Ya Allah, Atas KemuliaanMu,KeagunganMu dan Belas EhsanMu limpahkan lah hidayahMu kepada kami,semuga kami semua berjumpa dengan sebenar-benar jalan untuk kami pulang kesisiMu........


Fekah tanpa tasauf fasik,Tasauf tanpa fekah zindiq

Thursday, December 01, 2011

Penjelasan Mengenai Hadith Jariyah (Di Mana ALlah?) Bab 6, 7 Dan 8

Penjelasan Mengenai Hadith Jariyah (Di Mana ALlah?) Bab 6


Kajian Dari Sudut Perbandingan Ad-Dilalah (Petunjuk) dalam Riwayat-riwayat Tersebut

Perbahasan sebentar tadi sudah jelas menunjukkan bahawasanya dari sudut sanad sahaja, lafaz hadith Aina Allah adalah marjuh. Kini, kita akan membincangkan pula dari sudut makna antara lafaz-lafaz hadith tersebut, yang mana yang lebih dekat dengan usul aqidah Islam.

Sebagaimana yang difahami daripada hadith-hadith Al-Jariyyah tersebut, Rasulullah s.a.w. bertanya kepada hamba perempuan tersebut dengan tujuan untuk menilai samada dia seorang yang beriman ataupun tidak.

Tujuan dan maksud Rasulullah s.a.w. bertanyakan kepada Al-Jariyyah tersebut demi untuk menilai adakah hamba perempuan tersebut seorang yang perpegang dengan aqidah Islam yang murni.

Berdasarkan daripada tujuan pertanyaan Rasulullah s.a.w. inilah, dapat kita fahami lafaz yang manakah lebih mendekati maksud tujuan pertanyaan Rasulullah s.a.w. tersebut, iaitu untuk menilai keislamannya.

- Lafaz Aina Allah (di mana Allah) Atau Lafaz Bertanyakan Kalimah Syahadah?

- Lafaz "Aina Allah (Di Mana Allah)"

Jika kita menjadikan lafaz hadith riwayat Imam Muslim tersebut sebagai lafaz yang tetap daripada Rasulullah s.a.w., bukan daripada pengaruh perawi, maka ia tidak adil kerana masih ada lagi riwayat yang lain dengan lafaz yang berbeza yang mempunyai jalan sanad yang lebih banyak dan kuat.

Namun, untuk lebih adil dalam menilai, tanpa pengaruh hawa nafsu dan kepentingan taasub kepada kesesatan, kita juga sewajarnya menilai lafaz dalam matan Imam Muslim dan membandingkannya dengan lafaz-lafaz yang lain bagi sampai kepada kehendak soalan Rasulullah s.a.w. tersebut.

Persoalannya, adakah pertanyaan "di mana Allah" membawa kepada tauhid ataupun menetapkan "Allah di atas langit" suatu yang membezakan antara Islam dengan pegangan jahiliyyah orang Arab musyrik pada ketika itu?

Imam Abdullah As-Siddiq Al-Ghumari menjelaskan bahawasanya:
"Sesungguhnya Nabi s.a.w. menjelaskan rukun-rukun Iman dalam hadith Jibril (Sahih Al-Bukhari) menyebut: "Iman adalah kamu beriman kepada Allah, Malaikat, Kitab-kitab, Hari Akhirat dan beriman dengan Qadha dan Qadar", lalu tidak menyebut pula aqidah bahawasanya Allah berada di atas langit.

"Sesungguhnya, aqidah Allah berada di atas langit tidak pernah menetapkan konsep tauhid sama sekali dan tidak juga menafikan syirik itu sendiri. Bagaimana Rasulullah s.a.w. mengetahui keislamannya daripada aqidah tersebut sedangkan orang-orang musyrikinlah yang berpegang dengan aqidah bahawa Allah berada di langit dalam masa yang sama mensyirikkan Allah dalam penyembahan mereka dengan menjadikan tuhan-tuhan di bumi."
(Fath Al-Mu'in: 29)


Rasulullah s.a.w. pernah bertanya kepada Ibn 'Utbah (atau Ibn 'Ubaid) yang musyrik: "Berapa tuhan yang kamu sembah?". Dia menjawab: "Enam tuhan di bumi dan satu tuhan di langit" (Hadith riwayat At-Tirmizi dan Ibn Huzaimah).

