sur daripada beliau dan sangat terkenal dengan sifat zuhud dan warak disamping memberikan perhatian yang mendalam terhadap al-quran dan ilmu yang berkaitan dengannya.  Al-Fudail mempunyai pandangan dan ijtihadnya yang tersendiri di dalam masalah furu' fiqhiyyah yang dijadikan sumber pendalilan oleh ulama mutaakhir.  Antara kata-kata hikmahnya, "Tidak ada perhiasan yang paling indah pada diri seseorang melainkan sifat siddiq dan mencari rezeki yang halal.-, katanya lagi, "Adalah tidak sayugia bagi seseorang hafiz al quran itu menuntut keperluan hidupnya daripada makhluk.  Sepatutnya segala hajat dan keperluan makhluk berada ditangannya.  Lihat al-Tabaqat al-Sufiah, 9. [Balik]  [Atas]
7.Yahya bin Muaz (Jaafar al Razi) adalah tokoh peringkat pertama dalam tasawwuf.  Beliau membesar di dalam suasana keluarga yang terkenal dengan sifat zuhud. Memiliki minat mendalam di dalam usaha dakwah. Beliau telah merantau ke Balakh bersama saudaranya lbrahim. Apabila Ibrahim meninggal dunia di dalam perjalanan, Yahya kembali semula ke Naisabur dan meninggal dunia di sana pada tahun 285H. Dikatakan bahawa beliau pemah meriwayatkan hadis daripada Ibnu Abbas ra.  Para ulama tasawwuf banyak mengambil pendapat Yahya bin Muaz untuk dimuatkan ke dalam karya-karya mereka. Antara kata-kata hikmah Yahya bin Mu'az ialah "Tiga sifat yang perlu dimiliki oleh para aulia Allah, pertama: thiqah kepada Allah di dalam semua perkara, kedua: merasa kaya bersama Allah daripada selainnya, ketiga: Rujuk kepada Allah di dalam semua perkara.  Semuanya itu bergantung kepada sejauh mana kadar kasih hati kepada Allah sekadar itulah kasih Allah kepadanya.  Sejauh mana takut hati kamu kepada Allah maka sekadar itulah makhluk akan takut kepada kamu.  Sejauh mana kamu menumpukan perhatian kepada Allah maka sekadar itu pulalah tumpuan hati makhluk kepadamu.  Sesiapa yang merahsiakan khidmat amalnya kepada Allah sekadar itu pulalah makhluk akan merahsiakan khidmat mereka kepadanya.  Sesiapa yang senang hati dan bahagia bersama Allah sekadar itu pulalah makhluk akan merasa senang dan bahagia melihatnya."  Lihat al-Tabaqat oleh al-Sulamiy 16-27, al-Arus ala-Syarhi al-Risalah al-Qusyariyyah 1/119, Safwat al-Safwah 30, 71-80, al-A'lam al-Nubala'.90/218.[Balik]  [Atas]


Penyakit Ketujuh
Jika kamu ingin membina dan menyuburkan kehidupan akhirat kamu, terlebih dahulu hendaklah kamu mematikan keinginan terhadap (keseronokan) kehidupan duniawi.  Kamu tidak akan dapat berdampingan dengan Allah sehingga kamu mematikan keinginan nafsu kamu kepada perkara- perkara yang keji."Hal ini disebut oleh Yahya Bin Mu'az, katanya "Sesiapa yang menghampirkan diri kepada Allah dengan hati yang mendalam, Allah akan memelihara jiwanya daripada godaan nafsu.  Cara menguasai hawa nafsu itu ialah melakukan perkara-perkara yang tidak disukainya, kerana nafsu itu selama-lamanya tidak akan tunduk kepada kebenaran."
Rawatannya ialah berjaga malam untuk beribadat, berpuasa, melaksanakan kewajipan yang tidak disukai oleh nafsu serta menghalang daripada pengaruh syahwat yang berbagai- bagai.


 

Penyakit Kelapan
Nafsu itu selama-lamanya tidak akan melahirkan kebenaran. Hal ini kerana amal ketaatan itu berlawanan dengan kehendak nafsu, bahkan akan lahirlah pula pertentangan yang lebih banyak apabila seseorang itu patuh mengikut kehendak hawa nafsu dan syahwat.
Rawatannya ialah keluar daripada kongkongan nafsu itu secara keseluruhan kemudian kembali kepada Allah secara mutlak. Al-Sulamiy berkata, "Abul Qasim al-Basri berkata di Baghdad; Ibn Bazdan telah ditanya, "Atas dasar apakah seseorang itu keluar menuju kepada Allah?"Katanya,"Keluar di atas dasar dia tidak akan kembali semula ke tempat asalnya, serta dia akan memelihara dan menumpukan seluruh perhatiannya kepada Allah." Abul Qasim al-Basri berkata, "Hal itu hanya melibatkan pencarian orang yang telah menemui hakikat ketuhanan Allah"
"Bagaimana pula keadaan orang yang masih belum menemui hakikat itu?" Jawabnya, "Kemanisan iman yang lahir dipermulaan langkah menuju Allah itu akan menjadi penawar yang sangat mujarab untuk mengharungi segala kepahitan di dalam pencarian hakikat ketuhanan itu di hari-hari yang mendatang."