Ya Allah, Atas KemuliaanMu,KeagunganMu dan Belas EhsanMu limpahkan lah hidayahMu kepada kami,semuga kami semua berjumpa dengan sebenar-benar jalan untuk kami pulang kesisiMu........


Fekah tanpa tasauf fasik,Tasauf tanpa fekah zindiq

Sunday, June 05, 2011

(Jawapan terhadap Artikel "Ajaran Sufi dan Tasawuf Bukanlah dari Ajaran Rasulullah s.a.w., oleh Saudara Maben dalam weblognya) siri 1

(Jawapan terhadap Artikel "Ajaran Sufi dan Tasawuf Bukanlah dari Ajaran Rasulullah s.a.w., oleh Saudara Maben dalam weblognya)

Bismillah, Alhamdulillah, Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w....

Amma Ba’du...

Tujuan penulis yang penuh kelemahan ini, menulis sebuah risalah berbentuk jawapan bagi menjawab sedikit-sebanyak persoalan-persoalan dan pertuduhan yang ditimbulkan oleh saudara Si Pengkaji (nama yang digunakan: MABEN) yang cerdik tersebut, dalam masalah tasawuf dan sufi, menerusi tulisan beliau: “Ajaran Sufi dan Tasawuf Bukanlah Dari Ajaran Islam Yang Dibawa Oleh Rasulullah salallahulaihiwasalam” (Sumber: http://maben.multiply.com/journal/item/11 bertarikh: 21 November 2006). Tulisan penulis di bawah tajuk “Ajaran Sufi dan Tasawuf dari Islam: Satu Jawapan”, merupakan secebis penjelasan terhadap kekeliruan yang timbul dari karangan beliau-menurut penilaian penulis yang serba kekurangan ini-, dengan harapan semoga Allah s.w.t. memberi hidayah dan petunjuk kepada kita semua dalam memahami jalan menuju-Nya, berlandaskan prinsip-prinsip dan ajaran Islam dan seterusnya menjadikan kita dari kalangan mereka yang diredhai-Nya. Amin...

Tulisan ini sekadar suatu muzakarah ilmiah dengan saudara pengkaji (MABEN) yang sudi mengetengahkan dan membincangkan tajuk ini, dengan harapan supaya kita sama-sama dapat mengambil manfaat dari muzakarah ini, di samping saling nasihat menasihati antara sesama muslim, kerana ianya bermanfaat buat mereka yang beriman.

Maka bermula muzakarah ini, maka penulis berkata:

Saudara Pengkaji (semoga Allah s.w.t. memberi manfaat kepada kita dengan ilmunya) menulis tajuk karangan beliau yang berbunyi: “Ajaran Sufi dan Tasawuf Bukanlah Dari Ajaran Islam Yang Dibawa Oleh Rasulullah salallahulaihiwasalam”.

Dari tajuk yang diketengahkan oleh saudara Pengkaji ini, seolah-olah menjelaskan kesimpulan idea seluruh isi tulisan beliau, di mana, menurut beliau, ajaran sufi dan tasawuf bukanlah dari ajaran agama Islam yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.

Ada beberapa persoalan dari kenyataan yang ditimbulkan oleh saudara pengkaji berdasarkan tajuk tersebut iaitu: adakah beliau cuba menjelaskan bahawa, golongan sufi dan mereka yang mempelajari dan mengamalkan ilmu tasawuf, beramal dengan sesuatu ajaran yang bukan dari Islam?

Kalau begitu, adakah beliau bermaksud bahawa, golongan sufi tidak lagi dianggap sebagai seorang muslim, kerana mengamalkan sesuatu ajaran yang bukan dari ajaran Islam (bid’ah dholalah)?

Kalau beliau tidak menganggap golongan sufi yang mengamalkan tasawuf sebagai orang yang keluar dari Islam, walaupun mereka beramal dengan bukan ajaran Islam, bererti bagi beliau, seseorang yang mengamalkan sesuatu ajaran yang bukan dari ajaran Islam, tidak keluar dari Islam.

Kalau berdasarkan kenyataan beliau, bermaksud bahawa, golongan yang mengamalkan tasawuf yang bukan dari ajaran Islam, adalah keluar dari Islam, bererti beliau telah mengkafirkan golongan sufi. Ini merupakan suatu pertuduhan yang berat, kerana ada hadis yang menyebutkan bahawa, barangsiapa yang mengkafirkan seseorang muslim, maka salah satunya akan jatuh kafir ke atasnya.

