Ya Allah, Atas KemuliaanMu,KeagunganMu dan Belas EhsanMu limpahkan lah hidayahMu kepada kami,semuga kami semua berjumpa dengan sebenar-benar jalan untuk kami pulang kesisiMu........


Fekah tanpa tasauf fasik,Tasauf tanpa fekah zindiq

Monday, May 30, 2011

Syarah kitab Kebenaran Hakiki 13 - 15 ( page 5 )

13. Kasyaf dan ilham sufi
Setiap makhluk yang diciptakan Tuhan dilengkapkan-Nya dengan fitrah. Fitrah menerbitkan bakat dan keupayaan semulajadi yang membolehkan setiap kejadian itu berfungsi menurut kejadiannya. Fitrah matahari mengheret matahari untuk bergerak pada satu landasan sambil mengeluarkan cahaya yang mengandungi tenaga yang diperlukan oleh kejadian di bumi. Haiwan, tumbuh-tumbuhan, galian dan lain-lain semuanya mempunyai fitrah masing-masing dan setiap satunya bergerak menurut peraturan fitrahnya. Di antara semua kejadian, manusia dikurniakan fitrah yang paling sempurna kerana manusia berkewajipan memerintah dan mentadbir sekalian makhluk. Malaikat sendiri tunduk kepada manusia. Malaikat yang menguruskan bidang penglihatan tidak menghalang manusia menggunakan penglihatan matanya sekalipun yang dilihat olehnya itu diharamkan oleh Allah s.w.t. Malaikat yang menjaga nyawa tidak mencabut nyawa itu sekalipun manusia melakukan kejahatan dan kedurhakaan kepada Allah s.w.t.

Fitrah manusia merupakan sebaik-baik persediaan dalam melaksanakan tugas-tugas kehambaan kepada Allah s.w.t. Melakukan ketaatan kepada Allah s.w.t dan menguruskan kehidupan di bumi merupakan kewajipan manusia. Dalam melaksanakan hal yang demikian itu fitrah manusia dikurniakan sesuatu yang sangat luar biasa iaitu keupayaan untuk membuat pilihan. Hanya manusia dan jin yang memiliki keupayaan memilih. Makhluk lain tidak diberikan bakat tersebut. Dalam membuat pilihan fitrah manusia boleh menggunakan bakat-bakatnya iaitu fikiran, ilham dan kasyaf.

Melalui bakat berfikir manusia boleh membuat pilihan dalam menguruskan kehidupan lahiriah mereka. Kekuatan fikiran yang ada dengan manusia mengangkat manusia kepada darjat yang tinggi. Mereka mampu menguasai daratan, lautan dan udara. Mereka mampu mengambil manfaat daripada anasir alam yang ada di sekeliling mereka. Sempadan bagi kekuatan fikiran adalah jangkauan pancaindera dan logik. Apa yang tidak mampu dijangkau oleh pancaindera akan menimbulkan kesulitan kepada fikiran dan apa yang tidak termasuk dalam bidang logik akan mengelirukan fikiran.

Bidang yang tidak dapat diterokai oleh fikiran mampu diterokai oleh ilham. Fikiran sangat mahir dalam menyusun sesuatu yang bersangkutan dengan kebendaan. Kebendaan yang menjadi bidang fikiran ini bertindak sebagai hijab kepada bidang ilham. Pengaruh dan tarikan kebendaan menjadi tembok yang menghalang manusia daripada memperolehi ilham.

Pengaruh dan tarikan kebendaan tertuju kepada hati. Jika hati dapat keluar daripada kekuasaan dan ikatan kebendaan hati akan mampu mengeluarkan sinar cahayanya untuk memperluaskan bidang yang dapat diterokai oleh akal fikiran melalui cetusan ilham. Akal fikiran yang dibantu oleh ilham dapat keluar dari bidang logik dan sempadan kebendaan. Manusia dapat menerima kewujudan kuasa ghaib yang menguasai anasir alam yang nyata.

Terdapat dua golongan manusia yang menguasai bidang ilham. Mereka adalah ahli falsafah dan ahli sufi. Ahli falsafah yang menggunakan kekuatan diri sendiri hanya mampu mengambil ilham pada bahagian permukaan sementara ahli sufi berkeupayaan untuk menyelam ke dasar lautan ilham. Walaupun berbeza darjat ilham tetapi oleh kerana ia masih di dalam satu daerah, maka terdapat tolak-ansur di antara sufi yang di dalam daerah ilham dan ahli falsafah yang juga di dalam daerah ilham. Sufi yang begini beranggapan ahli falsafah adalah juga ahli sufi. Begitu juga anggapan ahli falsafah terhadap ahli sufi. Fahaman ahli falsafah dan fahaman ahli sufi tahap ilham banyak persamaan. Sufi pada tahap ini boleh bekerjasama dengan ahli falsafah dalam mengwujudkan kepercayaan atau agama sejagat. Agama sejagat ini mengambil nilai-nilai murni kemanusiaan sebagai peraturan hidup dan keikhlasan sebagai kehambaan kepada Tuhan. Setiap individu diperlukan mempratikkan nilai-nilai murni kemanusiaan dan bebas melakukan keikhlasan menurut kemampuan dan bakat yang ada dengannya dalam menyatakan khidmatnya kepada Tuhan. Golongan ini sangat mengasihi manusia dan sangat bertolak ansur dengan sesama manusia. Mereka menganggap semua agama adalah baik dan benar. Mereka berfahaman semua agama menyembah Tuhan yang sama walaupun caranya berbeza. Mereka tidak mengutuk perbuatan memyembah Tuhan dengan menggunakan perantaraan seperti patung-patung. Kebanyakan agama dalam dunia hari ini telah diolah semula oleh golongan sufi-falsafah. Maksud sufi di sini termasuklah ahli agama yang selain Islam yang mengamalkan bidang kerohanian dan melatih diri dalam bidang tersebut. Dari kalangan merekalah muncul orang-orang yang membina tempat patung-patung dalam tempat-tempat ibadat agama Nasrani dan Yahudi. Orang yang beragama menyembah berhala tidak berasa janggal apabila mereka memasuki rumah ibadat orang Nasrani dan Yahudi. Pengaruh yang demikian juga menjalar ke dalam masyarakat Islam. Orang-orang Islam yang berjiwa falsafah gemar membina sesuatu yang menonjol dan tersergam di dalam masjid-masjid. Jika penyembah berhala melihat kaum Muslimin sedang sujud mungkin mereka menyangka kaum Muslimin sujud kepada benda yang menonjol dan tersergam itu.

Sufi seterusnya masuk ke dalam bidang kasyaf. Penyaksian mata hati dan pengalaman rasa merupakan bidang kasyaf. Hati menyaksikan dan merasakan suasana ghaib dan hal-hal yang berhubung dengan ketuhanan. Walaupun sufi menyaksikan dan merasakan hal ketuhanan tetapi ia bukanlah Tuhan. Apa yang dibukakan kepada sufi itu adalah ibarat kunci yang membuka pintu makrifat untuk sufi mengenali Tuhan. Kasyaf tahap tertinggi hanyalah pengalaman rasa tanpa penyaksian tentang hal ketuhanan itu. Pengalaman rasa atau zauk tanpa penyaksian membawa sufi bermakrifat tentang Allah s.w.t yang Maha Esa, tiada sesuatu yang menyerupai-Nya. Makrifat cara begini menanamkan kefahaman yang tidak mampu dihuraikan.

Penghuraian yang lengkap tentang Allah s.w.t hanya terdapat dalam wahyu. Apa yang diterangkan oleh wahyu tentang Allah s.w.t dapat difahami oleh seseorang manusia menurut tahap pemikiran, ilham dan kasyafnya. Orang yang mempunyai ke tiga-tiga bakat-bakat fitrah itu secara sempurna akan mengenal Allah s.w.t dengan sempurna. Wahyu menerangi kasyaf, kasyaf menerangi ilham dan ilham menerangi fikiran. Nur wahyu yang menerangi kasyaf, ilham dan fikiran itu membuka simpulan pada lidah sehingga lidah boleh berucap dengan fasih tentang Allah s.w.t, menurut kadar yang Dia izinkan.

Apabila sekalian bakat-bakat fitrah itu sudah disinari oleh nur wahyu baharulah fitrah kemanusiaan itu melonjak kepada fitrah Muslim. Manusia yang fitrahnya belum mencapai tahap fitrah Muslim, walaupun pintar menggunakan akal namun, dia masih belum bersesuaian dengan kehendak Allah s.w.t. Daya nilai fitrah manusia banyak bersesuaian dengan daya nilai fitrah Muslim dalam bidang akhlak tetapi tidak dalam bidang ketuhanan. Kebenaran yang sejati berada pada fitrah Muslim. Apa yang dinilaikan baik oleh fitrah manusia jika bercanggah dengan penilaian fitrah Muslim, maka fitrah manusia mesti akur dengan kebenaran fitrah Muslim. Orang Islam yang bijak sekalipun tidak akan dapat melihat hikmah di sebalik suruhan dan tegahan agama, sekiranya fitrahnya tidak naik kepada tahap fitrah Muslim atau pun jika akalnya enggan tunduk kepada kebenaran yang dinyatakan oleh wahyu. Apabila fitrah manusia mencapai tahap fitrah Muslim, akan ujudlah penyerahan yang sejati kepada Allah s.w.t, tanpa hujah dan tanpa takwil. Dia akan tunduk kepada peraturan Allah s.w.t yang dibawa oleh Rasul-Nya. Dalam jiwanya akan lahir keghairahan beragama. Dia akan cemburu jika Allah s.w.t, Rasulullah s.a.w, al-Quran dan agamanya dipersendakan apa lagi kalau dikhianati.

