Ya Allah, Atas KemuliaanMu,KeagunganMu dan Belas EhsanMu limpahkan lah hidayahMu kepada kami,semuga kami semua berjumpa dengan sebenar-benar jalan untuk kami pulang kesisiMu........


Fekah tanpa tasauf fasik,Tasauf tanpa fekah zindiq

Wednesday, July 06, 2011

Perkara pertama yang dituntut dalam Islam ialah mengenal Tuhan

Kuliah Dari Murshid Tercinta-Sheikh Maulana Hj. Ibrahim Al-Affan





Al Jannatul Ajilah
Perkara pertama yang dituntut dalam Islam ialah mengenal Tuhan.
Ada hadis yang bermaksud: "Awal-awal agama mengenal Allah." Hanya setelah kita kenal Tuhan, barulah kita tahu betapa baiknya Tuhan kita itu. Betapa Dia sangat mengambil berat tentang kita. Betapa Dia cukup menjaga dan mencukupkan segala keperluan kita. Betapa Dia sangat melindung dan membela kita. Betapa Dia tidak ada apa-apa kepentingan terhadap diri kita dan tidak menuntut apa-apa keuntungan dari kita. Dia hanya memberi, memberi dan terus memberi dan tidak pernah mengambil apa-apa dari kita.

Betapa kasih sayang-Nya Dia terhadap kita. Diberi-Nya kita nikmat supaya kita bersyukur. Dan kalau kita bersyukur, ditambah-Nya lagi nikmat-Nya itu kepada kita. Diuji-Nya kita dengan kesusahan. Dan kalau kita bersabar, dihapuskan dosa-dosa kita dan diangkat-Nya darjat kita. Dalam nikmat-Nya ada rahmat. Dalam ujian-Nya juga ada rahmat. Alangkah baiknya Tuhan kita itu. Keampunan-Nya mengatasi kemurkaan-Nya.

Kalau kita terbuat dosa sebesar dunia ini pun, Allah akan kurniakan keampunan-Nya sebesar dunia ini juga kalau kita sudi dan mahu bertaubat dan meminta ampun dari-Nya. Disuruh-Nya kita beriman dan beramal soleh. Bukan kerana Dia akan mendapat untung apa-apa tetapi kerana Dia mahukan kita selamat hidup di dunia dan selamat hidup di akhirat. Supaya hidup kita tenang dan bahagia. Supaya di dunia ini pun kita dapat hidup seperti di syurga sebelum Syurga yang sebenar di akhirat nanti. Inilah apa yang dikatakan `Al Jannatul Ajilah` atau `syurga yang didahulukan` yang Tuhan janjikan kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

Tuhan seolah-olah bertungkus-lumus menjaga kita. Pagi petang, siang dan malam. Dia tidak tidur, tidak rehat, tidak mengantuk dan tidak penat. Dia tidak pernah melupakan kita. Kita yang selalu melupakan Dia. Namun, dalam kita lupakan Dia pun, Tuhan tetap menjaga kita. Dia tetap memberi kita rezeki. Dia Tuhan. Dia tidak perlukan kita. Kita hamba. Kita yang perlukan Dia. Tetapi Tuhan rela `memperhambakan` Diri-Nya dan bersusah-payah demi untuk menjaga kepentingan hamba-hamba-Nya.

Begitulah Tuhan. Kalau kita betul-betul kenal akan Dia, sudah barang tentu kita akan sayang dan jatuh cinta pada-Nya. Jasa dan kebaikan-Nya kepada kita tidak dapat dikira atau dihitung. Ia terlalu banyak. Tak kenal maka tak cinta. Yang tidak sayang dan tidak cinta pada Tuhan hanyalah orang yang tidak kenal akan Dia. Setelah cinta, akan timbul rasa takut pada Tuhan. Takut ini bukan macam kita takut harimau. Tuhan bukan hendak baham kita macam harimau.

Kita takut terputus cinta dengan Tuhan. Kita takut kalau-kalau Tuhan tidak peduli atau tidak endahkan kita lagi . Kita takut Tuhan tidak kisah dan tidak ambil berat tentang kita lagi . Kita takut Tuhan lupakan kita. Kita takut tersisih dari rahmat, keampunan dan kasih sayang Tuhan. 

Bagi orang yang bercinta, putus cintalah yang paling ditakutinya. Ini termasuklah bercinta dengan Tuhan. Takut inilah yang dinamakan `taqwa`. Taqwa ini banyak faedah dan kebaikannya pada diri kita. Antaranya:
* Ia menghapuskan dosa
* Ia mendatangkan syafaat
* Ia benteng dari maksiat
* Ia pemangkin untuk membangunkan syariat
* Ia boleh mencetuskan rasa bertuhan yang sangat kuat diikuti dengan rasa kehambaan yang juga kuat
* Ia membunuh sifat `hubbud dunia` atau cinta dunia iaitu ibu atau kepala segala maksiat
* Ia membakar dan mencairkan sifat-sifat mazmumah dan keji di dalam hati

Perkara kedua yang dituntut dalam Islam selepas mengenal Tuhan ialah kasih sayang . Kasih sayang sesama manusia adalah cetusan dari rasa cinta dan rasa takut kepada Tuhan . Manusia tidak akan boleh bersatu padu dan berkasih sayang kalau tidak diikat dengan tali-tali Allah.
Dalam Al-Quran, Tuhan ada berfirman:
"Berpeganglah kamu pada tali-tali Allah dan janganlah kamu berpecah belah." (Al-Imran:103) 

Tali-tali Allah di sini bermaksud rasa cinta dan rasa takut pada Allah . Kalau semua manusia cinta dan takut pada Allah, mereka akan berkasih sayang di antara satu sama lain kerana hati-hati mereka diikat kepada Tuhan yang satu. Sesiapa yang berpegang kepada Allah, mereka akan berkasih sayang sesama mereka. Tidak ada orang bergaduh kerana merebut Tuhan.

Sesiapa yang berpegang kepada dunia (apa-apa pun selain Allah), hati-hati mereka akan bercerai berai dan mereka akan berpecah belah. Memang dunia ini punca segala rebutan, pergaduhan, perbalahan, krisis, penindasan dan perpecahan.

Ada Hadis yang bermaksud lebih kurang: "Kamu tidak cinta pada Allah kalau kamu tidak cinta pada makhluk-Nya." 

Kalau cinta pada makhluk selain manusia pun sudah dianggap sebagai bukti cinta kita pada Tuhan, inikan pula cinta kita sesama manusia? Tentulah cinta dan kasih sayang sesama manusia itu lebih dituntut. Sebagai tamsilan, kalau kita hormat, sayang dan cinta kepada bos kita, sudah tentulah kita sayang juga pada kucingnya. Kalau kita pergi ke rumah bos, masakan gamak kita tendang kucingnya atau kita sengaja pijak ekor kucingnya. Kita sayang bos kita dan sudah tentu kita sayang kepada apa sahaja yang disayangi oleh bos kita itu termasuk kucingnya. Itu baru betul-betul sayang.

Samalah dengan Tuhan. Kalau kita betul-betul cinta Tuhan, automatik, kita akan sayang pada apa sahaja yang menjadi kesayangan Tuhan termasuklah sekelian makhluk-Nya. Kasih sayang juga banyak faedah dan kebaikannya pada diri kita.
Antaranya:
* Ia memudahkan kita memaafkan orang
* Kalau kita bersalah, kita mudah meminta maaf
* Kita jadi mudah mesra dengan orang
* Mudah memberi senyum kepada orang
* Bertanggungjawab terhadap jiran
* Kalau kita kaya, senang jadi pemurah
* Kalau kita miskin, mudah sabar dan tidak menganiayai harta orang kaya
* Mudah memberi bantuan kepada orang susah, menolong mereka, bersimpati atau memberi kemesraan kepada mereka.

Cuba kita lapangkan fikiran dan hati kita buat seketika dan mari kita bayangkan suatu suasana di mana hubungan kita dengan Tuhan sungguh baik iaitu kita sangat cinta pada-Nya, kita baik sangka dengan-Nya, Dialah pelindung, pembela dan penyelamat kita dan Dialah tempat kita bergantung harap dan tempat kita mengadu segala hal dan masalah. Kita betul-betul rasa Tuhan itu kita punya, Tuhan itu hak kita dan kita rela dan berbahagia menjadi hambaNya.

Bayangkan juga satu suasana di mana semua manusia disekeliling kita, baik ibu kita, ayah, isteri, anak-anak, jiran tetangga, rakan pejabat, rakan sekolah, kawan sekampung, kawan setaman, semuanya kekasih-kekasih kita belaka yang sangat kita sayang dan rindukan. Mereka juga merasakan begitu terhadap kita. Selalu bertanya khabar, bertolong bantu, ziarah menziarah, memberi hadiah dan mendoakan kita. Mereka sangat-sangat inginkan kebaikan untuk kita dan sanggup pula bersusah payah dan berkorban apa sahaja untuk kita.

Alangkah bahagianya hidup kita. Dengan Tuhan kita bercinta, Sesama manusia kita berkasih sayang. Kalau wujudlah keadaan yang seperti ini, apalagikah yang kita inginkan? Kita rasa kuat dengan Tuhan, rasa terbela sesama manusia, rasa aman, tenang, harmoni dan penuh keselamatan. Hidup di dunia bersama kekasih. Pulang ke akhirat pun untuk bertemu kekasih.

Dialog
Tentang qada` dan qadar. Qadar itu ketentuan Tuhan tetapi Qadar itu lebih kepada kemampuan kita. Maknanya kita boleh berusaha untuk lepasi qadar. Bagaimana untuk lepasi qadar yang ditetapkan?