Sheikh Dr. Umar Abdullah Kamil berkata: "Bukankah ada golongan yang menyembah bulan, bintang, matahari dan sebagainya yang berada di langit? Maka, kepercayaan tuhan di langit tidak membawa kepada keislaman itu sendiri" (hadith Al-Jariyyah: 9)

Bahkan, aqidah Fir'aun juga percaya Tuhan kepada Nabi Musa a.s. berada di langit dalam masa yang sama dia seorang kafir bahkan mendakwa ketuhanan diri. Jadi, soalan di mana Allah tidak membawa kepada maksud untuk mengetahui samada seseorang itu beriman atau tidak dan aqidah Allah di langit tidak menggambarkan keimanan atau keislaman seseorang itu sendiri.

Dari sudut ini juga sudah menjauhkan lafaz hadith riwayat Imam Muslim daripada kehendak sebenar pertanyaan Rasulullah s.a.w. kepada hamba perempuan tersebut berbanding lafaz hadith riwayat Imam Malik dan sebagainya.

- Adakah Persoalan di mana Allah Sesuai bagi Allah Itu Sendiri?

Amirul Mu'minin fi Al-Hadith Imam Ibn Hajar Al-Asqollani r.a. berkata:

فلا يتوجه على حكمه – سبحانه – لِمَ ولا كيف؛ كما لا يتوجه عليه في وجوده أين وحيث

Maksudnya: Tidak boleh mensasarkan perkataan "kenapa" atau bagaimana kepada ketentuan Allah sebagaimana tidak boleh mensasarkan perkataan "di mana" dan "bagaimana" untuk membahaskan tentang wujud Allah".
(Fath Al-Bari 1/221)



Imam As-Subki ada menyebut dalam As-Saif As-Saqil m/s 94:

أقول : أما القول : فقوله صلى الله عليه وآله وسلَّم للجارية أين الله؟ قالت : في السماء وقد تكّلم الناس عليه قديما وحديًثا

Maksudnya: "Aku berkata: Adapun perkataan Rasulullah s.a.w. kepada hamba perempuan tersebut dengan lafaz di mana Allah, lalu hamba perempuan tersebut berkata: Allah di langit", maka ianya telah diperkatakan oleh ramai ulama' dahulu dan terkini mengenainya (dinilai).




Imam Ibn Rusd Al-Jadd Al-Maliki ada berkata juga:

فلا يقال أين ولا كيف ولا متى لأنه خالق الزمان والمكان

Maksudnya: "Tidak boleh ditanyakan kepada Allah dengan soalan di mana, bagaimana dan bila kerana Allah s.w.t. adalah pencipta masa dan tempat".
Al-Madkhal: Nasa'ih Al-Murid 3/181)


Imam Abu Al-Abbas Ahmad bin Ibrahim Al-Qurthubi berkata dalam kitab Al-Mufhim (syarah Sahih Muslim):

وأين ظرف يسأل به عن المكان كما أن متى ظرف يُسأل به عن الزمان ...وهو لا يصحُّ إطلاقه على الله تعالى بالحقيقة إذ الله تعالى منـزه عن المكان كما هو منـزه عن الزمان بل هو خالق الزمان والمكان ولم يـزل موجودا ولا زمان ولا مكان وهو الآن على ما عليه كان

Maksudnya: "Aina adalah perkataan yang ditanya dengan menggunakannya untuk mengetahui sesuatu tempat sebagaimana juga mata adalah perkataan yang ditanyakan untuk mengetahui masa… (Adapun pertanyaan dengan aina (di mana) tersebut) tidak boleh ditujukan kepada Allah secara hakikatnya kerana Allah s.w.t. tidak bertempat sebagaimana Dia tidak diliputi oleh sebarang masa. Bahkan Diala pencipta masa dan tempat sedangkan Dia wujud sejak azali tanpa bertempat dan tanpa diliputi oleh masa. Dia wujud kini sebagaimana Dia wujud sejak azali. (rujuk Al-Mufhim pada komen terhadap hadith tersebut)