Semua bakat-bakat fitrah mestilah menjadi Muslim. Akal fikiran menjadi Muslim, ilham menjadi Muslim dan kasyaf menjadi Muslim. Bila semua bakat itu sudah menjadi Muslim, akan bercahayalah Roh Islam seseorang itu. Roh Islam akan hanya mengeluarkan yang Muslim, tidak ada percanggahan dengan Islam. Roh Islam yang paling sempurna adalah Roh Nabi Muhammad s.a.w. Jibrail a.s membacakan wahyu dan Roh Islam Nabi Muhammad s.a.w mentafsirkannya. Apa yang baginda s.a.w tafsirkan menepati apa yang wahyu maksudkan, tanpa sedikitpun percanggahan. Jika mahu melihat al-Quran dalam rupa manusia, maka Nabi Muhammad s.a.w adalah ‘al-Quran' yang hidup, berkata-kata dan bergerak dalam daerah kehidupan manusia. Selain Nabi Muhammad s.a.w darjat persamaan dengan wahyu itu bertingkat-tingkat menurut darjat akal, ilham dan kasyaf masing-masing.

Fikiran, ilham dan kasyaf sufi bukanlah satu sumber ilmu yang menyamai wahyu atau pun bebas daripada wahyu. Bakat-bakat tersebut hanyalah alat untuk mentafsirkan wahyu yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w mengenai sesuatu perkara yang diimani. Bakat-bakat tersebut walaupun boleh digunakan sebagai alat bagi menterjemah wahyu tetapi ia bukanlah secara sempurna. Ia berkedudukan seperti ijtihad para mujtahid yang mungkin benar dan mungkin silap. Dalam pembinaan hukum dan fatwa yang mengenai orang ramai, kedudukan ijtihad ahli mujtahid lebih kuat daripada ilham dan kasyaf sufi.

Ilham dan kasyaf sufi lebih bersifat peribadi, berguna untuk sufi itu sendiri dalam menentukan arah tindakannya. Kesan mabuk yang berlaku pada jalan kewalian sufi sukar terpisah daripada seseorang sufi itu dan kesan tersebut boleh mempengaruhi ilham dan kasyafnya. Apa yang diperolehi oleh sufi yang dipengaruhi oleh mabuk mungkin tidak menepati kebenaran yang asli. Sufi tersebut mungkin mengeluarkan pendapat yang kurang benar dan meninggalkan yang lebih benar. Oleh yang demikian kebenaran ilham dan kasyaf sufi itu mesti diuji dengan kebenaran al-Quran dan as-Sunah. Kedudukan seseorang sufi itu diukur dengan melihat sejauh mana ilham dan kasyafnya bersesuaian dengan ajaran al-Quran dan as-Sunah. Sufi yang telah mencapai tahap kewalian peringkat tertinggi, yang telah terlepas daripada kesan mabuk, fana dan bersatu dengan Tuhan, tidak bercanggah dengan al-Quran dan as-Sunah.

Al-Quran dan Hadis telah memberi penjelasan yang lengkap mengenai perkara-perkara yang bersangkutan dengan akidah. Perkara yang sudah cukup terang dan jelas ini tidak boleh digugat oleh apa sahaja, termasuklah fahaman, ilham dan kasyaf sufi. Jika terjadi percanggahan di antara ucapan ahli sufi dengan kenyataan al-Quran dan as-Sunah mengenai perkara akidah, ia mestilah ditolak dan perkataan al-Quran dan as-Sunah itu yang wajib diimani. Ucapan sufi yang demikian hendaklah dianggapkan sebagai ucapan yang lahir daripada suasana hati yang dipengaruhi oleh mabuk dan fana dan sufi berkenaan belum lagi menghabiskan perjalanannya. Jika perkataan sufi menyokong kenyataan al-Quran dan as-Sunah, maka perkataan tersebut hendaklah dibenarkan. Dalam memahami maksud al-Quran dan as-Sunah, aliran Ahli Sunah wal Jamaah hendaklah diikuti.

Ada perkara-perkara yang al-Quran dan al-Hadis hanya memberi maklumat secara sepintas lalu atau pun tidak memberi maklumat sedikitpun. Perkara-perkara berkenaan termasuklah soal-soal syurga, neraka, bumi, alam maya, malaikat, jin, makhluk rohani dan lain-lain. Ahli sufi banyak memperkatakan soal-soal yang demikian berdasarkan ilham dan kasyaf mereka, tanpa sokongan nas yang sahih. Dalam soal ini orang ramai tidak dituntut untuk mengimani perkataan sufi. Ilham dan kasyaf sufi boleh jadi benar dan boleh jadi juga tidak benar. Nabi-nabi diperakui oleh Allah s.w.t sebagai maksum, dijamin terpelihara daripada gangguan syaitan dan tidak terjadi kesalahan pada ilham dan kasyaf mereka. Apa juga kekeliruan yang timbul akibat gangguan syaitan diperbetulkan dengan segera dan kebenaran perkataan Nabi-nabi ditetapkan. Jaminan yang demikian tidak diberi kepada golongan yang bukan Nabi. Namun begitu, perkataan sufi mengenai soal-soal yang tidak bersangkutan dengan akidah itu boleh dijadikan iktibar dan mempercayainya tidak menjadi kesalahan. Melalui perkataan mereka orang-orang yang ingin memahami perkara-perkara tersebut mendapat sedikit pemahaman yang boleh dikembangkan melalui kekuatan akal fikiran.

Sufi memperolehi maklumat melalui kasyaf. Kadang-kadang kasyaf berlaku kepada sufi dalam bentuk ibarat atau pembukaan secara umum tanpa perincian. Kasyaf yang demikian perlu ditafsirkan. Biasa terjadi tafsiran yang dibuat oleh sufi itu tidak menepati gambaran atau ibarat yang dibukakan kepadanya Bila sufi menerima berita secara umum maka tafsiran secara umum juga yang diberikannya. Maklumat yang diperolehi secara umum, tanpa perincian, tidak dapat menceritakan sesuatu perkara dengan tepat. Sufi juga mungkin mendapat maklumat mengenai sesuatu kejadian dan maklumat tersebut datangnya daripada sumber takdir yang akan berubah, sedangkan perubahan yang akan berlaku tidak dibukakan kepadanya. Allah s.w.t berfirman:

Apa sahajat ayat keterangan yang Kami mansukhkan (batalkan) atau yang Kami tinggalkan (atau tangguhkan), Kami datangkan ganti yang lebih baik daripadanya atau yang sebanding dengannya. Tidakkah engkau mengetahui bahawasanya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu? ( Ayat 106 : Surah al-Baqarah )

Ayat di atas memberitahukan tentang takdir yang di dalam perbatasan yang boleh berubah dengan kehendak dan perintah Allah s.w.t.

Untuk mereka sahajalah kebahagiaan yang menggembirakan di dunia dan di akhirat; tidak ada (sebarang) perubahan pada kalimat (janji-janji) Allah; yang demikian itulah kejayaan yang besar. ( Ayat 64 : Surah Yunus )

Ayat di atas ini pula memberitahukan tentang daerah takdir yang tidak akan berubah kerana Allah s.w.t telah menetapkannya. Kasyaf seorang sufi mungkin hanya sampai kepada daerah takdir yang mungkin berubah, tidak sampai kepada daerah takdir yang tetap. Oleh yang demikian apa yang disaksikannya mungkin berlaku dan mungkin juga tidak berlaku.

Perlu juga diketahui bahawa seseorang sufi melalui peningkatan kerohanian secara sedikit demi sedikit, bukan sekaligus. Suasana kerohanian atau makam mempengaruhi fahaman dan pegangan sufi. Seorang sufi boleh mengeluarkan beberapa pendapat yang berbeza mengenai perkara yang sama. Pendapatnya di awal perjalanan, pertengahan dan di akhir perjalanan mungkin bertentangan di antara satu sama lain. Pendapatnya yang paling benar adalah pendapat yang diberikannya setelah dia kembali kepada kesedaran sepenuhnya dan berkamil dengan syariat sepenuhnya.

Sufi yang masih di dalam perjalanan menemui beberapa fahaman yang bercanggah dengan prinsip syariat. Di antara yang demikian adalah konsep tauhid af'al, tauhid sifat dan tauhid wujud. Konsep tauhid yang demikian membawa Tuhan ke dalam perbatasan alam dan mengadakan persamaan di antara Tuhan dengan makhluk. Sufi yang sedang dikuasai oleh suasana kerohanian yang demikian menafikan perbuatan dirinya, sifatnya dan wujudnya. Semuanya diisbatkan kepada Allah s.w.t. Muncullah ungkapan seperti: "Tiada yang berbuat melainkan Allah. Tiada yang hidup melainkan Allah. Tiada yang maujud melainkan Allah" dan lain-lain ungkapan yang seumpamanya. Ungkapan yang paling popular dikaitkan dengan kesufian adalah: "Ana al-Haq!" Ada golongan yang beranggapan kononnya sufi yang belum mengucapkan "Ana al-Haq" belum lagi mencapai makam yang paling tinggi. Golongan sufi ikutan menggunakan ungkapan yang demikian bagi memukau kesedaran diri sendiri dengan cara mengulangi ucapannya sebanyak mungkin dan menghayati maknanya sehingga terpahat kepercayaan yang demikian dalam jiwa mereka. Golongan yang mengikut secara membuta tuli inilah yang menyebarkan kesesatan, berselindung di sebalik perkataan sufi yang sedang mabuk.