Qada dan qadar adalah salah satu rukun iman. Siapa yang tidak percaya maka rosak imannya. Qada dan qadar ini, tidak seperti rukun Islam. Rukun Islam ada sukatannya dan boleh kita nampak. Rukun iman pula bersifat yakin manakala rukun Islam bersifat perbuatan. Jadi kalau begitu, qada dan qadar itu perlu diyakini sebagaimana kita yakin wujudnya Tuhan. Tuhan itu disuruh kita yakin bukan dengan digambarkan Nya begian-begian. Jadi Tuhan itu disuruh yakin bukan disuruh gambarkan. Begitu juga dengan qada dan qadar. Kita disuruh yakin itu seperti kita disuruh yakin kepada Tuhan, tetapi bukan disuruh untuk difasa-fasakan atau disukat-sukat. Jadi, soal kita disuruh buat itu dan ini, itu bukan kerana hendak menyukat qada dan qadar. Itu perintah yang menjadi syariat. Kita disuruh yakin dengan qada dan qadar itu seperti kita yakin adanya Tuhan. Apabila Tuhan perintahkan kita buat itu ini, bangunkan itu dan ini, maka kita berbuat. Bila kita laksanakannya, is tidak ada kena mengena dengan qada dan qadar tetapi kerana itu perintah Tuhan. Berniaga itu syariat, bertani itu syariat tetapi tidak diukur qada` dan qadar tetapi kejayaannya Tuhan yang ukur. Katalah saya bertani sungguh-sungguh. Kehendak saya hendak dapat 100 guni tapi tiba-tiba dapat 10 guni. Itu lah qada` dan qadar yang Tuhan tentukan. Bukan kita yang tentukan. Tetapi perlu diingat qada` dan qadar itu sudah janj i Tuhan. Ianya tidak sama bagi setiap orang. Kalau saudara ditakdirkan dapat 20 guni, maka saudara akan dapat 20 guni. Kalau saya ditakdirkan dapat 10 guni maka saya akan 10 guni. Yang menentukan qada` dan qadar itu bukan kita tetapi Tuhan. Kita hanya disuruh yakin sahaja.
Mencungkil Hikmah Dari Perbuatan Tuhan
Kita harus yakin bahawa tidak ada sesuatu yang berlaku di mayapada ini yang Tuhan tidak tahu. Tidak akan berlaku sesuatu kalau Tuhan tidak izinkan dan tidak kehendaki. Apa sahaja yang berlaku tidak terkeluar dari rencana, rancangan dan jadual Tuhan. Dia pentadbir sekelian alam. Gugurnya sehelai daun kering di hutan belantara, Tuhan tahu. Menetasnya seekor anak ikan di lautan yang dalam, Tuhan tahu. Matinya seekor hama di celah-celah rumput, Tuhan tahu. Sebutir pasir menjadi batu di perut bumi pun Tuhan tahu. Bahkan bukan setakat tahu. Dia yang berkehendakkan ianya jadi begitu.

Di samping itu, segala apa yang berlaku itu tidak berlaku dengan sia-sia. Tuhan tidak membuat sesuatu dengan sia-sia. Apa sahaja yang berlaku, ada tujuan dan hikmahnya. Perkara yang berlaku itu akan membawa kepada perkara yang lain. Akan mencetuskan kesan yang lain. Akan memberi implikasi kepada pihak yang lain. Ia sambung-menyambung, kait-berkait, dan bermata-rantai dengan benda-benda yang lain.

Tuhan itu berperanan dalam segala hal. Tidak ada perkara yang Tuhan tidak masuk campur. Dunia ini ibarat pentas. Tuhan itu pengarahnya. Kita ini pelakon-pelakonNya. Apa sahaja yang dilakonkan di pentas dunia ini adalah mengikut arahan pengarahnya. Boleh juga diibaratkan dunia ini seperti papan catur. Kita dan segala apa yang ada di dalam dunia ini ialah buah-buah catur. Tuhan itu pencaturnya. Kita sebagai buah catur, tidak akan dapat bergerak kalau kita tidak digerakkan. Kalau kita tidak digerakkan maka akan diam membatulah kita.
Oleh itu segala apa yang berlaku, kembali kepada Tuhan. Tuhanlah puncanya. Tuhanlah pencetusnya.

Mengetahui hakikat ini, maka kita harus pandai menilai dan membaca segala perbuatan Tuhan. Kita perlu sentiasa mencari hikmah di dalam segala perbuatanNya samada yang berlaku pada orang lain, yang berlaku di dalam negara kita, yang berlaku di negara lain, lebih-lebih lagilah terhadap apa yang berlaku pada diri atau kumpulan kita sendiri. Pada setiap yang berlaku itu ada berita, tanda, isyarat dan pengajaran yang dapat kita cungkil kalau kita mahu mencungkilnya.

Apabila berlaku sesuatu, kita perlu bertanya. Mengapakah ia berlaku? Apakah sebab ia berlaku? Apa puncanya? Apa kaitannya perkara itu dengan perkara lain? Apa akan jadi seterusnya? Siapa yang terkesan dengannya? Apakah bentuk kesannya? Siapa yang untung? Siapa yang rugi? Selepas berlaku perkara itu, akan ada atau tidak perubahan. Apa yang akan berubah? Siapa yang akan berubah? Apakah kesan daripada perubahan-perubahan itu? Apakah kehendak Tuhan dalam kejadian ini? Adakah kejadian ini berasingan atau bersabit dan bersambung dengan kejadian lain? Apakah rancangan Tuhan? Apakah pengajaran yang Tuhan mahu kita ambil? Apakah sikap kita selepas ini? Apa perubahan yang perlu kita buat? Adakah ini bala? Adakah ini ujian? Adakah ini hukuman kepada kesalahan kita yang lepas? Adakah ia balasan untuk kebaikan kita yang lepas? Apakah maksudnya dan kesannya pada diri dan perjuangan kita? Dan berbagai-bagai bentuk pertanyaan lagi.

Memang kita tidak akan dapat menjawab kesemua soalan ini. Orang yang kuat akal mungkin akan dapat menjawab sebahagian daripadanya. Orang yang terang mata hati mungkin akan dapat menjawab lebih lagi. Orang yang ada firasat dan pandang tembus mungkin akan lebih faham lagi tentang apa yang berlaku. Orang yang kasyaf mungkin sudah tahu lebih awal lagi perkara ini akan berlaku dan tahu pula segala hikmah dan rahsia-Nya.

Disebabkan segala sesuatu yang berlaku itu berpunca dari Tuhan dan Dialah yang mencetuskannya, maka kalau kita cungkil hikmah dalam apa juga hal dan kejadian, maka ia akan membawa kita kembali kepada Tuhan. Kita akan dapat lihat peranan dan tangan Tuhan. Kita akan lebih memahami iradah dan kehendak Tuhan. Kita akan lebih tahu cara Tuhan membuat sesuatu. Kita akan faham kenapa Tuhan membuat sesuatu itu. Kita akan dapat membaca jadual dan perancangan Tuhan. Kita akan tahu ke arah mana Tuhan mendorong kita.

Bila kita faham semua ini, maka segala kejadian dan perkara yang berlaku itu jadi kecil. Nikmat jadi kecil. Ujian jadi kecil. Halangan jadi kecil. Kesusahan jadi kecil. Musuh jadi kecil. Segala-galanya akan menjadi kecil. Yang kita rasa besar ialah Tuhan; yang merancangkan perkara itu berlaku. Justeru itu kita akan jadi tenang. Kita tidak takut. Kita tidak gentar. Kita tidak risau. Kita tidak bimbang. Semuanya, termasuk diri kita sendiri, adalah di dalam genggaman dan kawalan Tuhan. Mudah sahaja kita menerima apapun yang berlaku. Kita mudah sabar, mudah redha dan mudah kembali kepada Tuhan.

Tambahan pada itu, apabila kita faham dan sedar bahawa Tuhan ada peranan dalam hidup kita dan dalam apa sahaja yang berlaku pada diri kita dan diri orang lain, maka hati kita akan mudah terhubung dengan Tuhan. Kita akan dapat merasakan Tuhan sentiasa bersama kita. Tuhan itu sentiasa wujud dan berperanan dalam hidup kita. Ini akan menimbulkan berbagai-bagai rasa dalam hati kita. Rasa hebatnya Tuhan. Rasa gagahNya, perkasaNya, pengasihNya, pemurahNya dan berbagai-bagai lagi. Berikutan itu, kita akan turut rasa bersyukur denganNya, rasa malu, takut, cinta dan berterima kasih kepadaNya.

Inilah sebenarnya kerja orang-orang Rohaniah dan orang-orang sufi. Mereka sentiasa mencari-cari hikmah di dalam segala perbuatan Tuhan. Mereka sentiasa meninjau-ninjau dan mencungkil-cungkil rahsia di sebalik segala perbuatan Tuhan. Mereka mencari Tuhan melalui hikmah dan rahsia yang terkandung di sebalik feel atau perbuatanNya. Dengan cara itu, tidak lekang hati-hati mereka daripada berzikir dan merasa bertuhan. Inilah sumber ketenangan dan kekuatan mereka. Inilah sumber ilmu mereka. Inilah sumber kepimpinan mereka.