Demikianlah sebagaimana yang dijelaskan oleh para ulama' yang muktabar bahawasanya perkataan ataupun persoalan aina (di mana) Allah s.w.t. itu sendiri tidak layak ditujukan kepada Allah s.w.t.. Oleh yang demikian, Imam Al-Kauthari menjelaskan bahawasanya, ianya (lafaz aina) kembali kepada Mu'awiyah itu sendiri yang bukanlah dari kalangan sahabat yang terkenal dalam keilmuannya. Bahkan, dalam hadith tersebut juga menggambarkan kedudukan Saidina Mu'awiyyah bin Al-Hakam yang masih baru dalam memeluk Islam sehinggakan masalah bercakap dalam solat tidak dibenarkan juga tidak diketahui olehnya (rujuk ta'liqat Al-Kauthari 'ala As-Saif As-Saqil dan dalam ta'liqat Al-Kauthari 'ala Al-Asma' wa As-Sifat 532)

Nota ini merupakan salah satu nota utama yang menunjukkan betapa lafaz aina Allah ini adalah marjuh (lemah berbanding riwayat lain) kerana ianya tidak layak ditujukan kepada Allah s.w.t..

Ia juga kembali kepada pengaruh perawi dalam matan hadith Al-Jariyyah in yang menjadi perbahasan utama sejak di awal perbahasan mengenai hadith ini.

- Lafaz Aina Allah Tidak Langsung Membawa Kepada Penilaian Tauhid

Dalam aqidah Islam yang sejahtera, sudah jelas dalam hadith Jibril bahawasanya rukun Iman yang asasi ada enam perkara iaitulah beriman kepada Allah, Malaikat, Kitab-kitab, para rasul, hari Akhirat dan Qadha' dan Qadar Allah.

Oleh yang demikian, bertanyakan tentang salah satu daripada rukun-rukun iman tersebut merupakan lebih utama untuk mengetahui seseorang itu beriman ataupun tidak.

Fahaman tuhan berada atau bertempat di atas langit dianuti oleh Yahudi, Kristian, Budha, Hindu dan sebagainya. Bahkan, orang-orang Musyrik di Makkah dan Arab Jahiliyyah juga ada yang mempercayai fahaman tuhan di langit tersebut.

Maka, pertanyaan tersebut tidak pula membawa kepada maksud daripada apa yang ingin dinilai oleh Rasulullah s.a.w. tersebut, iaitu keislaman hamba perempuan tersebut sama sekali.

- Pertanyaan tentang Kalimah Syahadah:

Adapun bertanya tentang kalimah syahadah ("adakah kamu mengakui (bersaksi) bahawa tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah?") merupakan suatu lafaz yang lebih dekat maksudnya kepada apa yang ingin ditanyakan oleh Rasulullah s.a.w. kepada hamba perempuan tersebut di samping sanadnya lebih banyak daripada hadith tersebut dengan lafaz aina Allah.

- Syawahid: Hadith-hadith Menceritakan Asas Ukuran Keislaman Seseorang Adalah Kalimah Syahadah

Rasulullah s.a.w. telah memberi suatu kaedah umum untuk membuktikan keislaman dan keimanan seseorang terhadap aqidah Islam dengan konsep kalimah syahadah. Hal ini berdasarkan banyak hadith-hadith tentang makna tersebut antaranya:

Pertama: Rasulullah s.a.w. bersabda:

أمرت أن أقاتل الناس حتى يشهدوا أن لا إله إلا الله وأني رسول الله

Maksudnya: "Aku diperintahkan agar memerangi manusia (menyebarkan risalah Islam) sehinggalah mereka bersaksi (mengakui) bahawasanya tiada tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah dan aku adalah utusan Allah "
(Hadith riwayat Al-Bukhari dalam sahihnya 1/497 dan Muslim dalam sahihnya 1/51-52)

Imam As-Suyuti menyebut dalam kitab Al-Jami'e As-Shoghir (no 1630) setelah meriwayatkan hadith ini dengan berkata: "hadith ini mutawatir".