Manusia yang masih ada keupayaan untuk membuat pilihan, berfikir dan merasa, mestilah faham keadaan sufi yang fitrah mereka menerima kejutan alam ghaib sehingga keupayaannya untuk membuat pilihan, berfikir dan merasa hilang. Sufi yang demikian dikatakan berada di dalam jazbah. Orang yang berada dalam jazbah adalah umpama orang yang keluar ke laut menaiki perahu kecil. Bila dipukul gelombang dia menjadi mabuk dan meracau. Setelah dia sampai ke tengah laut, ombak sudah tenang, mabuknya berkurangan dan akhirnya dia kembali normal. Bila dia sudah sedar dia tidak meracau lagi. Pengalaman jazbah berguna kepada sufi berkenaan kerana pengalaman yang demikian menanggalkan sifat-sifat yang keji dari hatinya dan sifat ikhlas menjadi sebati dengannya. Pengalaman jazbah itu juga berguna kepada guru yang menjadi pembimbing kerana dengannya guru dapat mengetahui suasana dan stesen kerohanian muridnya. Ia juga menjadi tanda bahawa murid berkenaan mempunyai harapan untuk menjadi cemerlang kesudahannya. Guru yang arif akan membimbing muridnya supaya melepasi peringkat-peringkat zauk sehingga sampai kepada penghujung jalan yang tenang dan damai. Murid yang sudah melepasi peringkat jazbah dan kembali kepada kesedaran kemanusiaan biasa akan menyedari akan kekeliruan yang muncul dalam fahamannya sepanjang perjalanannya. Dia bertaubat daripada pegangan yang lalu. Kini dia menyaksikan satu kebenaran sahaja iaitu kebenaran kehambaan kepada Allah s.w.t. Manusia dan jin diciptakan untuk mengabdikan diri kepada-Nya, bukan untuk bersatu dengan perbuatan, sifat atau wujud-Nya.

Fahaman yang keluar dari ilham dan kasyaf sufi sekiranya menyalahi syariat wajiblah ditolak. Jika orang yang mengetahui tentangnya ada kebolehan, ucapan latah sufi haruslah diterjemahkan menurut stesen kerohanian sufi berkenaan dan penjelasan harus diberi kepada orang ramai agar latah sufi tidak disalahertikan. Sufi yang mengeluarkan ucapan latah ketika dalam jazbah haruslah dimaafkan, walaupun ucapannya menyalahi syariat. Harus diingat bahawa sufi tidak terlepas sepenuhnya daripada suasana mabuk sebelum dia sampai kepada makam siddiqiyat. Semua makam di bawah daripada makam siddiqiyat tidak terlepas daripada pengaruh mabuk sedikit atau banyak. Kesimpulannya pendapat sufi yang bertentangan dengan syariat wajib ditolak tetapi peribadi sufi itu sendiri tidak boleh dikutuk kerana dia dikuasai oleh mabuk.
14. Fahaman dan pegangan yang benar
Manusia yang berada di atas jalan yang benar ada dua golongan. Golongan pertama adalah ahli fikah yang berjiwa tasauf dan keduanya adalah ahli tasauf yang berjalan di atas landasan fikah. Berpegang kepada salah satu di antara fikah dan tasauf bermakna berpegang kepada separuh daripada kebenaran. Berpegang kepada fikah semata-mata dengan menolak tasauf bermakna mengambil bahagia zahir syariat sahaja. Berpegang kepada tasauf dengan membuang fikah bermakna mengambil batin syariat sahaja. Berpegang kepada zahir syariat tanpa batinnya dibolehkan dan sudah memadai untuk diiktiraf sebagai orang Islam tetapi pegangan yang demikian tidak sempurna. Berpegang kepada batin syariat sahaja tanpa zahirnya adalah tidak mungkin, kecuali mereka yang sedang dikuasai oleh jazbah. Mereka yang demikian dimaafkan. Kesempurnaan syariat adalah gabungan zahir dan batinnya.

Istilah syariat hendaklah diberi definasi yang lengkap dan benar. Syariat mengandungi tarekat, hakikat dan makrifat. tarekat, hakikat dan makrifat bukanlah sesuatu yang di luar syariat atau lain daripada syariat. Tindakan mengasingkan syariat, tarekat, hakikat dan makrifat menjadi jalan menjalarnya kekeliruan dalam masyarakat. Kaum Muslimin haruslah sedar bahawa tarekat adalah satu bahagian daripada syariat. Demikian juga hakikat dan makrifat. Syariat adalah umpama air yang mengalir dan menghidupkan tarekat, hakikat dan makrifat. Tarekat, hakikat dan makrifat yang tidak dibasahi oleh air syariat adalah umpama pokok yang ditanam di atas batu, tidak ada air menghidupkannya. Syariat adalah umpama nyawa yang memberi kehidupan kepada tarekat, hakikat dan makrifat.

Syariat mengajarkan akidah dan peraturan yang benar. Rasulullah s.a.w menolak ketuhanan Isa al-Masih, Uzair dan patung-patung kerana ia bertentangan dengan akidah yang diajarkan oleh syariat. Rasulullah s.a.w menolak keislaman puak Taqif yang meminta dikecualikan daripada mengerjakan sembahyang kerana ia menyalahi peraturan syariat. Abu Bakar as-Siddik memerangi Musailamah bin Hatib yang mendakwa menjadi nabi kerana dakwaan demikian menyalahi akidah yang diajarkan oleh syariat. Abu Bakar as-Siddik juga memerangi kaum Muslimin yang enggan mengeluarkan zakat selepas Rasulullah s.a.w wafat, kerana perbuatan demikian menyalahi peraturan syariat. Tentera Islam berperang, membunuh dan dibunuh kerana menyebarkan syariat. Sekali lagi diperingatkan maksud syariat adalah syariat zahir dan syariat batin, meliputi perkara-perkara seperti Islam, iman, perbuatan tubuh badan dan amalan hati. Al-Quran mengajarkan supaya beriman dan beramal salih, jangan dipisahkan keduanya. Tidak ada amal salih tanpa iman. Tidak berdiri iman tanpa amal salih.

Rasulullah s.a.w memiliki dua jenis ilmu. Pertama adalah ilmu yang mengenai hukum hakam dan peraturan, dinamakan ilmu ahkam. Kedua adalah ilmu mengenai perkara ghaib, rahsia dan misteri, dinamakan ilmu asrar. Ilmu ahkam biasanya dipanggil ilmu fikah dan ilmu asrar dipanggil ilmu tasauf. Istilah ilmu fikah dan ilmu tasauf digunakan selepas zaman Rasulullah s.a.w. Pada zaman baginda s.a.w yang dikenali hanya satu ilmu sahaja iaitu ilmu al-Quran. Dalam ilmu al-Quran ada bahagian fikah iaitu peraturan dan hukum dan ada bahagian tasauf iaitu perkara ghaib dan kerohanian. Rasulullah s.a.w menyampaikan kedua-dua jenis ilmu tersebut kepada sahabat baginda s.a.w secara bersama, bukan terpisah. Para sahabat pula memperturunkannya kepada generasi yang datang kemudian. Ulama yang menerima kedua-dua jenis ilmu tersebut dinamakan pewaris nabi. Memiliki satu aspek sahaja tidak dinamakan pewaris. Ulama yang mengambil bahagian hukum dan peraturan sahaja dinamakan ulama zahir, masih jauh lagi untuk bergelar ulama syariat. Ulama yang mengambil bahagian zahir dan batin itulah yang benar-benar menjadi ulama syariat, pewaris nabi.

Sebahagian orang menyangka ilmu tentang Kebenaran Hakiki iaitu ilmu asrar bermaksud ilmu mengenai wahdatul wujud, kesempurnaan Yang Satu dalam yang banyak dan yang banyak dalam Yang Satu, fana, bersatu dengan Tuhan dan baqa bersama Tuhan. Fahaman yang demikian adalah tidak benar. Doktrin wahdatul wujud dan yang seumpama dengannya masih terlalu rendah jika dibandingkan dengan kebenaran yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. wahdatul wujud adalah hasil daripada kefanaan dan mabuk. Rasulullah s.a.w tidak memasuki suasana fana dan mabuk. Ilmu yang baginda s.a.w bawa adalah ilmu yang muncul dalam kesedaran bukan kelupaan. Ilmu kenabian adalah umpama lautan yang luas. Ilmu kewalian sufi yang kefanaan adalah umpama satu titik air, tetapi bagi orang yang tercampak di padang pasir satu titik air sangat memberi erti kepadanya.

Ada orang menyangka kefanaan lebih tinggi daripada kesedaran. Mungkin mereka memandang kepada kesedaran orang awam. Jika mereka melihat kepada kewalian yang telah sempurna di atas jalan kenabian tentu mereka dapat melihat bahawa Kebenaran Hakiki muncul dalam kesedaran, bukan dalam kefanaan. Kewalian yang sempurna bukanlah yang fana terus menerus tetapi adalah yang kembali kepada kesedaran biasa dan meneruskan perjuangan Rasulullah s.a.w. Ketika di dunia ini berbakti kepada Tuhan lebih utama daripada fana dalam-Nya. Ahli makrifat yang sempurna adalah yang makrifatnya dihidupkan oleh air syariat dan mereka melibatkan diri di dalam kegiatan masyarakat sehingga ke akhir hayat mereka. Golongan ini tidak mendakwa melihat Tuhan dalam dunia. Mereka mengakui bahawa melihat Tuhan hanya mungkin di akhirat. Mereka melihat maut sebagai jambatan buat mereka sampai kepada Kekasih mereka.