Inilah kerja yang patut kita lakukan. Akal mesti bekerja. Hati juga mesti bekerja. Akal perlu berfikir dan bertafakur manakala hati perlu berzikir dan merasa-rasakan tentang segala hikmah dan rahsia di dalam perbuatan Tuhan. Ini lebih baik dari bersembahyang sunat seribu rakaat yang tidak khusyuk. Ini lebih berkesan untuk membuatkan kita rasa insaf tentang kedhaifan, kelemahan dan kekerdilan diri kita. Kita akan rasa terlalu kecil dan lemah di hadapan Tuhan. Ini akan mendorong kita mencari perlindungan dan bergantung harap dengan Tuhan.
Janganlah kita harungi hidup ini seperti orang yang tidak sedarkan diri dan tidak tahu menahu tentang apa yang berlaku disekeliling kita. tidak ambil hirau dan tidak ambil pusing.
Kita diberi mata untuk melihat, telinga untuk mendengar, akal untuk berfikir dan hati untuk merasa dan memahami. Kita akan ditanya tentang segala nikmat-nikmat ini ke arah mana ia di gunakan.
Kalau mata tidak dapat melihat langsung mungkin kita selamat. Kalau telinga tidak dapat mendengar langsung mungkin kita selamat. Kalau akal langsung tidak dapat berfikir mungkin kita selamat. Tetapi kenapa yang buruk dapat kita lihat. Yang jahat dapat kita dengar. Yang sia-sia dapat kita khayalkan. Kalau ini semua kita boleh lakukan, kenapa pula kita tidak boleh melihat yang hak, mendengar yang baik-baik dan berfikir tentang kebenaran dan kewujudan Tuhan?
Didikan Tuhan Dalam Al Fatehah
Bila kitaperhatikan 5 ayat pertama Al Fatehah, kita dapat melihat bagaimana didikan dan tarbiah Tuhan. Stail tarbiah Tuhan itu sebenarnya ada dalam surah Al Fatehah. Kalau para guru, pemimpin dan ibu ayah boleh faham, boleh hayati dan boleh applykan kepada pengikut, anak buah, murd-murid dan anak-anaknya, insyaAllah, berkat dari Tuhan akan sangat memberi kesan. Tetapi mungkin orang tidak perasan .
Mari kita mencungkil dari susunan ayat-ayat Al Fatehah, bagaimana Tuhan mendidik manusia. Kalau ilmu ini dapat kita miliki, dapatlah kita applykan dalam kita mendidik. Sebenarnya didikan dalam Al Fatehah sangat cantik dan sistematik.
Tuhan mendidik manusia tidak secara mengejut tetapi secara tadarruj yakni beransur-ansur. Dari yang ringan-ringan kepada yang agak berat, sehinggalah yang sangat berat, sampailah matlamat yang Tuhan maksudkan. Kalau kita baca dari ayat `Bismillah` hingga "Iyyakana`budu...", banyak ilmu pendidikan yang kita dapat. Tuhan mendidik manusia tidak secara mengejut tetapi secara bertahap agar sesuai dengan akal dan fitrah manusia. Sebab Tuhan jadikan akal dan fitrah manusia tidak boleh diasak sekaligus kerana ia akan rosak. Sama ada dia tidak tahan dan jadi jumud atau dia militan dan agresif. Keduanya Tuhan tidak mahu kerana keduanya bahaya. Sebab itu Tuhan mendidik secara bertahap.
Matlamat terakhir adalah bahawa Allah itu adalah Tuhan yang mesti manusia sembah hendaknya manusia meminta tolong dari-Nya. Itu kemuncak kepada pengenalan dari didikan secara tadarrujtadi atau yang beransur-ansur. Matlamat Tuhan ialah supaya orang akui Dia Tuhan dan mesti sembah Dia. Di awal surah, Dia tidak terus kenalkan diri Nya,"Aku Tuhan." Tetapi Tuhan perkenalkan dirinya secara sedikit demi sedikit, iaitu:
1. Tuhan kenalkan diriNya dengan secara gembira atau tabsyir: 
Dalam "Bismillahirrahmanirrahim", dikenalkan Tuhan itu maha Pemurah dan maha Penyayang. Dirasakan nikmat yang terlalu banyak. Ada nikmat rohaniah, maknawiyah dan ada nikmat lahir. Bila disebut begitu, ada 2 yang tersirat yakni :
a) Ada khabar gembira. Nikmat itu adalah khabar gembira.
b) Tidak ada nikmat melainkan yang Tuhan beri. Tidak ada saluran selain dari Tuhan. Sama ada nikmat maknawi atau yang lahir.
Mungkin kita tidak terasa kerana kita sudah lama menjadi orang Islam dan sudah sering mendengar Fatehah sehingga kita sudah lali. Orang Arab, waktu mula-mula datang wahyu itu, 1500 tahun lalu, bila turun `Bismillah...`, mereka terkejut. Sebelum turunnya ayat itu, mereka fikir nikmat-nikmat itu dari jin, malaikat atau bagi hamba sahaya, dia ingat nikmat itu datang dari tuannya. Dengan turunnya ayat `Bismillah...`, mereka terkejut dan tersedar rupa-rupanya nikmat-nikmat itu datangnya dari Tuhan. Jadi dia terasa bahawa rupanya Tuhan itu baik.
2. Bila sudah faham bahawa nikmat ini khabar gembira dari Tuhan maka Tuhan mengajak memuji Dia dengan ayat " Alhamdulillah...." Bagaimana kalau tidak sebut nikmat, tidak sebut khabar gembira tetapi terus disuruh memuji Allah? Tentu orang akan rasa, kenapa hendak puji Tuhan? Begitulah cantiknya cara Tuhan mendidik manusia.
3. Selanjutnya, manusia disedarkan bahawa pujian itu tidak boleh dikongsi. Hanya untuk Allah. raja atau orang besar tidak boleh kongsi pujian itu dengan Tuhan. Kalau kongsi dengan Tuhan, itu dosa yang paling berat. Bila dikatakan nikmat itu dari Tuhan, jadi layaklah Tuhan sahaja yang boleh dipuji. Tuhan kenalkan diri Nya bahawa Dia, "Rabbul `alamin," yang mentadbir seluruh alam, dunia dan Akhirat. Orang yang mula-mula dengar ayat ini, 1500 tahun lalu merasa terkejut. "Hebat Tuhan ya. Bukan sahaja Dia beri nikmat dan Dia yang patutu dipuji, rupanya Dia itu mentadbir." Lagi terasa besarnya Tuhan itu. Bukan sahaja Dia mentadbir dunia, bahkan Akhirat pun Dia tadbir.
4. Kemudian Tuhan perkenalkan diri Nya lagi dalam "Arrahmanir rahim", diulang lagi tentang khabar gembira dan ada tanzir yang menakutkan. Cara Tuhan beri nikmat pada manusia ada 2 cara iaitu: pemurah dan cara kasih sayang . Kadang-kadang atas nama kasih sayang, Dia beri sedikit nikmat sahaja. Atas nama pemurah, Dia beri banyak. Tetapi atas nama pemurah, itu secara istidraj. Tuhan beri banyak itu secara murka. Di sini orang naik takut dan akan berfikir, adakah nikmat dari Tuhan itu dia dapat atas dasar istidraj atau atas dasar rahmat. Di sini ada tanzir, ada didikan untuk menakutkan. Sehingga bila seseorang dapat nikmat Tuhan, dia tak akan lupa diri. Tuhan beri sedikit kepada orang yang Dia sayang, atas dasar rahmat juga. Seolah-olah Tuhan kata," Buat apalah Aku beri banyak di dunia. Beri najis kepada hamba yang Aku sayang. Aku hendak simpan nikmat untuknya di Akhirat." Tetapi manusia tidak faham. Bila dapat sedikit, rasa sedih sangat. Bila Tuhan beri atas dasar pemurah, kadang Tuhan beri banyak. Di situlah murka dan laknat Tuhan. Di situlah istidraj.
5. Kemudian Tuhan kenalkan lagi diri-Nya agar cinta dan takutkan Tuhan itu bertambah. "Malikiyau middin". Dia kenalkan diri Nya bahawa Dia miliki Akhirat. Tidak sebut dunia. Di sini juga ada didikan iaitu: Kuasa mutlak itu di tangan Tuhan, tidak dikongsi langsung dengan sesiapa. Tuhan hendak sedarkan manusia bahawa dunia yang kita pandang hebat itu sehingga manusia sampai bergaduh, rupanya tidak ada nilai di sisi Tuhan. Manusia sahaja yang memandang dunia itu besar sedangkan bagi Tuhan, tidak ada nilainya sekalipun bandingan sebelah sayap nyamuk. Maka carilah dunia untuk Akhirat. Jika tidak manusia akan sangat rugi.
6. Terasa lagi kebesaran Tuhan. Setelah Tuhan perkenalkan diri-Nya dari ayat 1 sehingga 4, setelah terasa kebesaran Tuhan, maka barulah Tuhan cakap bahawa hanya Dia yang disembah dan Dia tempat meminta pertolongan. Dalam ayat ke 5 itu, setelah ilmu tentang Tuhan sudah lengkap, barulah Tuhan arahkan agar Dia disembah, "Iyyakana`budu waiyyakanasta`in".
Cara yang Tuhan lakukan itu dalam mendidik manusia, Tuhan minta agar manusia lakukan kepada manusia juga. Cara mendidik, cara mengasuh telah Tuhan tunjukkan dalam Fatehah tadi iaitu secara beransur-ansur. Cara itulah yang Tuhan minta kita buat dalam mendidik manusia sehingga akhirnya manusia menyembah Tuhan. Itulah ilmunya, teorinya.
Luar biasanya Tuhan bila Tuhan pun telah tunjukkan realiti dari teori ini atau bagaimana Tuhan aplikasikan teori ini, iaitu secara realitinya, perintah sembahyang diturunkan setelah 11 tahun kerasulan. Di peringkat awal, selama 11 tahun Tuhan turunkan ayat-ayat untuk mengenalkan Tuhan. Kalau dari awal diperintahkan sembahyang, kita akan ragu dengan teori pendidikan beransur-ansur tadi. Seolah-olah Tuhan cakap lain tetapi buat lain. Tetapi terbukti, realitinya tepat dengan teorinya. Nampak kebesaran Tuhan. Cantik sungguh didikan Tuhan. Tetapi guru-guru tidak hayati ini. Rasulullah SAW mendidik manusia dengan kenalkan Tuhan dahulu. Pada tahun ke 11 kerasulan barulah solat diwajibkan.
Itulah ilmu pendidikan yang kita dapat cungkil dari susunan ayat dalam surah Al Fatehah. Maha Besar Tuhan.
DIDIKAN TUHAN KEPADA MANUSIA
Didikan Tuhan kepada manusia sungguh sistematik dan menarik
Indah, ada hujah, berkesan dan menyedarkan manusia
Mula-mula dia inginkan rahmat dan nikmat-Nya hingga terasa kasih sayang-Nya kepada hamba-hamba-Nya
Selepas itu dia suruh hamba-hamba-Nya bersyukur kepada-Nya dengan memuji-muji-Nya tanpa berkongsi pujian dengan makhluk-Nya
Sama ada memuji zat-Nya dan sifat-sifat-Nya mahupun rahmat dan nikmat-Nya
Setelah itu Dia menyedarkan fikiran manusia dan mengusik lagi fitrah mereka
Dengan mengingatkan manusia Dia adalah pencipta alam, pentadbir, pendidik, pengawal, penjaga dan penyelamat semua
Hingga manusia tersentak lagi dibuat-Nya, terasa lagi kehebatan-Nya
Tuhan tubi lagi fikiran dan fitrah manusia cara Dia memberi nikmat kepada manusia
Tuhan berkata, orang jahat diberi nikmat atas dasar pemurah-Nya serta istidraj-Nya atau murka-Nya
Cerita ini sangat menakutkan manusia hamba-hamba-Nya
Orang yang baik diberi nikmat atas dasar kasih sayang-Nya adalah khabar gembira dari Tuhannya kerana baik dan taqwanya seseorang itu maka Dia meredhakannya
Selepas itu Tuhan susul lagi dengan memperlihatkan kebesaran-Nya lagi kepada manusia
Tuhan memberitahu Dia adalah yang memiliki dan mempunyai kuasa mutlak tanpa berkongsi kuasa-Nya dengan makhluk-Nya
Setelah Tuhan mempromosi diri-Nya pada manusia secara bertahap-tahap dan berperingkat-peringkat tanpa mengejut
Hingga manusia faham dan terasa Maha Agungnya Tuhan, dan Maha Berkuasanya Tuhan, Dia adalah segala-galanya
Setelah manusia terasa Dia adalah Tuhan dan Dia adalah tempat meminta
Maka barulah Allah Taala menyuruh menyembah-Nya dan meminta tolong kepada-Nya
Begitulah Tuhan (Allah) mendidik manusia yang para pemimpin, guru, ibu bapa mesti menirunya
Didikan Tuhan itu kalau dijadikan panduan oleh setiap pemimpin, guru-guru, ibu bapa manusia itu mudah dididik ke arah mencintai, menakuti dan mentaati Tuhannya.
Apakah Sebenarnya Erti `khusyuk`
"Apa sahaja yang kita besar-besarkan, yang kita penting-pentingkan, yang kita utamakan, yang kita cemas-cemaskan, yang kita bimbang-bimbangkan, yang kita takut-takutkan dan sebagainya, itulah yang kita khusyukkan." 
"Di mana sahaja kita berada, pada setiap masa dan ketika, kita perlu rasa bertuhan. Iaitu merasa Tuhan sentiasa melihat, sentiasa mendengar, sentiasa mengetahui tentang hal lahir dan batin dan sebagainya" 

Kita selalu mendengar dan kadang-kadang kita bincang dan kita muzakarahkan tentang khusyuk. Umumnya, orang mengkaitkan khusyuk itu dengan solat atau sembahyang.