Adapun Imam Al-Munawi dalam syarahnya menjelaskan tentang hadith ini bahawa ianya mutawatir kerana diriwayatkan oleh lima belas orang sahabat. Imam Al-Muhaddith Al-Kattani dalam buku nazm al-mutanathir mengatakan, Imam Az-Zabidi menjelaskan bahawasanya hadith ini mutawatir kerana diriwayatkan oleh enam belas orang sahabat sebagaimana juga dikatakan oleh Imam Al-Iraqi.

Kedua: Saidina Ibn Umar r.a. meriwayatkan bahawasanya ketika Rasulullah s.a.w. ingin mengetahui adakah Ibn As-Shoyyad samada dia islam ataupun tidak, maka Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Adakah kamu bersaksi (mengetahui) bahawasanya aku adalah utusan Allah?".
Hadith riwayat Imam Al-Bukhari (6/171)

Hadith ini merupakan asas bagi penilaian keislaman seseorang yang digambarkan sendiri oleh Saidina Rasulullah s.a.w.. Penilaian terhadap keislaman seseorang jelas adalah berdasarkan ucapan kalimah syahadah sebagaimana yang menjadi pegangan utama umat Islam berdasarkan dalil-dalil mutawatir tersebut.

Hadith Ketiga: Diriwayatkan daripada Saidina Ibn Abbas r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda kepada Saidina Mu'az r.a. ketika mengutuskannya dalam berdakwah:

إنك تأتي قوما من أهل الكتاب فأدعهم إلى شهادة أن لا إله إلا الله وأني رسول الله

Maksudnya: "Bahawasanya kamu datangi kaum ahli kitab dan mengajak mereka kepada syahadah bahawasanya tiada tuhan selain daripada Allah dan bahawasanya aku adalah rasul Allah…"
(hadith riwayat Imam Muslim 1/50)


Hadith Keempat: Diriwayatkan daripada Abi Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda kepadanya:
"…sesiapa sahaja yang mengucap dua kalimah syahadah dengan penuh keyakinan terhadap maknanya, maka khabarkanlah syurga baginya…"
(hadith riwayat Imam Muslim 1/60)


Demikianlah hujah-hujah (syawahid) bahawasanya lafaz syahadah adalah lebih tepat yang ditanyakan oleh Rasulullah s.a.w. kepada hamba perempuan tersebut kerana ianya berdasarkan hadith-hadith yang disebutkan sebentar tadi. Rasulullah s.a.w. sendiri mengajarkan akan asas ukuran keislaman dan keimanan seseorang adalah dengan lafaz kalimah syahadah yang mana ianya difahami oleh para sahabat r.a. yang sudah lama bersahabat dengan Rasulullah s.a.w..

- Riwayat-riwayat Pertanyaan Kalimah Syahadah Dalam Kisah yang Berbeza

Di samping syawahid (hujah-hujah dalam membela lafaz hadith kalimah syahadah tersebut) secara prinsip Islami (iaitu kalimah syahadah adalah ukuran keislaman seseorang), terdapat juga syawahid (hujah-hujah penguat) bagi hadith Al-Jariyyah dengan lafaz pertanyaan kalimah syahadah berdasarkan situasi-situasi yang hampir sama dengan kisah Al-Jariyyah tersebut di mana dalam situasi-situasi tersebut juga, Rasulullah s.a.w. bertanyakan kalimah syahadah untuk menilai keislaman seseorang.

Antaranya:-


Hadith Pertama:


عن الشريد بن سويد الثقفي قال قلت يا رسول الله إن أمي أوصت أن نعتق عنها رقبة وعندي جارية سوداء قال: ادع بها فجاءت فقال: من ربك؟ قالت: الله ، قال: من أنا ؟ قالت: أنت رسول الله ، قال: أعتقها فإنها مؤمنة

Maksudnya: Daripada As-Syarid bin Suwaid As-Saqofi bahawasanya beliau berkata: "Saya berkata: "Wahai Rasul Allah. Sesungguhnya ibuku telah mewasiatkan kepadaku untuk memerdekakan bagi pihaknya seorang hamba sahaya dalam masa yang sama saya mempunyai hamba perempuan yang berkulit gelap." Rasulullah s.a.w. bersabda: "Bawakan dia ke mari".