Rasulullah s.a.w dan para sahabat beriman kepada perkara ghaib seperti beriman kepada Allah s.w.t dan sifat-sifat-Nya berdasarkan kenyataan yang dibawa oleh al-Quran. Wali-wali Allah yang sempurna juga beriman menurut iman Rasulullah s.a.w dan para sahabat. Bilangan wali-wali yang sampai kepada peringkat ini setelah melepasi kewalian sufi adalah sedikit. Selain mereka, ulama dan orang-orang Islam yang awam juga beriman cara demikian. Iman pada kewalian sufi pula bersumberkan kepada penyaksian, dinamakan iman syuhudi. Sufi yang beriman secara syuhudi mungkin bercampur dengan orang ramai dan mungkin juga tinggal sendirian. Walaupun sufi jenis ini bercampur dengan orang ramai tetapi tidak secara keseluruhan dirinya. batinnya atau hatinya masih memandang ke atas, mencari-cari atau menanti-nanti. Lahirnya sibuk dengan manusia tetapi batinnya karam dengan Tuhan. Keadaan sufi yang demikian berbeza dengan keadaan Rasulullah s.a.w. Baginda s.a.w berhadap kepada makhluk secara keseluruhan, terlibat jiwa dan raga dalam berdakwah mengajak manusia kepada jalan Allah s.w.t. Sufi yang masih memandang atau mencari-cari ke atas menunjukkan dia belum bebas sepenuhnya daripada pengaruh kefanaan dan mabuk dan dia belum mencapai matlamat, sekalipun dia sudah boleh bergaul dengan orang ramai. Sufi yang sudah sampai ke penghujung perjalanannya menetap dalam kehidupan harian secara menyeluruh, berhadap kepada kehidupan dunia secara keseluruhan jiwa raga, tanpa mencari-cari ‘yang di atas' atau mencungkil semula pengalaman yang telah dilalui dalam kewalian sufi dahulu.

Ketika sufi dalam proses menaik yang banyak hilang lenyap, hinggakan asma' dan sifat juga hilang daripada alam kesedarannya, tidak ada yang disaksikan melainkan Wujud Mutlak. Tuhan kurniakan kepada sufi itu apa yang Dia kehendaki, sesuai dengan amanah dan tugas yang akan ditanggungnya kelak. Dalam proses menurun pula sufi kembali sepenuhnya kepada kesedaran biasa yang padanya ada perhatian kepada yang banyak. Dalam keadaan kesedaran semula itu tidak ada yang menarik minatnya kecuali hidup sebagai Muslim biasa. Mereka hanya menjalankan perintah Tuhan dan mengajak manusia kepada jalan Tuhan. Setelah mereka menyelesaikan tugas dakwah dan hampir kembali ke Hadrat Ilahi, mereka beralih daripada iman tanpa penyaksian kepada iman secara penyaksian (iman syuhudi).

Jangan menganggap kembali kepada kehidupan dunia sebagai kecacatan atau ditolak daripada majlis Tuhan. Jangan menyangka fana dalam Tuhan lebih baik daripada berkhidmat kepada makhluk Tuhan. Sufi yang kembali kepada dunia bukan dengan kehendaknya sendiri. Mereka turun dari kesedaran ‘alam tinggi', keluar daripada suasana penyatuan kepada suasana perpisahan adalah dengan perintah Allah s.w.t. Sufi yang kembali kepada dunia tunduk kepada kehendak Allah s.w.t dengan melepaskan kehendak diri sendiri. Golongan sufi yang kembali kepada kehidupan dunia itu bergabung dengan golongan ulama, sama-sama bekerja menyebarkan agama yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w iaitu yang menggabungkan zahir dan batin syariat. Dakwah adalah pekerjaan yang paling mulia. Dakwat ulama ditimbang dengan darah syuhada dan lebih berat.

Dalam apa juga keadaan para sahabat Rasulullah s.a.w adalah contoh teladan terbaik untuk semua zaman. Kelebihan para sahabat sabagai generasi Muslim yang pertama tidak boleh ditandingi oleh generasi yang datang kemudian. Generasi pertama melebihi yang lain kerana mereka memiliki iman yang dilahirkan oleh hubungan secara langsung dengan Rasulullah s.a.w. Iman yang lahir daripada penyampaian secara langsung oleh baginda s.a.w lebih berkesan dan utama daripada iman yang lahir daripada cara-cara lain. Para sahabat tidak melalui fana dan jazbah, tidak ada bersatu dengan Tuhan dan baqa bersama-Nya. Mereka tidak menerima tajalli atau penzahiran Tuhan. Kelebihan mereka terletak pada takwa bukan pada kasyaf, tajalli, zauk dan mabuk. Kelebihan mereka adalah kerana mereka mempraktikkan Sunah Rasulullah s.a.w, berperang bersama-sama baginda s.a.w dan menanggung berbagai-bagai kesusahan demi agama Allah s.w.t. Mereka mendapat Kebenaran Hakiki dalam kesedaran, melalui bimbingan wahyu yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w.

Tarekat sufi hendaklah dijadikan jalan untuk mencapai tahap yang diperolehi oleh para sahabat Rasulullah s.a.w, bukan untuk menyingkap misteri alam dan kehidupan atau untuk memperolehi tajalli. Matlamat sufi mestilah mencari kefahaman yang jelas dan keyakinan yang teguh kepada risalat yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Kebenaran yang dibawa oleh Rasul Allah adalah jelas dan muktamad, tidak boleh dicabar oleh ahli falsafah atau pun ahli sufi. Fikiran, ilham dan kasyaf bukanlah alat untuk mengadakan kebenaran yang kain daripada kebenaran yang telah dinyatakan oleh al-Quran dan as-Sunah.

Risalat yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w memperakui kewujudan benda-benda alam yang memiliki sifat-sifat dan keupayaan, boleh bergerak dan bertindak. Tuhan menciptakan makhluk dan dalam penciptaan makhluk itu Tuhan telah meletakkan keupayaan melakukan perbuatan. Perbuatan makhluk adalah ciptaan Tuhan bukan perbuatan Tuhan. Makhluk menggunakan bakat dan keupayaan yang Tuhan bekalkan kepada mereka bukan makhluk menggunakan perbuatan Tuhan untuk melakukan perbuatan. Perbuatan Tuhan tidak bersamaan dengan perbuatan makhluk. Tuhan menciptakan makhluk dan sifat-sifat mereka tetapi Tuhan bukanlah alat kepada sifat-sifat tersebut. Tuhan yang menciptakan perbuatan tetapi bukanlah Tuhan yang bergerak dalam pancaindera makhluk untuk melahirkan perbuatan.

Tauhid af'al, tauhid asma', tauhid sifat dan tauhid zat bukanlah ajaran yang terdapat dalam risalat yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w tetapi ia adalah pengalaman kerohanian yang berlaku dalam kewalian sufi. Pengalaman yang demikian hanya untuk sufi yang mengalaminya sementara orang ramai wajib berpegang kepada risalat Rasulullah s.a.w. Orang ramai yang sengaja berpegang kepada fahaman sufi yang dalam mabuk, yang menyalahi syariat, hukumnya adalah kufur. Orang sengaja menyengutukan perbuatannya dan dirinya dengan perbuatan Tuhan dan Zat Tuhan sama keadaannya dengan orang Nasrani yang menyengutukan al-Masih dengan Tuhan. Al-Quran mengecam perbuatan kaum Nasrani itu dan perbuatan demikian dikira sebagai perbuatan kaum musyrikin.

Risalat Rasulullah s.a.w memperakui kewujudan fitrah manusia. Dalam fitrah itu ada nilai-nilai baik dan buruk, cantik dan hodoh, sempurna dan cacat dan lain-lain. Tuhan kurniakan kepada seseorang manusia itu kediriannya sendiri untuk wujud sebagai satu individu, tidak perlu berebut pada satu kewujudan seperti Adam atau Muhammad. Tuhan ciptakan untuk manusia keupayaan memilih, fikiran, tindakan dan perasaan. Tuhan adalah Pencipta bukan yang dikuasai oleh ciptaan-Nya. Kepercayaan manusia bukan kepercayaan Tuhan. Perasaan manusia bukan perasaan Tuhan. Tindakan manusia bukan tindakan Tuhan. Tuhan tidak dikongkong oleh kepercayaan, perasaan dan tindakan manusia. Manusia yang merasai bahagia dan manusia juga yang merasai kecelakaan. Tidak ada jalan buat manusia untuk mempersekutukan apa yang ada dengannya dengan Tuhan.

Risalat Rasulullah s.a.w memperakui ada kepercayaan yang benar dan ada kepercayaan yang salah. Risalat membezakan yang baik dengan yang jahat, yang benar dengan yang batal. Risalat dengan jelas dan tegas mengatakan bahawa manusia bertanggungjawab ke atas perbuatannya, kepercayaanya dan sikapnya. Tuhan akan mengadili manusia dan akan memberi balasan kepada yang baik dan menghukum yang jahat. Risalat menolak fahaman sebahagian manusia yang meletakkan kesalahan kepada Tuhan.

Rasulullah s.a.w mengajarkan bahawa manusia adalah hamba Tuhan. Tuhan ciptakan manusia supaya mereka berbakti kepada-Nya. Kehambaan atau ubudiah merupakan kemuncak perjalanan suluk orang sufi. Kehambaan yang sempurna adalah yang berbakti kepada Allah s.w.t dengan sepenuh jiwa raga, beriman kepada firman-Nya dengan disertai oleh kepatuhan dan ketaatan, menerima peraturan syarak, berdakwah ke jalan-Nya dan menegakkan kerajaan-Nya di bumi. Setiap Muslim, termasuklah wali Allah, mesti menjadikan Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda s.a.w sebagai contoh tauladan. Semakin hampir dengan Sunah baginda s.a.w semakin benar dan baiklah seseorang Muslim itu. Tidak ada wali yang bebas daripada Sunah Rasulullah s.a.w atau yang boleh menyamai baginda s.a.w. Apa juga kelebihan dan kemuliaan yang diperolehi oleh seseorang wali adalah kerana syafaat baginda s.a.w dan kerana mengikuti Sunah baginda s.a.w.