Bila sahaja disebut khusyuk, terlintaslah di fikiran kita tentang penumpuan dan kehadiran hati dalam sembahyang. Justeru itu, ramai orang hanya mengusahakan khusyuk ketika hendak memulakan sembahyang khususnya semasa takbiratul ihram. Ketika itulah kita cuba dan berusaha untuk menumpukan perhatian dan menghadirkan hati di dalam sembahyang dengan mengikuti dan memahami apa yang kita baca dan mengelak dari memikirkan tentang perkara-perkara lain yang tidak bersabit dan tidak bersangkut-paut dengan sembahyang itu.

Kefahaman khusyuk seperti ini telah tersimpang dari erti dan maksud khusyuk yang sebenarnya. Kerana salah faham inilah maka ramai orang tidak berjaya untuk mencapai khusyuk yang sebenarnya di dalam sembahyang walaupun telah bersembahyang selama berpuluh-puluh tahun. Mereka sangka telah khusyuk dalam sembahyang, tetapi kesan sembahyang terhadap diri, akhlak dan peribadi sangat kurang atau minimum. Tidak nampak banyak perubahan pada diri dan peribadi walaupun sudah berpuluh-puluh tahun bersembahyang.

Walhal sepatutnya orang yang benar-benar khusyuk dalam sembahyang itu ada banyak kesan pada dirinya. Teguh dan kuat iman dan keyakinannya. Murni dan luhur akhlaknya. Berdisiplin hidupnya. Bersih dirinya daripada berbuat maksiat dan kemungkaran kecuali terlalu sedikit. Kuat berpegang dan mengamalkan syariat Islam dan bersih hati dan jiwanya daripada sifat-sifat mazmumah dan sifat-sifat yang keji. 

Namun begitu, jika seseorang itu sudah boleh menumpukan fikirannya di dalam sembahyang, sudah boleh mengikuti dan faham apa yang dibaca dan dilafazkannya di dalam sembahyangnya dan tidak pula teringat perkara-perkara lain di luar sembahyang dan yang tidak ada sangkut paut dengan sembahyangnya dari mula dia takbir hingga dia memberi salam, ini sudah dianggap baik. Ini pun bukan mudah untuk dicapai. Tetapi ini belum lagi dianggap khusyuk.

Kesan sembahyang seperti ini terhadap diri dan peribadi kita walaupun ada, tetapi terlalu sedikit dan tidak begitu ketara. Tuntutan supaya umat Islam itu khusyuk bukan terhad ketika di dalam sembahyang sahaja.

Umat Islam dituntut supaya berada dalam keadaan khusyuk setiap masa walau pun di luar, lebih-lebih lagilah di dalam sembahyang . Kalau kita tidak khusyuk di luar sembahyang, agak mustahil kita akan dapat khusyuk di dalam sembahyang. Kerana khusyuk itu bukan perkara akal atau fikiran atau meditasi. Khusyuk itu adalah perkara hati, jiwa dan roh. Ini melibatkan rasa. Iaitu rasa-rasa terhadap Tuhan, terhadap ciptaan-ciptaan Tuhan, terhadap diri kita sebagai hamba, terhadap dosa dan pahala, Syurga dan Neraka dan sebagainya. 

Perkara akal atau fikiran mungkin mudah memulakan dan menamatkan seperti kita membuka dan menutup suis lampu atau seperti kita menukar channel televisyen. Setakat membawa fikiran dan kesedaran akal kita ke dalam sembahyang mungkin lebih mudah dan boleh dibuat ketika kita bertakbiratul ihram. Tetapi untuk membawa rasa , ini mustahil.

Kalau rasa khusyuk tidak wujud di luar atau sebelum sembahyang, maka ia terus tidak akan wujud di dalam dan di sepanjang masa kita bersembahyang. Sebab perkara roh, hati dan jiwa yang membawa kepada rasa-rasa ini ialah hasil dari penghayatan dan penjiwaan. Ia tidak boleh dibuka atau ditutup atau di off kan atau di on kan ikut sesuka hati kita. Ia adalah keadaan dan sifat hati itu sendiri.
Kalau ada rasa khusyuk maka khusyuklah dia. Kalau tidak ada maka dia tidak akan dapat khusyuk.
Allah ada berfirman: Di mana sahaja kamu berada, di situ ada Tuhan. Ini membawa maksud bahawa di mana sahaja kita berada dan pada setiap masa dan ketika, kita perlu rasa bertuhan. Iaitu merasa Tuhan sentiasa melihat, sentiasa mendengar, sentiasa mengetahui tentang hal lahir dan batin dan sebagainya. 

Dalam erti kata yang lain, kita sentiasa disuruh rasa bertuhan lebih-lebih lagilah di dalam sembahyang. Malahan di dalam sembahyang, rasa bertuhan ini patutnya lebih subur, lebih hidup dan lebih tajam kerana dalam sembahyang itu ada disiplin, rukun-rukun dan syarat-syarat sah batalnya. Kalau kita belum khusyuk di luar atau sebelum sembahyang, dan hanya mampu membawa akal dan fikiran kita sahaja ke dalam sembahyang, paling tinggi kita hanya akan dapat menumpukan perhatian dalam sembahyang dan tidak lebih dari itu.

Kita tidak dapat rasa hebat dengan Tuhan, rasa Allah itu Maha Agung, Maha Berkuasa, Maha Perkasa, Maha Pengampun, Maha Penyayang dan sebagainya. Jauh sekalilah dapat kita rasa berkasih sayang, bermanja-manja, meminta-minta, mengadu-ngadu, berbual-bual, berdailog atau mencurahkan segala rasa dan isi hati kita kepada Tuhan.

Sebenarnya perkara yang kita khusyukkan ialah apa sahaja yang mengisi dan memenuhi hati dan jiwa kita. Ertinya apa sahaja yang kita besar-besarkan, yang kita penting-pentingkan, yang kita utamakan, yang kita cemas-cemaskan, yang kita bimbang-bimbangkan, yang kita takut-takutkan dan sebagainya, itulah yang kita khusyukkan.

Kalau rumah, kereta atau perniagaanlah yang mengisi hati dan jiwa kita hingga itulah yang kita ambil berat lebih dari segala-gala yang lain, maka itulah dia perkara yang kita khusyukkan. Sudah barang tentu rumah, kereta atau perniagaan itulah yang akan kita bawa ke dalam sembahyang.

"Khusyuk bagi orang mukmin ialah jiwa tauhidnya yang sangat mendalam dan rasa bertuhan serta rasa kehambaan dalam jiwanya begitu kuat hingga ia memenuhi seluruh pelosok hati dan perasaannya. Rasa ini tidak lekang dan dibawanya ke mana-mana. Rasa cinta dan takutnya kepada Tuhan menguasi fikiran dan jiwanya. Dia khusyuk di luar sembahyang dan dia lebih-lebih lagi khusyuk di dalam sembahyang."
Bagi orang yang belum mukmin dan ringan ketauhidannya atau bagi orang yang hanya berfikiran tauhid dan belum berjiwa tauhid atau bagi orang yang alimbillah (tahu Tuhan), yang belumarifbillah (betul-betul kenal Tuhan), ibadah mereka selalunya tidak ada kualiti dan tidak sampai ke tahap khusyuk. Ibadah mereka belum ada kemanisan dan mereka rasa berat untuk beribadah. Mereka beribadah dalam terpaksa. Ini sungguh perit dan menyeksakan.

Sembahyang yang benar-benar khusyuk itu ialah sembahyang yang sentiasa mempunyai rasa-rasa yang berubah dari satu rasa ke satu rasa yang lain sesuai dengan rukun dan bacaan dalam sembahyang dari mula takbiratul ihram hingga kepada salam. Untuk mencapai rasa-rasa ini, ia mesti terlebih dahulu diusahakan dalam keadaan biasa di luar sembahayng. Hanya di dalam sembahyang ia disubur, dihidup dan ditajamkan lagi supaya kita lebih dapat berinteraksi, berhubung hati dan berhubung rasa dengan Tuhan.
Mutiara Dari Sufi Perihal Solat
As Sholah melalui :–  Perjalanan Menuju Allah

1-    Bacaan & Gerakan Solat
2-    Berdiri
3-    Niat
4-    Takbiratul Ihram & Mengangkat Kedua Tangan
5-    Do’a Iftitah
6-    Membaca Ta’awwudz
7-    Membaca Surat Al Fatihah
8-    Membaca beberapa ayat dari Al Qur’an
9-    Ruku’
10- Iti’dal ( Berdiri dari Ruku )
11- Sujud Dufuk Iftirasy ( Duduk diantara 2 Sujud )
12- Tasyahud Awal dan Akhir
13- Salam

     “Tidakkah engkau mengetahui bahwa sesungguhnya bertasbih kepada Allah siapa pun yang ada di langit dan bumi, dan burung dengan mengembangkan sayapnya. Sungguh setiap sesuatu mengetahui cara shalatnya dan cara tasbihnya masing-masing. Dan Allah Maha Mengetahui terhadap apa yang mereka kerjakan.” ( QS. An Nuur : 41 )

      Beberapa waktu-waktu terakhir kita bisa bersyukur, karena telah banyak buku-buku yang beredar di masyarakat yang membahas  mengenai solat, termasuk didalamnya
latihan solat “khusyu’” yang diadakan oleh beberapa pihak.Menegakkan solat harus diawali dengan sebuah pengetahuan tentang hal – hal yang menyertainya. Kerana amal sedikit diharungi dengan ilmu pengetahuan, adalah lebih baik daripada amal banyak tentang penuh kebodohan, rukun sehingga adab pengetahuan lahir mendalam batin syarat, termasuk maupun menjadi hal mutlak, bila ingin menjejaki “perjalanan dalam shalat”. 

       Wudhu merupakan tahap pendahuluan dalam proses “penyucian yang agung” dengan menggunakan “air yang merupakan rahsia kehidupan dan hidup itu sendiri” laksana proses penyucian yang dilakukan Jibril kepada Rasulullah dengan menggunakan air suci “zamzam” dengan membelah dada hingga hilang segala hasad dan dengki, bahkan terisi dengan berbagai ilmu dan  iman.


        As Sholah – Perjalanan Menuju Allah dan hikmah, sehingga boleh diperjalankan dalam “Isra’ dan Mi’raj” sebuah perjalanan spiritual yang menjadi titik balik kemenangan, setelah diterpa berbagai ujian dalam kehidupan Rasulullah beserta kaumnya pada saat itu. Proses penyucian dalam wudhu tak sekadar siraman air yang tanpa makna, namun hakikatnya melebihi dari ritualnya itu sendiri, kerana wudhu yang sebenarnya merupakan proses pembersihan jiwa dari segala noda dan cela yang dilakukan oleh nafsu – nafsu dunia yang telah memperalat tangan, wajah, kepala dan kaki.