Setelah hamba perempuan tersebut datang lalu Rasulullah s.a.w. bertanya kepadanya: "Siapa tuhan kamu?" Hamba perempuan itu menjawab: "Allah". Rasulullah s.a.w. bertanya lagi: "Siapa pula aku?" Hamba perempuan itu menjawab: "Kamu adalah utusan Allah". Rasulullah s.a.w. lalu bersabda: "Merdekakanlah dia kerana sesungguhnya dia seorang yang beriman".


Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Ibn Hibban dalam sahihnya (1/418-419).

Hadith Kedua: Juga lafaz hadith yang sama dengan riwayat Imam Ibn Hibban tentang kisah As-Syarid dengan hamba perempuannya tersebut yang diriwayatkan juga oleh Imam An-Nasa'ie dalam As-Sunan Al-Kubra 6/252.

Hadith Ketiga: Juga dengan lafaz hadith yang sama dengan riwayat Imam Ibn Hibban dan An-Nasa'ie yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam musnadnya.

Hadith Keempat: Hadith yang diriwayatkan oleh Ad-Darimi dalam sunannya daripada kisah As-Syarid juga dengan lafaz pertanyaan Rasulullah s.a.w. kepada hamba tersebut:

أتشهدين أن لا إله إلا الله

Maksudnya: "Adakah kamu bersaksi (mengakui) tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah?".


Sekian hadith ini juga menunjukkan kuatnya lafaz pertanyaan kalimah syahadah dalam hadith Al-Jariyyah versi Mu'awiyyah bin Al-Hakam yang diriwayatkan oleh Imam Malik dan sebagainya.

Kesimpulan dan Tarjih

Berdasarkan sekurang-kurangnya lima jalan riwayat hadith Al-Jariyyah dengan lafaz kalimah syahadah atau siapa tuhan kamu (iaitu tawabie': jalan-jalan riwayat yang lain yang menguatkan sesuatu jalan), ditambahi pula dengan sekurang-kurangnya empat hadith yang menunjukkan asas ukuran keislaman dan keimanan seseorang adalah dengan kalimah syahadah (iaitu syawahid) dan empat riwayat yang menunjukkan kisah hamba perempuan As-Syarid r.a. yang menggunakan lafaz pertanyaan kalimah syahadah ataupun siapa tuhan kamu, menjadikan hadith Al-Jariyyah versi pertanyaan kalimah syahadah adalah lebih kuat daripada hadtih Al-Jariyyah versi pertanyaan aina Allah (di mana Allah).

Berdasarkan penilaian ilmiah, tanpa ta'asub dengan kesesatan fahaman mujassimah, pasti seseorang pengkaji secara jelas mengetahui bahawasanya hadith Al-Jariyyah versi aina Allah (di mana Allah) yang diriwayatkan oleh Imam Muslim adalah marjuh (lemah dari sudut matannya walaupun sahih sanadnya) jika dibandingkan dengan sekian banyak hadith dengan banyak jalan riwayat yang menguatkan hadith Al-Jariyyah versi pertanyaan tentang kalimah syahadah.

Di hamparan pengkajian ilmiah ini, justeru tiada lagi hujah bagi golongan mujassimah untuk menggunakan lafaz hadith Al-Jariyyah versi Aina Allah ini kerana jelas marjuh lagi syaz (bercanggah dengan riwayat yang lebih banyak lagi kuat) atau mudthorib (hampir sama maknanya dengan syaz dari sudut matan), melainkan berdasarkan faktor mengikut hawa nafsu mereka semata-mata untuk bersikap keras kepala dalam terus menjaja hadith Al-Jariyyah ini dalam menetapkan kesesatan fahaman Allah wujud bertempat ini.