Jalan sufi pada satu seginya menyamai jalan kenabian. Sufi melakukan amalan sembahyang, puasa, membaca al-Quran, berdoa dan berzikir. Amalan yang demikian diambil dari al-Quran dan as-Sunah. Ia kemudian disusun bagi memudahkan pengikut satu-satu tarekat itu mengamalkannya bagi mendapatkan kesan yang maksima daripada amalan tersebut. Selain daripada amalan yang bersesuaian dengan ajaran al-Quran dan as-Sunah, terdapat juga bahagian yang benar-benar baharu, tidak kedapatan pada jalan kenabian. Bahagian tersebut adalah yang mengandungi fana, baqa, bersatu dengan Tuhan dan latihan kerohanian yang melahirkan pengalaman tersebut. Bahagian utama jalan kesufian adalah zikir dan tafakur. Bahagian yang paling menonjol adalah pengalaman fana dan baqa. Bahagian yang ada urusan dakwah, jihad dan berbakti kepada orang ramai diberi perhatian yang sedikit sahaja.

Perbezaan yang paling ketara di antara jalan kesufian dengan jalan kenabian adalah pada jalan kesufian terdapat dua keadaan yang terpisah. Pada peringkat pertama sufi membenamkan diri mereka ke dalam Tuhan, mengalami fana dan bersatu. Kemudian sufi mengalami perpisahan dan baqa. Seterusnya sufi kembali kepada kesedaran normal dan kepada dunia untuk berkhidmat kepada orang ramai. Peringkat naik kepada Tuhan dan turun kepada dunia merupakan dua peringkat yang berbeza dalam perjalanan sufi. Pada jalan kenabian pula tidak ada fana dan baqa, tidak ada naik dan turun. Hubungan dengan Tuhan dan hubungan dengan sesama manusia bukanlah dua peringkat yang terpisah pada jalan kenabian. Kedua-dua peringkat tersebut tidak datang secara berasingan. Wali pada jalan kenabian tidak hilang perhatian kepada makhluk ketika sangat hampir dengan Tuhan dan tidak membelakangi Tuhan ketika melayani makhluk. Pada jalan kenabian berkhidmat kepada sesama makhluk merupakan ketaatan kepada Allah s.w.t, didorong oleh rasa kasih dan ingat kepada-Nya. Pada jalan kenabian makhluk tidak menghijab Tuhan dan kehadiran Tuhan dalam ingatan tidak melenyapkan makhluk.

Seseorang yang mahu memasuki aliran tarekat perlulah mengetahui persamaan dan perbezaan di antara jalan kenabian dan jalan kesufian. Pengetahuan tersebut boleh membantunya untuk memilih amalan yang bersumberkan al-Quran dan as-Sunah dan menolak ajaran yang bercanggah dengan ajaran Rasulullah s.a.w. Memelihara Sunah Rasulullah s.a.w boleh mengelakkan ahli suluk daripada terperangkap di dalam pusaran wahdatul wujud. Wahdatul wujud bukanlah syarat bagi menyempurnakan perjalanan kesufian seperti memperolehi fana dan baqa. wahdatul syuhud (menyaksikan satu wujud) sudah memadai untuk melalui peringkat tersebut. wahdatul syuhud yang dialami dengan disertai oleh keyakinan kepada ajaran Rasulullah s.a.w akan membawa seseorang melepasi penyaksian, suara, gambaran, cahaya, warna dan rupa-bentuk misal yang ditemui dalam perjalanan. Keyakinan kepada ajaran Rasulullah s.a.w bahawa Allah s.w.t tidak menyamai sesuatu menjadi tenaga yang kuat menarik ahli suluk keluar daripada medan wahdatul wujud.

Tidak semua sufi terlibat dengan mabuk dan hilang kesedaran. Ada sufi yang melalui jalan yang mengeluarkan pengalaman yang bersesuaian dengan al-Quran dan as-Sunah, tidak ada padanya mabuk, hilang kesedaran dan bercakap menyalahi syariat. Di antara sufi yang termasuk di dalam golongan ini adalah Ibrahim Adham, Abdul Kadir Jailani dan Junaid al-Baghdadi. Ada juga golongan sufi yang memasuki pengalaman mabuk, fana, hilang kesedaran dan mengeluarkan ucapan latah, tetapi apabila mereka kembali sedar mereka mengakui kesilapan pada kelakuan mereka. Bila tidak dikuasai oleh jazbah mereka berpegang teguh kepada Sunah Rasulullah s.a.w. Di antara sufi yang termasuk ke dalam golongan ini adalah Abu Yazid, an-Nuri dan Syibli. Sufi golongan ke tiga pula berpegang kepada fahaman yang terang-terang bercanggah dengan prinsip Islam. Di antara mereka adalah Abu Mansur al-Hallaj dan Ibnu Arabi. Sufi kumpulan pertama dipelihara sehingga air syariat yang mereka bawa tidak berubah warna, malah pada setiap peningkatan kerohanian air tersebut menjadi semakin jernih. Apabila mereka meninggalkan kewalian cara sufi dan masuk kepada kewalian cara kenabian, air syariat mereka sudah menjadi sangat jernih dan murni. Sufi kumpulan ke dua pula air syariat mereka berubah warna pada satu peringkat, seumpama tuak menjadi masam dan mereka mengalami mabuk, tetapi dengan rahmat Allah s.w.t mereka dibawa melepasi peringkat mabuk itu dan kembali kepada kesedaran semula. Sufi kumpulan ke tiga hidup terus menerus di dalam mabuk. Walaupun air syariat mereka sudah berubah warna namun, zat air yang asli masih ada dengan mereka. Oleh itu mereka tetap mengerjakan sembahyang dan beristighfar.

Orang jahil yang cuba-cuba menjadi sufi ikutan mudah keliru dengan suasana sufi kumpulan ke tiga. Al-Hallaj yang selalu mengucapkan: "Ana al-Haq" kuat mengerjakan sembahyang dan beristighfar. Apa perlunya sembahyang dan istighfar kepada orang yang mengaku menjadi Tuhan? Bermacam-macam tafsiran diberikan mengenainya. Orang jahat menjadikannya hujah untuk menyebarkan kekufuran. Ada yang mengatakan bahawa ahli makrifat mengerjakan syariat bukan untuk dirinya sendiri tetapi hanyalah untuk memberi pengajaran kepada orang lain yang belum bermakrifat.

Ulama syariat (zahir dan batin) mengerti apa yang menguasai hati al-Hallaj, Ibnu Arabi dan sufi lain yang seperti mereka. Mereka adalah umpama pemuda yang sedang dilamun cinta. Darah muda yang diresapi oleh arak cinta membuat mereka mabuk dan hilang pertimbangan. Yang kelihatan kepada mereka hanyalah yang dicintai, yang lain tidak kelihatan lagi. Tetapi setiap kali mendatangi Kekasih, mereka diperingatkan oleh Kekasih mereka : "Cintailah apa yang Aku cinta demi cintamu kepada-Ku!" Si pencinta memperhambakan diri kepada Kekasihnya dan berkhidmat kepada yang dikasihi oleh Kekasihnya. Si pencinta sering memohon kemaafan kepada Kekasihnya kerana dia melihat kekurangan pada apa yang dipersembahkan untuk Kekasihnya. Sufi-asyikin bermunajat: "Wahai Kekasih. Aku larut dalam CintaMu. Air CintaMu memenuhi setiap zarah wujudku. Zarah-zarah yang hidup dengan air CintaMu hanya mendapat kepuasan dalam salat demi mengingatiMu namun, apabila hendak dipersembahkan kepadaMu tidak ada satu pun layak dipersembahkan, sekalipun mengalir darah dari mataku dalam mengerjakannya. Maaf, wahai Kekasih. Maaf sebanyak keampunanMu mendinding kemurkaanMu". Sufi golongan ini perlu disimpati. Seberat-berat ujian bala bencana berat lagi kerinduan kepada Tuhan yang menguasai hati para pencinta-Nya. Sebagai rahmat dari-Nya sebahagian beban tersebut terangkat melalui salat.
Sebahagian sufi meletakkan segala perkara kepada takdir semata-mata. Tuhan yang memiliki kekuasaan Mutlak. Dia menguasai dan mengadakan peraturan untuk semua makhluk-Nya. Tuhan telah mengadakan ketentuan awal yang mengikat segala sesuatu. Oleh yang demikian sufi tersebut enggan memanggil sesuatu itu baik atau buruk seperti yang dinyatakan oleh syariat. Mereka tenggelam di dalam Qadar Tuhan sehingga tidak ada ruang untuk amr-Nya (peraturan-Nya). Mereka asyik menyaksikan Rububiah sehingga tidak berusaha melakukan tanggungjawab terhadap Uluhiyah-Nya. Kebanyakan mereka tidak melihat ruang untuk berdoa, berdakwah dan berjihad. Mereka percaya segala perkara perlu diserahkan bulat-bulat kepada Tuhan dan mereka perlu menerima apa sahaja yang sampai kepada mereka. Mereka tidak perlu mencari kebaikan dan menghindarkan keburukan. Mereka enggan memperbaiki kerosakan dan menentang kejahatan dan kezaliman.

Syeikh Abdul Qadir Jailani merupakan salah seorang sufi yang tidak jatuh ke dalam fahaman yang disebutkan di atas. Syeikh Abdul Qadir memperakui bahawa manusia boleh masuk ke dalam salah satu daripada dua golongan iaitu golongan yang berada di dalam kedamaian, keamanan dan kebahagiaan dalam melakukan ketaatan kepada Tuhan dan golongan ke dua adalah yang berada dalam keadaan tidak selamat, keraguan, keresahan dan kekacauan dalam keengkaran mereka kepada Tuhan dan peraturan-Nya. Kedua-dua nilai iaitu ketaatan dan keengkaran ada dalam diri manusia, dalam takdir yang Tuhan pertaruhkan pada manusia. Tuhan meletakkan di dalam takdir manusia itu sesuatu yang unik, iaitu keupayaan atau bakat untuk membuat pilihan. Memilih untuk berbuat taat atau berbuat maksiat merupakan bakat asasi manusia yang dkurniakan oleh Tuhan. Ia merupakan takdir yang Tuhan tentukan sejak azali dan ia juga termasuk dalam perkara Qadak dan Qadar. Bakat memilih itulah yang melahirkan usaha, perasaan, fikiran, pertimbangan dan tindakan. Semua itu adalah sifat atau bakat fitrah manusia. Kebolehan manusia membuat pilihan tidak sedikit pun mencabar kehendak Tuhan kerana memang kehendak Tuhan menjadikan manusia berkeupayaan membuat pilihan, tetapi Tuhan yang memegang kemutlakan. Dia berkuasa menggunakan Kuasa Mutlak-Nya menurut kehendak-Nya tanpa terikat dengan bakat manusia.