       Setelah dibersihkan mulai dari segala noda – baru si hamba diperbolehkan memasuki halaman agung. Halaman menghadiri “pertemuan dari segala keagungan. Jauh… Jauh melebihi batas keagungan yang terbisik oleh fikiran dan akal manusia itu sendiri”. Kemudian saat undangan suci  “menuju kemenangan”  diperdengarkan, maka  hatipun begitu bergejolak untuk mendatanginya, sekalipun dengan “merangkak” kerana begitu menggelora keinginan rindunya, untuk mendatangi pertemuan dengan Sang Kekasih.

       Dengan berpakaian si “tawadhu” hamba pun membuang – pakaian-pakaian yang selama ini melangkah dengan  “kesombongan” ,  tertatih-tatih halaman “tempat pertemuan” dengan penuh kegelisahan “  takut akan tertolaknya penghadapannya” dan rasa malu yang begitu tinggi, atas keburukan – keburukan perangai dan tingkah lakunya, dengan pakaian “hijab malakut” oleh Sang Kekasih, sehingga orang lain tidak mengetahui kekotorannya.

       Kemudian, ditengah keputus-asaan dan harapan akan rakhmat dan kasih sayang yang begitu agung dari Sang Kekasih, si hamba mulai berdiri dengan lurus, menghadapkan wajahnya kepada Sang Kekasih dan menutup semua kekerdilan – kekerdilan di belakangnya, hanya satu….. menatap Sang Maha Agung dari Segala Keagungan Yang Ada, hingga terbukalah pintu pertama saat lisan terkata-kata - berucap, “Allahu Akbar (Allah Maha Besar )”, kemudian si hambapun melangkah dengan penuh rasa malu, dan tawadhu karena melihat KeAgungan yang belum pernah tergambarkan oleh dirinya.

       Iapun terus memuji – muji Sang Kekasih, kerana telah memberi “tanpa “perkenan-Nya”  untuk ia masuk kedalam golongan yang bukan terdiri dari syaitan yang jatuh terkutuk dan  tersungkur.  Tersadar hamba itu kerana begitu ngeri yang tanpa batas melihat kengerian di hari “yaumid diin”  hingga Sang Kekasihpun melimpahkan “Limpahan Rahmat-Nya” setelah sihamba memohon supaya digolongkan ke dalam “orang-orang yang beruntung dan bukan golongan orang – orang yang sesat”.

      Demikianlah, si hamba terus melangkah dan melangkah sampai “mendengar dan menyaksikan” semua sujud dan tasbihnya semua makhluk di langit dan bumi hingga iapun terjatuh dan terjatuh lagi karena tidak sanggup melihat keagungan dan keluasan yang dia saksikan. Ini adalah sekelumit lintasan yang tergambar melalui tulisan ini, dan sebenarnya tulisan inipun tidak akan menampung begitu maha luas dan mendalamnya “keindahan perjalanan dalam shalat”. Yang tertulis disinipun hanya kata dan ungkapan.

      Namun ingatlah, bahwa perjalanan itu bukannya merupakan perjalanan yang mudah, mutlak diperlukan bimbingan dari “sang mursyid mukammil” untuk boleh berjalan dengan benar. Kerana godaan di kiri kanan perjalanan itu sendiri banyak jumlah dan variasinya.
20 Peranan Ilham

Di waktu ini, wahyu sudah tidak turun lagi. Ini kerana wahyu adalah untuk para nabi dan para rasul; dan nabi dan rasul sudah tidak ada lagi. Rasulullah s.a.w adalah penutup segala nabi dan rasul.
Mungkin ada orang bertanya, kenapa Tuhan tidak terus turunkan wahyu kepada manusia selepas wafat Rasulullah supaya manusia akan terus mendapat panduan dari Tuhan. Sebenarnya tidak perlu wahyu itu terus diturunkan kerana agama Islam sebagai agama penutup telah selesai diturunkan dan telah pun disempurnakan oleh Tuhan. Manusia tidak perlu lagi kepada wahyu. Al-Quran itu, sudah cukup dan lengkap dan sesuai digunakan sebagai panduan untuk sepanjang zaman.
Namun begitu, tidak benar kalau kita katakan bahawa dengan tidak adanya wahyu, Tuhan sudah tidak berhubung lagi dengan manusia. Tuhan masih berhubung dan memberi ilmu dan kefahaman kepada manusia terutama dalam memahami ayat-ayat Al-Quran dan hadis yang maksudnya belum jelas atau yang perlu dijelaskan untuk panduan manusia di sesuatu zaman yang tertentu. Zaman berubah, tamaddun berubah, fikiran dan cara hidup manusia berubah. Oleh itu tafsiran ayat-ayat Al Quran atau hadis perlu difahami sesuai dengan zaman yang beredar. Di sinilah peranan ilham. Ilham diberi oleh Tuhan kepada orang-orang yang dipilihNya atau wakilNya terutama Mujaddid Nya untuk menerangkan maksud ayat-ayat dan hadis di dalam konteks dan suasana zaman yang berkenaan. Al-Quran, hadis dan hukum-hakam tidak berubah. Ia didatangkan melalui wahyu dan sudah lengkap. Tetapi fahaman terhadap ayat dan hadis itu boleh dijelaskan, dikuatkan atau ditambah dengan fahaman-fahaman baru dengan tidak menafikan fahaman-fahaman lama, sesuai dengan perubahan dan peredaran zaman dan tuntutan semasa.
Di samping itu, kita tahu bahawa maksud sesuatu ayat Al-Quran itu berlapis-lapis. Ada dalil mengatakan sampai tujuh lapis. Satu-satu ayat boleh mengandungi berbagai-bagai maksud. Mungkin pentafsir-pentafsir Al-Quran sebelum ini telah mencungkil dua, tiga atau empat maksud dari sesuatu ayat mengikut kemampuan dan ilham yang diberi Tuhan kepada mereka sesuai dengan zaman mereka. Akan ada lagi tafsiran-tafsiran lain melalui pentafsir-pentafsir lain bagi mengkayakan lagi maksud ayat-ayat tersebut sesuai dengan zaman yang beredar. Inilah peranan ilham yang diberikan oleh Tuhan kepada wali-waliNya.
Akan tetapi harus diingat bahawa ilham bukan wahyu. Ilham tidak membawa agama baru. Yang mendapat ilham bukan nabi dan bukan rasul. Mungkin hanya bertaraf wali. Ilham hanyalah bantuan Tuhan kepada manusia supaya dapat lebih memahami ayat Quran dan hadis. Banyak ayat dan hadis yang maksudnya tidak jelas atau berlapis-lapis. Kalau tidak jelas, maka ia tidak dapat digunakan sebagai panduan. Mustahil Tuhan akan biarkan panduanNya untuk manusia tidak difahami hingga berlaku salah faham dan pergaduhan di kalangan manusia disebabkan ayat atau hadis yang tidak difahami itu. Tuhan bukan bermain-main dalam hal ini.
Sebagai contoh, ada ayat Al-Quran, yang bermaksud:
“Patutkah manusia menyangka bahawa kami tidak akan dapat mengumpulkan tulang-tulangnya. Bukan sebagaimana yang disangka itu, bahkan kami berkuasa menyusun jari tangannya”
Di suatu era, susunan tulang jari jemari tangan manusia yang kompleks dan rapi itu sendiri dikagumi ciptaannya. Di era yang lain, fungsi tangan manusia yang begitu tersusun rapi tulang-tulangnya hingga membolehkan tangan manusia digunakan untuk berbagai fungsi, boleh menggaru, boleh mencubit, boleh menampar, boleh menggosok, boleh menumbuk, boleh memegang, boleh meramas, boleh menyucuk, boleh mencungkil, boleh memerah, boleh mematah, boleh menguli, boleh mengurut, boleh menggengam dan berbagai-bagai lagi yang tidak boleh dibuat oleh tangan makhluk lain, itulah yang dikagumi. Di era sekarang, cap ibu jari tangan manusia yang tidak sama di antara satu sama lain, itu pula yang dikagumi. Walaupun kawasan permukaan ibu jari manusia itu berukuran satu inci kali tiga suku inci, tapi ia boleh mengandungi cap ibu jari yang berbeza-beza di antara berbil
l
ion-billion manusia. Tidak ada satu pun cap ibu jari manusia yang sama dengan yang lain. Inilah peranan ilham dalam memahami sesuatu ayat dari era ke era.
Ada pula hadis yang bermaksud:
“Apabila As-Sufyani tiba di Kufah, dia lalu membunuh pengikut-pengikut keluarga nabi Muhammad s.a. w; maka Al Mahdi akan datang dan pembawa panji panjinya adalah Shuaib bin Soleh. "
Siapa As-Sufyani? Siapa Shuaib bin Soleh? Kalau berdasarkan hadis ini sahaja, tidak ada siapa yang tahu dan akan faham maksudnya. Itu belum lagi soal “Abqo", soal “A'raj” dan lain-lain lagi yang terkandung di dalam beberapa hadis tentang akhir zaman. Tidak ada siapa yang faham akan maksud istilah-istilah yang terkandung di dalam hadis-hadis tersebut.
Jelas bahawa ada ayat dan hadis yang tidak akan dapat difahami kalau tidak dikupas dengan ilham. Di kalangan manusia, ada yang diberi ilmu dan ada pula sebilangan yang diberi hikmah. Hikmah ialah ilmu dalam ilmu yang hanya dapat dikupas dengan ilham. Begitulah peranan ilham.
Ada hadis yang bermaksud:
"Barangsiapa yang diberi kepadanya hikmah, dia sesungguhnya telah mendapat kebaikan yang banyak. "
Ada pula pihak yang berkata bahawa ilham tidak boleh diambil kira sebab ia bukan sumber hukum. Sumber hukum hanya empat iaitu; Al-Quran, Hadis, ijmak dan qias. Ini memang benar. Ilham tidak boleh dijadikan sumber hukum. Ia tidak boleh menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal. Tetapi ilham boleh membantu dalam memahami ayat Quran dan hadis yang kedua-dua itu adalah sumber hukum.
Dalam Islam, ilham tidak boleh dinafikan. Banyak kisah dalam Al-Quran yang membuktikan bahawa ilham itu wujud. Di antaranya ialah ilham yang diberi Tuhan kepada ibu Nabi Musa supaya menghanyutkan anaknya itu ke dalam sungai Nil, untuk mengelak dari dibunuh oleh tentera Firaun.
Ilham adalah rasa yang dicampakkan oleh Tuhan ke dalam hati para walinya. Ilham tidak ada campur tangan akal. Wahyu dikhususkan untuk para nabi dan rasul. Hanya mereka sahaja yang mempunyai jiwa yang kuat untuk menerima wahyu sebab mereka itu dididik terus oleh Tuhan dari mulanya. Manusia tidak ada campur tangan dalam mendidik para nabi dan rasul. Kalau wahyu diturunkan kepada yang bukan nabi dan rasul, maka dia akan mati kerana kekuatan jiwanya tidak memadai untuk menerima wahyu. Pernah Rasulullah mendapat wahyu ketika berada di belakang unta. Berpeluh-peluh dahi baginda dan untanya terjelapak ke bumi kerana terlalu berat penanggungannya.
Para wali Tuhan hanya mampu menerima ilham. Jiwa mereka tidak cukup kuat untuk menerima wahyu. Ini kerana mereka tidak dididik oleh Tuhan sepenuhnya. Manusia ada campur tangan dalam mendidik para wali terutama di peringkat awal kehidupan mereka sebelum Tuhan mengambil alih mendidik mereka itu. Ini juga satu sebab kenapa wahyu tidak diturunkan lagi selepas wafat Rasulullah SAW. Tidak ada lagi orang di dunia ini yang cukup kuat jiwanya untuk menerima wahyu.