Kalau berdasarkan kenyataan beliau, beliau bermaksud bahawa ajaran sufi dan tasawuf bukan dari ajaran Islam, tetapi mereka yang mengamalkannya tidak terkeluar dari Islam, bererti (seolah-olah) beliau membenarkan seseorang mengamalkan perkara-perkara yang bukan dari Islam (bid’ah dholalah) dan terus menggunakan Islam sebagai tempat persembunyiannya. Ini seolah-olah membuka pintu bid’ah yang lebih besar.

Kesimpulannya, berdasarkan tajuk yng dberikan, samada beliu telahpun mengkafirkan golongan sufi yang beramal dengan bukan dari ajaran Islam, atau beliau bersikap terbuka dengan sesetengah golongan yang “mengamalkan sesuatu ajaran yang bukan dari Islam”, tanpa sebarang tindakan ke atas mereka.

Oleh yang demikian, pilihan yang ketiga ialah, kembali menilai kesimpulan tersebut, dengan penelitian yang lebih mendalam, agar tidak tergesa-gesa dalam menghukum sesama muslim, dan tidak terdedah dengan budaya takfir (mengkafirkan sesama Islam) sewenang-wenangnya.

Penulis menukilkan banyak perbincangan-perbincangan yang bakal menyusul (insya Allah), dalam menjelaskan pendirian penulis, di mana ajaran sufi dan tasawuf secara umumnya, dengan makna asal penggunaannya dalam umat Islam, merupakan intipati dari ajaran Islam.

Saudara pengkaji seterusnya menulis: “Penggalian maklumat mengenai amalan sufi dan latar belakangnya sangatlah memeningkan kerana sehingga tokoh-tokoh sufi sendiri pun berbeza pendapat dan mempunyai pandangan sendiri-sendiri lantaran ilham dan waham masing-masing mengenai asal usul ajaran sufi.”

Saudara Pengkaji menulis: “lantaran ilham dan waham masing-masing mengenai asal usul ajaran sufi”

Tidak dapat dinafikan bahawa, terdapat pelbagai takrifan, ulasan dan perbahasan tentang makna dan asal usul ajaran sufi dan tasawuf. Tetapi, ianya tidak boleh dikaitkan dengan waham para sufi dan ulama’ dalam membahaskan tentang asal-usul sufi dan tasawuf, kerana mereka turut mengkaji dan membahaskan tentang tasawuf berdasarkan ilmu yang dimiliki oleh mereka. Oleh yang demikian, perbahasan-perbahasan dan takfrif yang diberikan oleh para sufi dan ulama’ tentang sufi dan tasawuf merupakan suatu ijtihad ilmiah, bukan suatu waham, seperti yang dikatakan oleh saudara Pengkaji. Penggunaan perkataan “waham” dalam memperkatakan tentang sumber ulasan para sufi dalam membincangkan tentang asal-usul ajaran sufi tidak tepat, kerana ijtihad dengan ilmu tidak boleh disamakan dengan waham, yang merupakan tingkat terendah dalam prasangka (zhon).

Mereka (para sufi) membuat ulasan tentang asal-usul ajaran sufi berdasarkan ilmu masing-masing, dan ianya merupakan suatu ijtihad, bukan suatu “waham”, dan kedua-dua istilah jauh berbeza, kerana “waham” merujuk kepada sesuatu pendapat dan persepsi yang jelas salah (di sisi mereka yang menisbahkan waham tersebut kepada seseorang), sedangkan ijtihad merupakan suatu persepsi dan pendapat yang berkemungkinan betul dan berkemungkinan salah, dalam terminologi Bahasa Arab.

Perbezaan ulasan dan penjelasan tentang sesuatu perkara bukanlah sesuatu yang memeningkan, kerana perbezaan pendapat di kalangan para ilmuan dalam sesuatu bidang ilmu, merupakan suatu perkara yang biasa, dan barangsiapa yang sudah mahir dalam membuat penyelidikan, dan bersikap adil dalam membuat pengkajian, sudah tentu mudah terbuka hati dalam mengumpul maklumat dan tidaklah sampai memeningkan diri. Semoga Allah s.w.t. membantu kita dalam mengkaji sesuatu, amin...


postedby :http://mukhlis101.multiply.com/journal/item/92