Jika manusia memilih jalan yang menjadikan kesucian, kebaikan dan keikhlasan lebih menguasai maka sifat-sifat mementingkan diri akan bertukar menjadi suasana kerohanian dan bahagian diri yang engkar akan dikalahkan oleh bahagian diri yang baik. Jika manusia memilih untuk mengikut hawa nafsunya yang rendah dan kesenangan ego dirinya, sifat-sifat engkar akan menguasai bahagian diri yang satu lagi untuk menjadikannya engkar dan jahat. Orang yang berjaya mengubah sifat mementingkan diri dan hawa nafsu yang rendah kepada cita-cita kerohanian, baginya tidak ada hisab. Dia akan memasuki syurga tanpa melalui huru-hara hari kiamat. Orang yang menyedari kesalahannya dan bertaubat akan mengubah haluannya akan mendapati suasana engkar akan bertukar menjadi taat dan beribadat. Semoga mereka mendapat keampunan Allah s.w.t dan diselamatkan ketika menghadapi maut dan hisab.

Haruslah difahami bahawa Qadak dan Qadar adalah urusan Tuhan yang berkedudukan sama seperti urusan-urusan Tuhan yang lain, yang manusia tidak diberi ilmu mengenainya melainkan sangat sedikit. Qadak dan Qadar Tuhan, Kalam Tuhan, rahmat Tuhan, sifat Tuhan, nama Tuhan, murka Tuhan dan apa sahaja yang mengenai Tuhan adalah ketuhanan yang sedikit sangat ilmu manusia mengenainya. Qadak dan Qadar bukanlah perkara yang mampu diolah oleh akal manusia. Jika perkara tersebut diperbahaskan berlarutan ia akan membawa kepada kekufuran dan bidaah. Tidak ada sesiapa yang boleh menjadikan takdir untuk berbuat jahat. Iblis telah meletakkan kesalahan kepada takdir lalu dia menjadi durhaka, kafir dan dilaknati oleh Tuhan, dibuang jauh daripada keampunan-Nya dan ditutup jalan untuk kembali kepada-Nya. Adam a.s mengakui kesalahan dirinya, tidak menyalahkan takdir, dan memohon keampunan dari Tuhan. Tuhan mengampunkan Adam as. Dan menyelamatkannya. Percaya kepada takdir secara yang ditunjukkan oleh Adam a.s adalah benar beriman kepada Qadak dan Qadar. Percaya kepada takdir seperti yang telah ditunjukkan oleh iblis bukanlah beriman kepada Qadak dan Qadar yang disuruh oleh Tuhan. Kaum Muslimin berkewajipan menjaga batas akal agar tidak berpanjangan mencari kunci teka-teki Qadak dan Qadar, sepertimana mereka tidak boleh menghujah kenyataan : " Allah tidak serupa dengan sesuatu". Memang benar Tuhan telah mengadakan ketentuan sejak azali, tetapi ia bukan seperti yang kita fikirkan, sangkakan, khayalkan dan angankan. Apa sahaja yang pada sisi Tuhan tetap tidak serupa dengan apa yang terlintas pada fikiran, khayalan, angan-angan dan perasaan manusia. Sebab itulah iman yang paling tinggi adalah iman siddiqin, iman tanpa hujah tanpa takwil.
15: Konsep ketuhanan
Allah s.w.t berfirman:

Dialah yang menciptakan langit dan bumi; Ia menjadikan bagi kamu pasangan-pasangan dari jenis kamu sendiri, dan menjadikan dari jenis binatang-binatang ternak pasangan-pasangan (bagi binatang-binatang itu); dengan jalan yang demikian dikembangkan-Nya (zuriat keturunan) kamu semua. Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (Zat-Nya, sifat-sifat-Nya dan pentadbiran)-Nya, dan Dia Maha Mendengar, Maha Melihat.(Ayat 11 : Surah asy-Syura)

Akuilah kesucian Tuhanmu, - Tuhan yang mempunyai keagungan dan kekuasaan, - dari apa yang mereka katakan! ( Ayat 180 : Surah as-Saaffaat )
Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: "Tuhan kami adalah Allah!" kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): "Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu. ( Ayat 30 : Surah Fussilat )

Allah s.w.t tidak menyerupai sesuatu, baik yang nyata mahupun yang ghaib ataupun yang tersembunyi, sama ada yang muncul dalam fikiran atau khayalan atau perasaan. Dia melampaui apa juga sifat yang disifatkan kepada-Nya. Dia melampaui bahasa apa juga yang digunakan untuk menceritakan mengenai-Nya. Manusia dituntut agar beriman kepada-Nya. Cukuplah dengan beriman bahawa Allah s.w.t adalah Tuhan dan teguhkan iman tersebut tanpa membongkar Rahsia Diri-Nya, kerana tidak ada jalan untuk meruntuhkan benteng keperkasaan-Nya yang menghalang apa sahaja daripada berdampingan dan bersekutu dengan-Nya. Dia adalah Esa. Ilmu, khayalan, perasaan, cita-cita dan apa sahaja tidak mungkin masuk ke dalam majlis-Nya untuk mengubah keesaan-Nya. Paling tinggi pengenalan tentang Diri-Nya adalah:

Katakanlah: "Dia adalah Allah, Maha Esa. Allah adalah pergantungan. Tidak Dia beranak dan tidak Dia diperanakkan. Dan tidak ada bagi-Nya setara sesuatu jua pun". ( Ayat 1 - 4 : Surah al-Ikhlas )

Allah s.w.t tidak termasuk di dalam proses beranak dan diperanakkan. Proses beranak dan diperanakkan bukan sekadar kelahiran bayi dari ibunya, malah ia juga termasuk pertumbuhan pokok dari benihnya, perubahan sifat seperti daripada air kepada wap, pemecahan daripada satu kepada lebih daripada satu, pengeluaran cahaya dan bunyi daripada diri, pengeluaran bau, warna, peluh atau sebagainya dan apa sahaja proses yang ada sumber dan ada hasilnya. Allah s.w.t tidak dikurung oleh semua proses tersebut.

Dia adalah Allah, Maha Esa. Dia adalah Maha Suci, Maha Tinggi dan Maha Besar daripada apa yang difikirkan, digambarkan, dikhayalkan, diibaratkan, ditekakan, dirasakan dan disifatkan. Bila Dia mengatakan yang Dia Melihat dan Mendengar maka Melihat dan Mendengar-Nya tidak serupa dengan melihat dan mendengar yang tergambar dalam fikiran dan perasaan manusia. Walaupun dibentangkan 20 Sifat-sifat yang dikatakan sebagai Sifat-sifat yang wajib bagi-Nya, tetapi sifat-sifat tersebut bukanlah sifat-Nya Yang Hakiki. Dia tidak tertakluk kepada sempadan wajib, mungkin dan mustahil. Wajib, mungkin dan mustahil adalah sempadan dalam ilmu. Sifat-sifat yang 20 itu muncul apabila ilmu mencuba untuk memperkenalkan-Nya. Perkenalan melalui ilmu itu hanyalah sekadar untuk menafikan sifat-sifat yang tidak layak bagi-Nya bukan untuk menyatakan sifat-Nya Yang Hakiki. Dia lebih suci, lebih mulia dan lebih agung daripada apa yang dikatakan oleh ilmu dan daripada apa yang diperkenalkan oleh makrifat. Tidak ada ilmu dan tidak ada makrifat yang berkongsi kedudukan dengan keesaan-Nya. Maha Esa bermaksud tidak ada ilmu dan tidak ada makrifat yang mengetahui dan mengenali-Nya. Akal bukanlah alat untuk mengetahuinya dan hati juga bukanlah alat untuk mengenali-Nya Yang Hakiki. Akal dan hati adalah alat untuk beriman kepada-Nya dan mentaati-Nya. Bila akal dan hati sudah tunduk dengan segala kelemahan dan kerendahan, lalu menyerah kepada-Nya baharulah akal dan hati itu dikatakan Islam.

Allah s.w.t Berdiri Dengan Sendiri. Dia tidak memerlukan sifat Wujud untuk kewujudan-Nya. Dia tidak memerlukan sifat Hidup untuk membuat-Nya Hidup. Dia tidak memerlukan sifat Mendengar untuk menjadikan-Nya mempunyai Pendengaran. Dia tidak memerlukan sifat Melihat untuk Penglihatan-Nya. Dia tidak memerlukan sifat Berkata-kata untuk mengadakan Kalam-Nya. Dia tidak memerlukan sifat Iradat untuk Dia berkehendak. Dia tidak memerlukan sifat Ilmu untuk pengetahuan-Nya. Dia serba cukup. Dia Wujud sendiri-Nya, Melihat sendiri-Nya, Mendengar sendiri-Nya, Hidup sendiri-Nya, Berkehendak sendiri-Nya, Mengetahui sendiri-Nya, Berkata-kata sendiri-Nya dan apa jua pun adalah sendiri-Nya tanpa bersandar kepada sebarang sifat. Dia tidak memerlukan sifat atau nilai-nilai tambahan untuk Kesempurnaan-Nya. Dia Berkuasa tanpa bersandar kepada sifat Berkuasa. Dia Mencipta tanpa memerlukan sifat Berkuasa Mencipta. Allah s.w.t serba cukup dengan Diri-Nya sendiri, dengan keesaan-Nya tanpa memerlukan sokongan sifat dan alat.