Berilmu Belum Tentu Selamat

Tidak dapat dinafikan betapa pentingnya ilmu itu dalam kehidupan. Tanpa ilmu, manusia akan menjadi kaku.Hendak berbuat, tak tahu caranya. Hendak bergerak,tak tahu langkahnya. Hendak berpergian, tak tahu arah tujuannya.Untuk menguruskan hal dunia, kita perlu kepada ilmu.

Untuk menguruskan hal Akhirat pun, lebih-lebih lagi kita perlu kepada ilmu. Islam amat menitikberatkan tentang ilmu. Tidak serupa orang yang berilmu itu dengan orang yang tidak berilmu. Allah mengangkat orang-orang yang berilmu itu beberapa darjat. Allah lebih suka kepada ulama yang fasiq daripada orang jahil yang taat. Orang yang jahil itu adalah seteru Allah.Ilmu itu ibarat obor yang menyuluh.

Dengan ilmu, kita dapat melihat jalan-jalan yang patut ditempuh. Dengan ilmu, kita dapat melihat mana jalan yang benar dan mana jalan yang salah; mana jalan yang baik dan mana yang buruk; dan mana jalan yang hak dan mana jalan yang batil. Orang yang mempunyai ilmu itu ibarat orang yang mempunyai obor di malam yang gelapgelita.Dia boleh menerangkan kegelapan untuk dirinya dan juga untuk orang lain.dengan ilmunya. Hanya setakat tahu, belum tentu ilmu itu dapat memberi kebaikan atau manfaat kepada yang memilikinya.

Berlainan dengan faham. Faham itu ialah tahu lahir dan batinnya, tahu yang tersurat dan yang tersirat di sebaliknya.Akan tetapi, ilmu semata-mata tidak menjamin apa-apa. Kalau banyak pun ilmu yang dimiliki oleh seseorang itu, tidak bermakna dia akan selamat dari terjerumus ke dalam lembah dosa dan maksiat. Seperti juga orang yang mempunyai obor, tidak semestinya dia tidak akan sesat atau tidak akan tersungkur.

Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: Sesiapa yang Allah menghendaki kebaikan baginya, Dia akan memberinya faham tentang agama. 
Tidak dikatakan akan diberinya ilmu tentang agama. Jadi, orang yang mempunyai ilmu itu tidak semestinya dia faham dan tidak semestinya dia dapat beramal, sesuai dengan ilmunya. Hanya setakat tahu sahaja, belum tentu ilmu itu dapat memberi kebaikan atau manfaat kepada orang yang memilikinya.

Berlainan dengan faham. Faham itu ialah tahu lahir dan batinnya, tahu yang tersurat dan yang tersirat di sebaliknya.Di samping ilmu, apa yang sebenarnya kita perlukan ialah taufiq iaitu pimpinan Allah. Dengan taufiq, segala amal perbuatan kita akan setentang atau tepat dengan ilmu. Barulah ilmu itu menjadi ilmu yang bermanfaat bagi kita dan dapat kita menjadi orang yang beramal dengan ilmunya. Islam itu ialah iman, ilmu dan amal.

Tanpa taufiq inilah maka kita sering lihat orang yang amalannya tersimpang dari ilmunya. Tidak kurang kita lihat orang yang mengajar ilmu tauhid tetapi dia sendiri tidak mampu berjiwa tauhid. Atau orang yang alim tentang hukum sembahyang, tetapi dia sendiri tidak mendirikan sembahyang.Atau ulama-ulama yang secara terus-menerus terlibat dengan dosa-dosa besar. Atau ulama-ulama yang mengubah hukumhakam untuk menjaga kepentingan pangkat, jawatan dan kedudukannya, dan yang menggunakan ilmunya untuk membenarkan tindak-tanduknya yang salah.

Malahan ada manusia yang bertaraf profesor di universitiuniversiti di Barat yang hafaz Al Quran dan hafaz beribu-ribu hadis, lengkap dengan perawinya, bahkan pula layak memberi ijazah dan Phd. pengajian Islam kepada graduan-graduan Islam, tetapi mereka sendiri tetap kufur dan tetap tidak beriman kepada Allah.

Ulama yang tidak beramal dengan ilmunya akan masuk Neraka 500 tahun lebih dahulu dari penyembah berhala. Dan di kalangan ulama ada yang digelar ulama suk atau ulama jahat yang kerjanya melarang manusia menuju kepada Tuhan dan menyusahkan manusia membuat kebaikan dan kebajikan.Maksiat dan kemungkaran tidak pula dilarang atau ditegurnya.