Perlu diingatkan bahawa fikiran, perasaan, bahasa, perkataan, istilah, ungkapan, ibarat dan misal semuanya adalah makhluk, iaitu sesuatu yang termasuk di dalam ciptaan Tuhan, baik secara nyata atau abstrak. Apa yang Tuhan ciptakan tidak ada kekuatan untuk memperihalkan tentang Tuhan. Apa sahaja yang terlintas dalam fikiran dan perasaan, yang terucap oleh perkataan dan bahasa, yang digambarkan sebagai ibarat, misal dan sifat, semuanya bukanlah Allah s.w.t. Apa juga istilah yang digunakan semuanya juga bukan Allah s.w.t. Ahadiyyah, Wahdat dan Wahadiyyah bukanlah Allah s.w.t. Tiada kenyataan, kenyataan pertama, kenyataan ke dua dan kenyataan ke tiga semuanya bukanlah Allah s.w.t. Zat, sifat, asma' dan af'al semuanya bukanlah Allah s.w.t. Roh Kudus, Roh Idhafi dan Roh Rabbani bukanlah Allah s.w.t. Alam Lahut, Balhut dan Jamhut bukanlah Allah s.w.t. Alam Ghaibul Ghuyub, Alam Ghaib, Alam Kabir dan Alam Saghir bukanlah Allah s.w.t. Alam Arwah dan Alam Misal bukanlah Allah s.w.t. Alam Malakut dan Alam Jabarut bukanlah Allah s.w.t. Semuanya, sekaliannya, yang beribu-ribu lagi istilah dan perkataan yang digunakan adalah sesungguhnya dan sebenarnya bukanlah Allah s.w.t. Semua itu hanyalah perihal tentang keadaan Allah s.w.t, kesucian Allah s.w.t, kebesaran Allah s.w.t, kebijaksanaan Allah s.w.t, keindahan Allah s.w.t, kekayaan Allah s.w.t, cahaya Allah s.w.t, kenyataan Allah s.w.t dan sesuatu tentang Allah s.w.t tetapi bukanlah Dia.


Dan bagi Allah jualah misal (sifat) yang tertinggi, dan Dialah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. ( Ayat 60 : Surah an-Nahl )


Dan supaya orang-orang (munafik) yang ada penyakit (ragu-ragu) dalam hatinya dan orang-orang kafir berkata: "Apakah yang dimaksudkan oleh Allah dengan perumpamaan ini?" Demikianlah disesatkan Allah barangsiapa yang Dia kehendaki dan diberi-Nya petunjuk kepada barangsiapa yang Dia kehendaki. Dan tidaklah ada yang mengetahui tentera Tuhan engkau itu melainkan Dia jua. Dan tidaklah ada yang demikian itu melainkan peringatan bagi manusia. (Ayat 31 : Surah al-Muddaththir )

Apa juga yang dikatakan tentang Allah s.w.t adalah misal dan sifat yang layak disebut oleh manusia. Allah s.w.t yang mengajarkan manusia apa yang layak diperkatakan tentang Diri-Nya. Al-Quran mengatakan: "Katakanlah..." Tuhan yang mengizinkan manusia berkata sesuatu tentang-Nya. Dia yang ajarkan dan izinkan manusia berkata:


Katakanlah: "Dia adalah Allah, Maha Esa. Allah adalah as-Samad".Dia yang mengajarkan dan mengizinkan manusia memanggil-Nya Allah dan berbagai-bagai nama yang baik-baik. Dia juga mengizinkan manusia mengatakan bahawa Dia Mendengar, Melihat, Berkuasa, Hidup, Berkehendak, Berkata-kata dan Mengetahui. Manusia hanya perlu beriman kepada-Nya dan katakan apa yang Dia izinkan untuk dikata. Keizinan memperkatakan tentang Diri-Nya yang diberikan-Nya melalui al-Quran adalah kebenaran yang sejati. Kebenaran yang datang daripada Allah s.w.t kepada Rasulullah s.a.w itulah yang paling benar. Kebenaran yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w kepada umat manusia itulah kebenaran yang tetap benar. Sebab itu tidak ada kebenaran yang melebihi kebenaran syariat. Kebenaran Hakiki hanya perlu diimani, dipercayai. Sebelum sampai kepada Kebenaran Hakiki ditemui kebenaran melalui fikiran, ilham dan kasyaf. Kebenaran yang diperolehi secara logik, dalil dan penyaksian hati adalah bayangan kepada Kebenaran Hakiki yang "Tiada sesuatupun yang sebanding dengan-Nya". Jadi, walaupun diberikan-Nya keizinan untuk menyebut-Nya dengan berbagai-bagai nama dan menyifatkan-Nya dengan berbagai-bagai sifat namun, manusia berkewajipan mengawasi iktikad akal dan hati agar benteng "Tiada sesuatupun yang sebanding dengan-Nya" tidak dirobohkan oleh akal dan hati. Logik, dalil dan penyaksian hanyalah kenderaan untuk sampai kepada beriman dengan Yang Hakiki.

Tuhan tidak memerlukan sifat-sifat dan nilai-nilai tambahan untuk kesempurnaan-Nya tetapi makhluk memerlukan, berhajat dan bergantung kepada medan wujud, medan ketuhanan dan sifat-sifat ketuhanan bagi menumpang kewujudan mereka. Medan di sini bukan bermaksud ruang. Tidak boleh dikatakan di samping ruang yang diisi oleh kewujudan makhluk ada ruang yang menempatkan kewujudan sifat-sifat ketuhanan. Sifat ketuhanan atau pun urusan Tuhan tidak memerlukan ruang. Misalnya, sifat Ilmu dan kewujudan dalam Ilmu tidak memerlukan ruang untuk wujud. Makhluk memerlukan pemangkin, penyokong, hijab atau medan wujud yang bersifat ketuhanan bagi memelihara kewujudan makhluk itu agar menjadi benar, nyata, ada kesinambungan dan stabil. Sifat ketuhanan juga diperlukan oleh makhluk bagi melindungi mereka daripada tajalli Allah s.w.t. Jika makhluk menerima tajalli Allah s.w.t makhluk akan hancur dan hilang lenyap. Sifat-sifat ketuhanan menjadi hijab yang kukuh melindungi kewujudan makhluk dan menyelamatkan mereka. Kewujudan yang tidak ada hijab melindunginya adalah kewujudan ciptaan ahli silap mata. Ciptaan ahli silap mata tidak stabil, tidak benar dan tidak bertahan kewujudannya. Ciptaan Tuhan yang dihijabkan oleh sifat-sifat ketuhanan bersifat stabil, benar dan kekal kewujudannya sampai kepada akhirat. Hijab ketuhanan yang memegang kewujudan makhluk, yang ada hubungan dengan makhluk, itulah sifat-sifat Tuhan yang Dia izinkan dinisbahkan kepada-Nya. Sifat-sifat-Nya yang tidak boleh diperkatakan adalah sifat-Nya Yang Hakiki. Aspek Tuhan yang boleh disifatkan dan diperkatakan dinamakan tasybih dan yang tidak boleh dikatakan dinamakan tanzih. "Tiada sesuatu menyamai-Nya" adalah aspek tanzih. "Dan Dia Mendengar dan Melihat" adalah aspek tasybih. Makrifat yang sempurna adalah yang mengenal Tuhan dalam aspek tasybih dan tanzih sekaligus.

Penciptaan makhluk berhubung dengan sifat Tuhan. Sekiranya tidak ada sifat-sifat Tuhan yang menghijab atau menjadi perantaraan nescaya tidak akan ada penciptaan makhluk. Sifat menghubungkan Pencipta dengan penciptaan. Hanya orang yang tidak mengerti menolak peranan sifat lalu menghubungkan ciptaan terus kepada Dia Yang Maha Tinggi. Jika Tuhan bukakan tajalli cahaya Zat-Nya Yang Hakiki tentu makhluk akan binasa, kewujudan akan hilang. Kenyataan yang pertama juga akan lenyap jika berhadapan dengan keagungan Allah Yang Maha Agung lagi Maha Perkasa. Hubungan makhluk dengan Tuhan hanyalah sekadar layak dan mampu makhluk bertahan, iaitu hubungan yang dimisalkan atau hubungan melalui sifat-sifat-Nya yang tasybih, bukanlah hubungan dalam ertikata yang sebenarnya.