Rasulullah SAW memerintahkan kita supaya lari dari ulama jahat seperti ini seperti mana kita lari dari singa yang ganas.Dunia telah masuk dan bersarang di dalam hati-hati mereka.Mereka merosakkan agama di atas nama agama.Ilmu itu amanah Allah. Kalau kita diberi ilmu, kita bertanggungjawab.Kita perlu mengamalnya, menyampaikan atau mengajarnya dan memperjuangkannya. Di Akhirat nanti, kita akan disoal tentang ilmu yang ada pada kita itu.
Apa Sebenarnya Dunia
Dunia ini ciptaan Allah sebagai salah satu dari nikmat dan rahmat-Nya untuk manusia. Ini kita semua faham. Tetapi dalam pada itu, Islam mencemuh dunia. Allah ada berfirman
"Dunia ini hanyalah mata benda yang menipu. " (Ali Imran : 185)
Rasulullah SAW juga ada bersabda:
"Dunia ini ibarat bangkai. Hanya anjing sahaja yang akan merebut bangkai "
Kalaulah dunia ini menipu dan dunia ini ibarat bangkai, kenapa Allah cipta dunia ini? Kenapa kita dihantar pula ke dunia ini? Tak boleh ke kita ambil dan kita guna dunia ini? Kalau tak boleh, matilah kita. Apa kita hendak makan? Apa kita hendak minum? Apa kita hendak pakai? Di mana kita hendak tinggal ?
Sebenarnya apa yang dikatakan Dunia itu bukan setakat dunia lahir ini sahaja dan segala macam mata benda yang terkandung di dalamnya. Dunia termasuk juga perkara-perkara yang maknawi dan yang bukan material. Memang wang ringgit dan harta kekayaan itu dunia. Kereta itu dunia. Rumah itu dunia. Akan tetapi gelaran dan darjah kebesaran seperti Dato', Tan Sri, Tun dan sebagainya adalah juga dunia. Pujian dan glamour juga dunia. Populariti juga dunia. Kemegahan dan kemasyhuran juga dunia. Pengaruh juga dunia.
Termasuk juga apa yang dikatakan dunia ialah perkara-perkara dan perbuatan yang sia-sia. Tengok wayang adalah dunia. Berpesta-pesta dan berpeleseran adalah dunia. Berfoya-foya adalah dunia. Menonton perlawanan bola sepak atau perlumbaan kereta formula 1 adalah dunia. Menonton konsert rock, ronggeng dan joget adalah dunia. Bermain terup dan pakau juga dunia.
Perkara dan perbuatan maksiat sudah tentulah dunia. Tidak ada maksiat yang bukan dunia. Semua maksiat adalah dunia. Minum arak adalah dunia. Berjudi adalah dunia. Bergaul bebas lelaki perempuan, berdansa dan berzina adalah dunia. Salah guna dadah adalah dunia. Rasuah adalah dunia. Menipu, mencuri, pecah rumah dan merompak kesemuanya adalah dunia.
Malahan ada rasa dan amalan hati yang juga dikira dunia. Riak adalah dunia. Ujub adalah dunia. Sum'ah adalah dunia. Megah dengan kekayaan dan keturunan itu dunia. Hasad dengki, ego, sombong dan angkuh kesemuanya adalah dunia.
Yang sedihnya, kadang-kadang sembahyang pun jadi dunia. Puasa jadi dunia. Baca Quran jadi dunia. Sedekah jadi dunia. Naik haji jadi dunia. Belajar ilmu agama sampai alim pun jadi dunia.
Sebenarnya, apa pun boleh jadi dunia. Dunia atau tidak sesuatu benda atau perkara itu bukan terletak kepada benda atau perkaranya. Ia bergantung kepada tujuan dan matlamatnya. Kalau sesuatu benda atau perkara itu, natijahnya terhenti setakat dunia maka jadi dunialah dia. Tetapi kalau natijahnya membawa kepada kebaikan, kepada keredhaan Allah dan ada pula nilai pahalanya, maka ia sudah tidak jadi dunia lagi. Ia sudah jadi Akhirat.
Benda dunia pun seperti harta benda dan wang ringgit, kalau digunakan untuk bersedekah atau berjihad kejalan Allah, maka harta benda dan wang ringgit itu sebenarnya sudah diakhiratkan. Ia bukan dunia lagi. Ilmu dunia pun seperti ilmu kedoktoran,kejuruteraan dan sebagainya, kalau digunakan untuk berkhidmat kepada masyarakat dan merawat orang yang sakit kerana Allah, maka ia sudah jadi Akhirat. Sebaliknya amalan Akhirat sekalipun seperti sembahyang, bersedekah, berdakwah dan membaca Quran kalau dibuat dengan tujuan untuk riak dan menunjuk-nunjuk, untuk mendapat duit, nama dan pujian dan untuk mendapat pengaruh, maka ia sudah jadi dunia. Tidak ada nilai Akhiratnya. Inilah yang menipu. Inilah yang diibaratkan sebagai bangkai.
Perkara sia-sia dan maksiat sudah tentu tidak ada kebaikan padanya. Ia hanya membuang masa dan mendatangkan dosa dan kemurkaan Allah. Oleh itu, perkara sia-sia dan maksiat akan tetap jadi dunia dan mustahil dapat diakhiratkan. Tambahan lagi kita tidak boleh berjudi, minum arak, berzina, menipu, mencuri dan merompak dan diniatkan pula semua itu kerana Allah kerana semua itu adalah perbuatan yang dilarang oleh Allah. Oleh itu tidak ada nilai Akhirat sedikit pun bagi perbuatan yang seperti itu.
Konsep dunia untuk dunia atau dunia habis di dunia dinamakan sekularisme. Fahaman sekularisme tidak mengambil kira tentang Akhirat dan tidak mengkaitkan soal kehidupan di dunia dengan Akhirat. Dalam fahaman sekularisme, Akhirat tidak wujud.
Sekularisme ialah fahaman yang umum. Apa sahaja amalan, sistem dan ideologi, kalau tidak ada kaitan dengan Akhirat atau tidak dikaitkan dengan Akhirat adalah sekularisme. Oleh itu komunisme adalah sekularisme. Sosialisme adalah sekularisme. Demokrasi pun adalah sekularisme. Bukan sahaja sistem-sistem ini tidak ada kaitan dengan Akhirat, ia juga bertentangan dengan syariat dan apa yang dikehendaki oleh Islam. Oleh itu nilai Akhiratnya ternafi dengan sendirinya.
Kapitalisme juga adalah sekularisme. Sistem kewangan dan perbankan berasaskan riba juga sekularisme. Semua sistem ini adalah sistem-sistem dunia yang dicipta oleh akal manusia. Akal manusia tidak ada mencipta apa-apa sistem yang tidak sekularisme. Semua sistem ciptaan akal manusia adalah sekularisme. Akal manusia sebenarnya tidak mampu mencipta apa-apa sistem yang terkeluar dari tujuan dan pengaruh dunia atau sekularisme. Tambahan lagi, yang mencipta sistem-sistem ini adalah orang-orang yang kufur dengan Allah dan tidak yakin dengan Akhirat.
Akhirnya di dunia ini hanya ada dua sistem sahaja iaitu sekularisme dan Islam. Satu adalah hasil ciptaan akal manusia dan satu lagi adalah wahyu dari Tuhan.
Berdasarkan hujah ini, segala amalan dan perbuatan sia-sia dan maksiat adalah sekularisme. Orang yang membuat kerja sia-sia dan maksiat tidak pernah melakukannya untuk tujuan Akhirat malahan adalah untuk tujuan dunia semata-mata. Maksiat adalah seratus peratus urusan dunia. Oleh itu maksiat adalah amalan sekularisme.
Sebab itu kita sangat bimbang bila melihat sesetengah orang atau sesetengah pihak yang sewenang-wenangnya menuduh pihak lain sekular. Besar kemungkinan yang menuduh itu juga hebat sekularismenya sama ada dalam amalannya, cara hidupnya, pegangannya ataupun perjuangannya. Hanya orang atau pihak yang cara hidupnya seratus peratus Islamik dan berpandukan Al Quran dan As Sunnah sahaja yang layak mengaku diri tidak sekular. Kerana kalau dia tidak seratus peratus Islamik, maka sudah tentu dia terjebak dengan sekularisme di mana mana.
Merokok contohnya ialah perbuatan atau amalan sekularisme. Ia adalah amalan dunia yang mutlak. Tidak ada nilai Akhirat langsung dalam merokok. Umat Islam di dunia berbelanja berbillion-billion ringgit setahun untuk membeli rokok. Yang jadi kaya ialah orang kafir, orang Yahudi dan Nasrani. Dengan untung rokok itulah mereka merosakkan Islam dan meruntuhkan akhlak serta moral muda mudi Islam. Kalau kita merokok, mana layak kita menuduh orang lain sekular. Kita sendiri bukan setakat sekular malahan kita bagi duit lagi pada musuh untuk memusnahkan Islam. Ini boleh diqiaskan dengan perkara-perkara yang lain.Dunia ini Allah cipta dan diserahkan kepada kita manusia sebagai khalifah-Nya untuk ditadbirkan. Kita pula dituntut supaya mentadbir dunia ini mengikut hukum hakam dan syariat Tuhan. Bila ini dapat kita lakukan maka barulah seluruh isi dunia ini dapat memberi manfaat kepada kita. Barulah segala isi dunia ini ada nilai Akhiratnya. Allah akan memberi ganjaran atas segala usaha-usaha kita. Dan disebabkan kita menggunakan hukum hakam Tuhan, maka semuanya akan selamat dan menyelamatkan. Akan tercipta syurga di dunia ini sebelum syurga di Akhirat.
Hadith ada mengatakan bahawa dunia ini ibarat ladang. Di sinilah tempat kita bercucuk tanam. Hasilnya akan kita tuai di Akhirat.
Akan tetapi manusia tidak puas hati setakat menjadi khalifah Allah di muka bumi ini. Manusia hendak jadi tuan bumi ini. Manusia tidak mahu ikut sistem dan perundangan Tuhan yang memiliki bumi ini. Manusia hendak guna pakai sistem ciptaan manusia walaupun mereka hanya menumpang di bumi ini. Oleh itu Allah berlepas diri. Tidak ada ganjaran dan pahala dari Tuhan. Tidak ada rahmat dan kasih sayang dari Tuhan. Tidak ada apa-apa nilai di Akhirat. Maka hiduplah manusia dengan sekularismenya di muka bumi. Dunia untuk dunia. Dunia habis di dunia. Di Akhirat manusia jadi muflis dan bankrap.
Disebabkan sistem ciptaan manusia hanya berbentuk sekularisme dan duniawi semata-mata yang mementingkan keperluan lahir dan jasad tanpa menghiraukan dan mengambil kira tuntutan-tuntutan hati dan rohani manusia, maka tidak wujud kasih sayang, tidak ada belas ihsan dan tidak ada tolong menolong dan bela membela. Ia penuh dengan sikap nafsi-nafsi dan tidak ada pimpinan, rahmat dan kasih sayang dari Tuhan. Hasilnya, dunia jadi haru-biru, huru-hara, kucar-kacir dan kacau-bilau. Dengan sekularisme, manusia mencipta neraka di dunia sebelum neraka yang sebenar di Akhirat.
Di sini jugalah letaknya titik pemisah di antara apa yang dikatakan orang dunia dan orang Akhirat. Walaupun semua manusia itu berada dan hidup di dunia, tetapi sesetengah dari mereka menjadikan dunia ini sebagai matlamat. Mereka mengejar, memburu dan mengumpul dunia. Mereka ini dikatakan orang dunia. Bagi orang Akhirat, dunia ini hanyalah alat atau modal untuk mencapai sesuatu yang lebih murni, lebih mulia dan lebih tinggi iaitu keredhaan, keampunan, rahmat dan kasih sayang Tuhan. Mereka menggunakan dunia untuk Akhirat. Mereka mengakhiratkan dunia. Dunia ini ladang bagi mereka. Di sinilah tempat mereka berusaha dan bercucuk tanam sebanyak-banyaknya. Hasilnya nanti dikutip di Akhirat di sisi Allah Azza wa Jalla.

Hayatilah Sifat Tuhan Hingga Jatuh Cinta Kepadanya
Roh sebelum dihantar ke alam dunia ini memang sudah mengenali dan mengakui bahawa Allah adalah Tuhan yang wajib disembah.
Pernah Allah bertanya kepada roh: "Tidakkah Aku ini Tuhan kamu?" 
Jawab roh: "Bahkan." 

Ini membuktikan roh sudah pun mengenali dan mengakui Allah sebagai Tuhannya tanpa perlu belajar atau diajar. Tetapi sebaik sahaja roh itu dimasukkan ke dalam jasad manusia; berpindah dari alam roh kepada alam dunia, berpindah dari alam yang cerah kepada alam yang gelap pekat; ia sudah lupa kepada Tuhannya. Mengapa perkara ini boleh berlaku?

Untuk menjawab pertanyaan itu, mari kita fakir sejenak. Kadangkala untuk kita mengimbas semula kisah sewaktu kita masih kecil pun mustahil kita dapat ceritakan secara terperinci peristiwa demi peristiwa yang berlaku ke atas diri kita. Melainkan ibu, ayah atau adik-beradik yang lebih tua dari kita yang menceritakan kisah tersebut. Itu pun hanya tidak secara terperinci. Banyak perkara yang kita sendiri lupa tentang diri sendiri. Sedangkan jarak masa tersebut tidaklah terlalu lama cuma puluhan tahun. Inikan pula sewaktu semua manusia berada di alam roh (sebelum Nabi Adam di turunkan ke bumi), tentulah kita sudah terlupa dengan apa yang pernah roh kita ucapkan di hadapan Tuhan itu. Sebab itulah apabila kita dilahirkan ke dunia, ibu bapa atau pendidiklah bertanggungjawab mengenalkan sifat-sifat Tuhan kepada kita. Kerana tanpa kenal Tuhan, mustahil kita dapat menyintai-Nya. Bak kata pepatah Melayu, "Tak kenal maka tak cinta". 

Dalam pengalaman kita sendiri, untuk kita mengenal seseorang itu pun memakan masa. Tidak cukup sekadar mengenal namanya, anak siapa atau di mana tempat tinggalnya. Lebih-lebih lagi untuk sampai kita jatuh hati kepadanya; mestilah kita kenal hati budinya. Jasa-jasa yang telah dilakukan; akhlaknya, pemurahnya, sifat penyayangnya, penyabarnya dan sebagainya. Jika setiap hari kita diceritakan tentang dirinya; pengorbanan yang dibuat, jasa-jasanya, kehebatan peribadinya, ibadahnya serta kebaikan-kebaikan lain yang dibuat; tentulah timbul keinginan untuk mengenali dirinya lebih dekat lagi. Bila timbul keinginan untuk mengenalinya, kita sendiri yang akan berusaha untuk bertanya kepada yang punya diri. Kalau tidak pun kita akan berusaha untuk mendapatkan maklumat-maklumat mengenai orang yang kita suka itu. Kita bukan sahaja tahu namanya atau latar belakang mengenai dirinya, tapi kita juga boleh ceritakan apakah kegemarannya, hobinya pada waktu lapang, makanan kesukaannya. Kadang-kadang perkara yang dibencinya juga kita boleh dapat tahu. Lama-kelamaan kerana rapatnya hubungan kita dengannya, tanpa disedari akan berputik pula rasa suka, sayang dan rindu kalau lama tidak berjumpa. Inilah bibit-bibit cinta bila hati sudah jatuh hati kepada seseorang.

Begitu juga kalau kita ingin jatuh cinta kepada Allah, Tuhan yang menciptakan kita. Kita mesti mengetahui sifat-sifat-Nya supaya kita kenal siapa Tuhan yang kita sembah setiap hari. Selama ini kita hanya kenal Allah sebagai Tuhan kita. Dia yang berhak disembah. Jika tidak menyembah-Nya boleh menyebabkan kita jatuh syirik. Tetapi pengenalan yang terlalu umum seumpama itu tidak menimbulkan rasa cinta apalagi rindu untuk selalu `menghadap-Nya `. Selama ini kita bersembahyang atau menghadap Tuhan kerana terpaksa; sebagai satu ke-wajipan. Bukan kerana rindu untuk bertemu denganNya. Sebab itu, untuk mengenal-Nya lebih-lebih lagi jatuh cinta kepada-Nya, kita mesti tahu sifat-sifat Tuhan. Supaya semakin kita kenal Tuhan, maka semakin indah kita rasakan memiliki Tuhan. Apabila kenal siapa Tuhan kita, barulah timbul perasaan cinta dan takut kepada-Nya. Bahkan kita rasa terhutang budi kepada-Nya kerana Dia memberi nikmat terlalu banyak kepada kita.

Untuk mengenali sifat-sifat Tuhan,kita mestilah memiliki ilmu tentang-Nya. Ilmu itu pula disampaikan oleh guru yang boleh mendidik hati kita. Sifat-sifat Tuhan itu terlalu banyak untuk dihuraikan satu persatu. Cuma mari kita ambil beberapa sifat Tuhan untuk dibincangkan di sini demi mendekatkan diri kita dengan Tuhan.

. Sebagai Pelindung 
Mari kita rasakan dan yakini bahawa Tuhan adalah Pelindung, Penjaga, Pengawal dan Penyelamat. Duduk di bawah Perlindungan-Nya, kita tidak perlu rasa bimbang. Dialah Penjaga yang tidak pernah rehat-rehat. Kalau seorang ibu yang menjaga anaknya; pun masih perlu tidur pada waktu malam. Dan sewaktu dia rehat atau tidur; kalau berlaku apaapa ke atas anaknya, dia pasti tidak tahu kerana tertidur. Tetapi Tuhan sebagai Penjaga yang tidak pernah tidur, letih, rehat atau terlalai.
Sebab itu ada orang soleh yang setiap kali hendak tidur,dia akan mengamalkan doa ini: " Wahai Tuhan,Engkaulah Penjagaku sewaktu aku jaga dan aku tidur.Engkau jagalah aku sewaktu aku tidur kerana Engkau tidak tidur.Dan bangunkan aku dari tidurku untuk aku beribadah kepadaMu. "
2. Tuhan Sebagai Pengawal 
Begitu juga sifat Pengawal-Nya. Kalau pemimpin-pemimpin, sudah tentu memiliki ramai pengawal-pengawal di sekelilingnya. Namun walau bagaimana ketat kawalan mereka, masih ada juga pemimpin yang mati ditembak, diculik dan dijadikan tebusan. Tetapi sifat Pengawal Allah ini luar biasa kawalanNya. Dia mengawal seluruh makhluk yang diciptaNya termasuk manusia, haiwan, tumbuhan, gunung ganang, lautan, alam semesta yang luas terbentang, alam yang lahir mahupun yang ghaib. Tiada satu makhluk pun yang di luar kawalan-Nya. Mana ada satu kuasa yang dapat mengawal sehebat kawalan Tuhan itu? 

3. Tuhan Sebagai Penyelamat 
Lebih-lebih lagi sifat Penyelamat Dalam apa jua keadaan yang genting sekalipun, Dialah satu-satunya Penyelamat. Saksikan sejarah Nabi Ibrahim yang dicampak ke dalam kawah api yang besar atau peristiwa Nabi Yunus yang ditelan oleh ikan Nun. Kedua-duanya Tuhan selamatkan. Begitu juga kisah Nabi Musa sewaktu dikejar oleh Firaun serta tenteranya. Anabila berdepan dengan saat genting didepannya lautan yang luas sedang tentera Firaun mengejar dibelakangnya;siapa yang menyelamatkan mereka. Bukankah sifat Penyelamat Tuhan yang menyelamatkan mereka dengan terbelahnya lautan tersebut menjadi laluan untuk mereka menyeberanginya?

Sebab itu rasakan dan yakinlah bahawa Tuhan itu sebagai Pelindung, Penjaga, Pengawal dan Penyelamat.

4. Tuhan Berkuasa Berbuat Apa Saja 
Walaupun sifat Tuhan itu sebagai Pelindung, Penjaga, Pengawal dan Penyelamat; Dia juga boleh melakukan apa sahaja ke atas diri kita.Buktinya banyak kita dengar kejadian kemalangan yang meragut nyawa, banjir besar, gempa bumi, kemarau dan berbagai kes jenayah yang kesemuanya melibatkan keselamatan manusia? Bencana alam yang disebutkan itu, bukan sahaja meragut nyawa manusia malah dalam sekelip mata bencana tersebut boleh meranapkan segala bangunan serta infrastruktur yang ada bagaikan padang jarak padang tekukur.

Dalam hal ini kita perlu faham, apa sahaja kejadian yang Allah timpakan, pasti ada hikmah yang tersirat kerana Dia Maha Suci daripada menzalimi makhlukNya . Di sinilah kita perlu takut kepada-Nya. Gerun dengan kemurkaan-Nya itu. Hanya dengan menyebut kun atau `jadi` maka `jadilah` sepertimana kehendak Allah.
5. Tuhan itu Pengasih dan Penyayang 
Tetapi bila kita bahaskan pula sifat Pengasih dan Penyayang kepada makhluk-Nya, sekali lagi kita merasa kagum. Dia sangat kasih dan sayang terutama kepada manusia sebagai hamba-Nya. Kasih sayang-Nya tiada batas dan hadnya. Kasih sayang Tuhan pula tanpa bersebab atau berkepentingan. Kalau seorang ibu mengasihi anaknya hatta nyawa sanggup dijadikan tebusan, namun kasih sayang Tuhan melebihi kasih seorang ibu terhadap anaknya.

Dia juga tidak pilih kasih Manusia walau apa bangsa, bahasa, agama, warna kulit serta berbagai taraf kedudukannya di tengah masyarakat tetap mendapat kasih sayang Tuhan .

Banyak bukti yang menunjukkan kasih sayang Tuhan kepada hamba-Nya, antaranya:
Firman Allah yang bermaksud:
"Dia yang menjadikan untuk kamu bumi sebagai hamparan dan langit bagaikan binaan dan diturunkan danpada langit itu air (hujan) maka darinya dikeluarkan buah-buahan sebagai rezeki untuk kamu. Maka dengan sebab itu janganlah kamu mencipta sekutu bagi Allah sedangkan kamu mengetahuinya." (Al Baqarah :22) 

Firman lain yang bermaksud:
"Sesungguhnya pada ciptaan langit dan bumi, dan silih berganti malam dan siang dan bintang yang bergerak amat berguna pada nelayan, Allah menurunkan dari langit hujan maka ia menghidupkan bumi yang mati dan dibiakkan di atasnya segala macam haiwan, dan dipindahkan angin dan awan di antara langit dan bumi, itu semua sebagai tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang berakal." 

Allah sangat kasih kepada hamba-Nya yang menurut perintah-Nya namun bagi yang terlanjur dan banyak melakukan dosa; Allah tetap memujuk agar tidak berputus asa dari kasih sayang-Nya. 

Ini jelas dalam sebuah firman-Nya yang bermaksud:
"Katakanlah: Wahai hamba-Ku yang melampaui batas ke atas din sendiri, janganlah kamu berputus asa dan kasih sayang Allah, sesungguhnya Allah boleh mengampuni dosa-dosa semua, sesungguhnya Dia Tuhan yang Maha Pengampun dan Maha Penyayang" 

Mari kita lihat lagi kasih sayang Tuhan kepada kita.Sewaktu kita di uji dengan kesakitan Dialah yang menyembuhkannya. Sewaktu kita lapar dan kehausan, Dialah yang memberi makan dan minum. Sewaktu kita keseorangan, Dia kurniakan suami atau isteri serta anak-anak agar rasa terhibur. Sewaktu dilanda masalah, Dialah yang memberi jalan penyelesaiannya. Sewaktu kita berhajat kepada sesuatu, Dialah yang menunaikan hajat yang kita pinta itu. Kalaupun tidak semuanya dikabulkan tapi ada juga sebahagiannya yang telah dikabulkan. Kalau mahu dihitung terlalu banyak bukti menunjukkan kasih sayang Tuhan kepada kita. Cukup sekadar beberapa contoh membuktikan begitulah kasih sayang Tuhan kepada hamba-hamba-Nya.

6. Murkanya Berhikmah 
Walaupun hebat kasih sayang Tuhan, namun Dia boleh murka kepada hamba-Nya. Tetapi kemurkaanNya berhikmah dan mengandungi pengajaran. Sebagai contoh apabila berlaku kemarau panjang di sesebuah tempat, musnahlah tanaman dan banyak haiwan yang mati; manusia juga merasai kesengsaraan akibat kekurangan makanan. Mengapa Allah biarkan manusia menderita, memusnahkan tanaman haiwan ternakan? Apakah Allah tidak kasih kepada makhluknya? Sebenarnya takdir yang berlaku itu ada hikmahnya. Allah inginmenghukum kesalahan manusia di dunia supaya kita terlepas daripada hukuman-Nya di Akhirat yang maha dahsyat . Selain dari itu hikmah di sebalik musibah ialah agar manusia merasai betapa lemah dan dhaif hingga tidak berupaya berhadapan dengan kekuasaan Allah SWT . Ini menyedarkan kita sebagai hamba lebih baik menyerah saja kepada Allah SWT. Musibah juga bagi orang yang beriman ada dua maksud iaitu sebagai penghapusan dosa dan sebagai pengangkat darjat di sisi Allah bagi yang tidak berdosa.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya:
"Setelah seseorang itu tercatat namanya di Syurga dan dia tidak berupaya mencapainya melalui ibadah, maka Allah SWT mendatangkan ujian yang dengannya dia bersabar maka kekallah namanya sebagai ahli Syurga." (Riwayat At Tabrani) 

Rasulullah SAW bersabda lagi maksudnya:
"Apabila Allah menyayangi hamba-Nya maka dia diuji agar Allah mendengar rintihannya (dengan kerendahan diri)." (Riwayat Al Baihaqi)

Rasulullah SAW bersabda maksudnya:
"Tiada seorang mukmin ditimpa kesakitan, kepayahan, penyakit, kesedihan hatta duri yang menusuk, kecuali dengan itu menghapuskan dosa-dosanya." (Riwayat Al Bukhan) 

" Sebab itu kalau manusia faham, dia akan tenang menghadapi ujian itu. Sebaliknya jika dia tidak faham maksud Tuhan, kemudian tidak sabar, maka dia berhadapan dengan dua kesusahan. Pertama kesusahan kerana ujian kemarau yang menimpa. Kedua, susah hati dan menderita dengan kesusahan tersebut."