Alam memiliki kewujudan yang benar. Alam benar-benar wujud, bukan khayalan. Tetapi wujud alam berbeza dengan Wujud Tuhan, berbeza dengan sifat-sifat Tuhan yang diistilahkan sebagai tasybih apalagi yang tanzih. Wujud alam diistilah sebagai wujud yang mungkin (mumkinul wujud) dan wujud sifat Tuhan diistilahkan sebagai Wujud yang wajib (Wajibul Wujud). Maksud Wajibul Wujud yang boleh dicapai oleh pemikiran dan kasyaf adalah Wajibul Wujud sifat. Zat Allah Yang Maha Tinggi tidak termasuk di dalam sempadan pemikiran dan penyaksian hati, tidak terlibat dengan wujud yang wajib, wujud yang mungkin dan wujud yang mustahil. Sifat-sifat yang diistilahkan sebagai Wajibul Wujud adalah sifat tasybih. Dalam pandangan kasyaf sufi menyaksikan sifat tasybih sebagai berada satu tingkat di bawah daripada Zat. Sifat tanzih pula tidak terpisah dengan Zat kerana sifat tanzih adalah sifat-Nya Yang Hakiki yang tida ada beza dengan Zat-Nya. Zat dan Sifat Hakiki adalah yang sama. Zat Hidup, Wujud, Melihat, Mendengar, Berkata-kata, Berkehendak dan Berkuasa dengan Zat-Nya sendiri bukan dengan sifat-sifat Hidup, Wujud, Melihat, Mendengar, Berkata-kata, Berkehendak dan Berkuasa. Apa sahaja yang dengan Zat tidak berpisah dan tidak lain daripada Zat. Perpisahan dan perbezaan terjadi dalam ilmu dan penyaksian. Zat Yang Maha Suci menyatakan kesempurnaan-Nya melalui Sifat-sifat dan Nama-nama yang dinisbahkan kepada-Nya. Sebab itulah Zat, Sifat dan asma' dipandang sebagai berkedudukan berbeza-beza. Apa yang dipandang sebagai berbeza dengan Zat itu adalah bayangan kepada Yang Hakiki, diistilahkan sebagai penzahiran, pembukaan atau tajalli. Kewujudan makhluk berhubung dengan bayangan dan diselimuti oleh hijab-hijab. Walaupun yang digunakan adalah istilah bayangan, tetapi bayangan itu adalah bayangan martabat ketuhanan, tidak sama dengan bayangan benda-benda alam. Bayangan atau hijab ketuhanan berperanan di dalam kewujudan dan kesinambungan kewujudan makhluk. Hijab ketuhanan berhubung dengan alam maya dan kerana perhubungan tersebutlah manusia boleh mengenal Tuhan menurut kadar kehendak-Nya untuk dikenali. Orang yang kasyafnya sampai kepada hijab atau bayangan menyaksikan sifat sebagai berpisah dengan Zat. Selepas melepasi peringkat bayangan atau hijab dia akan menyaksikan sifat tidak berpisah dengan Zat, malah sifat bukan lain daripada Zat. Sedikit sangat orang yang sampai kepada tahap ini, iaitu kepada Yang Hakiki. Pada Yang Hakiki Pendengaran-Nya adalah Penglihatan-Nya dan juga Percakapan-Nya.

Dialah Yang Awal dan Yang Akhir, dan Yang Zahir serta Yang Batin, dan Dialah Yang Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. ( Ayat 3 : Surah al-Hadiid )

Yang Awal, Yang Akhir, Yang Zahir dan Yang Batin adalah Yang Sama, Yang Esa. Tidak ada perbezaan dan perpisahan di antara Kudrat (kuasa)-Nya dengan Iradat (kehendak)-Nya. Yang Menghidupkan adalah Esa dengan Yang Mematikan. Apabila dua sifat yang pada logiknya dipandang bertentangan sudah berada dalam suasana harmoni, iaitu suasana as-Salam (Yang Mensejahterakan), sesungguhnya seseorang itu telah menyaksikan Yang Hakiki, yang tidak bertentangan Awal-Nya dengan Akhir-Nya dan Zahir-Nya dengan Batin-Nya. Pandangan yang demikian dikatakan melihat Allah s.w.t pada setiap waktu, ruang dan keadaan. Inilah sifat orang yang benar-benar mengenal Tuhan.

Sifat Tuhan seperti juga Zat-Nya, adalah unik, tidak boleh dihurai atau dipecahkan. Sifat Tuhan adalah sifat keesaan di mana kesemua sifat-Nya berkamil dalam keesaan, tidak berpisah dan tidak berbeza di antara satu dengan yang lain. Perbezaan pada sifat dibuat secara ilmiah bukan keadaan yang sebenar. Secara ilmiah disebutkan sifat Wujud, Hidup, Melihat dan sebagainya. Walaupun dipandang satu-satu namun keunikan sifat tersebut tetap ada. Keunikan tersebut dipanggil juga kemutlakan. Ilmu Tuhan dikatakan Ilmu yang Mutlak. Ilmu Mutlak tidak mampu dihuraikan. Dalamnya berkumpul pengetahuan dari awal hingga ke akhirnya. Ini bermakna Tuhan mengetahui tentang alam ini daripada sebelum adanya hinggalah kepada tanpa kesudahan. Tuhan mengetahui daripada azali hinggalah kepada abadi dan pengetahuan tersebut adalah pengetahuan secara keesaan, iaitu tatkala mengetahui yang azali itu jugalah Dia mengetahui yang abadi. Tidak ada ruang atau jarak masa pada pengetahuan-Nya sekalipun pengetahuan itu mengenai perkara yang melalui ruang, masa dan zaman. Pada sisi Tuhan, kelmarin, hari ini dan esok adalah yang sama. Tidak ada masa, ruang dan jarak pada sisi-Nya.

Sifat Tuhan Berkata-kata juga Mutlak. Tuhan berkata-kata sejak keazalian sampai kepada keabadian tanpa satu patah perkataan dan tanpa suara. Manusia bercakap dalam satu tempuh menggunakan berpatah-patah perkataan dan ada mengeluarkan suara. Tetapi Tuhan Berkata-kata dalam keadaan Kalam-Nya yang pertama dengan Kalam-Nya yang terakhir adalah Kalam yang sama, tidak berpisah, tidak berbeza dan tidak bersuara. Begitu juga dengan sifat Tuhan yang lain. Sifat kemutlakan menyebabkan Tuhan berkuasa berhubung dengan makhluk-Nya tanpa berlaku pertembungan Wujud Tuhan dan sifat Tuhan dengan wujud makhluk dan sifat makhluk. Kemutlakan sifat Tuhan menyebabkan tidak mungkin makhluk termasuklah manusia bersekutu dengan perbuatan atau sifat Tuhan, apalagi Zat Tuhan. Manusia yang membalingkan tombaknya perlu mengadakan beberapa pergerakan, tetapi perbuatan Tuhan tidak memerlukan pergerakan. Tidak mungkin manusia menggunakan perbuatan Tuhan dalam melakukan perbuatannya. Kebenaran ini tidak terjangkau oleh logik. Hukum logik mengatakan tidak mungkin Tuhan Mengetahui benda-benda alam jika Ilmu-Nya tidak ada hubungan dengan benda-benda tersebut. Hukum logik juga mengatakan tidak mungkin Tuhan menciptakan alam jika Kuasa-Nya tidak ada hubungan dengan alam. Hukum logik tidak mengerti bahawa pada tahap "Tuhan melampaui segala sesuatu" keabadian yang lalu (azali) dan keabadian yang akan datang (abadi) adalah satu masa yang sama, malah masa tidak wujud pada tahap ini. Itulah kemutlakan. Pada tahap kemutlakan jika sifat Wujud dipakaikan kepada Tuhan maka ia adalah Wujud Mutlak yang tidak ada permulaan, tiada kesudahan, tidak menempati ruang dan tidak ada persaingan daripada yang tidak Mutlak.

Kebenaran Hakiki menyatakan bahawa Allah s.w.t Yang Maha Suci, Maha Tinggi, Maha Besar, melampaui apa juga sifat yang disifatkan bagi-Nya. Dia melampaui tahap Wujud. Wujud merupakan kenyataan pertama tentang Zat Allah s.w.t Yang Maha Tinggi. Kebanyakan sufi menyamakan Wujud dengan Zat Yang Maha Suci. Perbezaan tahap Wujud dengan Zat Allah s.w.t Yang Melampaui Segala Sesuatu sangat halus hinggakan kebanyakan manusia gagal menyedarinya atau enggan menerima perbezaan tersebut. Ramai manusia menyembah Wujud sebagai Tuhan dan gagal melampauinya untuk mencapai matlamat sebenar penyembahan, ketaatan dan penyayangan yang melepasi tahap tersebut. Mereka menganggap Wujud sebagai sumber kepada segala yang maujud dan penyebab kepada segala kejadian. Mereka juga lupa bahawa Wujud bergantung dan berhajat kepada Zat-Nya yang melampaui Wujud atau yang tidak wujud. Sebab itulah kefanaan yang menyeluruh atau ketidakwujudan yang sejati tidak menemukan seseorang dengan Kebenaran Hakiki. Kesatuan Wujud (wahdatul wujud) juga gagal menemui Kebenaran Hakiki. Kebaqaan (kekekalan bersama Tuhan) juga gagal berbuat demikian. Kebenaran Hakiki hanya ditemui dalam kesedaran yang sepenuhnya, menyedari bahawa: "Katakanlah: ‘Tuhan kami adalah Allah!' Kemudian teguhkan pendirian". Kebenaran Hakiki ditemui melalui iman yang teguh.

Fikiran, ilham dan kasyaf manusia bertingkat-tingkat. Oleh itu fahaman, kepercayaan dan pegangan mereka juga berbeza-beza mengenai keunikan dan kemutlakan Tuhan dan sifat Tuhan yang tidak mampu dihurai oleh akal fikiran. Orang yang mencari Tuhan dengan menggunakan akal fikiran akan jatuh ke dalam salah satu golongan. Golongan pertama menjadi gila. Golongan ke dua menjadi ateis (tidak percaya kepada kewujudan Tuhan). Golongan ke tiga mengaku kalah dan menyerah. Orang yang mencari Tuhan melalui ilham adalah golongan ahli falsafah dan sebahagian daripada golongan sufi. Ahli falsafah tertarik dengan sifat kesempurnaan Tuhan dan ahli sufi asyik dengan sifat keelokan Tuhan. Sufi yang lebih maju mencari Tuhan dengan kasyaf mereka dan mereka temui bayangan Tuhan. Sufi yang menyaksikan bayangan Tuhan banyak mengeluarkan pendapat yang ganjil-ganjil tentang Tuhan. Sufi yang dapat melepasi peringkat bayangan akan menjadi seperti ahli fikir golongan ke tiga yang tunduk, menyerah dan beriman. Pengakuan terhadap kedaifan dan kejahilan diri merupakan pintu kepada penyerahan (keislaman) yang sejati yang membawa kepada mengenal Yang Hakiki sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. Oleh sebab itulah sufi yang arif bersepakat dengan orang alim yang benar. Titik pertemuan mereka adalah syariat yang menggabungkan yang zahir dengan yang batin.


bersambung........................jalansufi