Mereka sering bukan sahaja menggunakan hadith-hadith mengikut hawa nafsu mereka tanpa mizan (neraca) ilmiah yang sejahtera, malah turut menggunakan perkataan-perkataan sebahagian ulama' dengan kefahaman yang berbeza sebagaimana dengan kefahaman sebenar ulama' tersebut.

Sememangnya sudah jelas, lafaz Aina Allah itu sendiri menurut sebahagian besar ulama' ahlus-sunnah, merupakan suatu yang tidak layak ditujukan kepada Allah dengan makna hakiki, malah, lafaz aina Allah juga bercanggah dengan asas ukuran keislaman seseorang yang digariskan oleh Rasulullah s.a.w. dalam banyak hadith mutawatir. Hadith riwayat Imam Muslim ini sekurang-kurangnya berdarjat ahad (diriwayatkan oleh tidak lebih tiga orang dalam satu peringkat masa) yang tidak boleh digunakan sebagai hujah setelah bertentangan dengan hadith mutawatir (yang diriwayatkan oleh lebih tiga orang dalam satu peringkat masa).

Imam Al-Kauthari membuat suatu kesimpulan yang menyeluruh dalam penelitian terhadap hadith Al-Jariyyah ini dengan berkata:

وراوي هذا الحديث عن ابن الحكم هو عطاء بن يسار وقـد اختلفت ألفاظه فيه ففي لفظ له: فمد النبي صلى الله عليه وسلم يده إليها وأشار إليها مستفهما مَن في السماء ... الحديث ، فتكون المحادثة بالإشارة على أن اللفظ يكون ضائعا مع الخرساء الصماء فيكون اللفظ الذي أشار إليه الناظم والمؤلف لفظ أحد الرواة على حسب فهمه لا لفظ الرسول صلى الله عليه وسلم ومثل هذا الحديث يصح الأخذ به فيما يتعلق بالعمل دون الاعتقاد حيث اشتمل على تشميت العاطس في الصلاة ومنع النـبي صـلى الله عليه وسلم عن ذلك ولم يخرجه البخاري في صحيحه وأخرج في جزء خلق الأفعال ما يتعلق بتشميت العاطس من هذا الحديث مقتصرا عليه دون ما يتعلق بكون الله في السماء وبدون أي إشارة إلى أنه اختصر الحديث.

Maksudnya: "Perawi hadith ini daripada Ibn Al-Hakam adalah 'Atho' bin Yasar. Lafaz hadith tersebut berbeza-beza. Ada lafaz yang berbunyi: "Rasulullah menunjukkan tangannya kepada perempuan tersebut lalu menunjuk isyarat kepadanya dengan membawa maksud siapa di langit… sehingga akhir hadith. Maka, terzahir bahawasanya dialog berlaku secara bahasa isyarat kerana penggunaan lafaz gugur dengan sebab berinteraksi dengan seorang hamba perempuan yang bisu. Maka lafaz yang digunakan oleh penulis hadith adalah lafaz yang diolah oleh salah seorang perawi hadith ini berdasarkan kefahamannya terhadap situasi tersebut, bukan lafaz Rasulullah s.a.w. itu sendiri.

"Hadith sebegini hanya boleh digunakan dalam masalah amal, bukan masalah aqidah. Ini kerana, dalam hadith ini mengandungi perbuatan mengucapkan ucapan kepada orang yang bersin di dalam solat lalu Rasulullah s.a.w. melarang perbuatan tersebut.

"Imam Al-Bukhari sendiri tidak meriwayatkan hadith tersebut dalam kitab sahihnya. Imam Al-Bukhari walaubagaimanapun, ada meriwayatkan hadith tentang tasymit (ucap yarkamkaLlahi) bila seseorang bersin tanpa meriwayatkan sebarang penambahan hadith yang menceritakan tuhan di langit, dalam juz'u khalq al-af'alnya (risalah himpunan hadith-hadith dalam perkara cabang iaitu berkaitan penciptaan perbuatan makhluk yang dihimpunkan oleh Imam Al-Bukhari) tanpa sedikitpun menunjukkan hadith tersebut dipendekkan". (Ta'liqat Al-Kauthari 'ala As-Saif As-Saqil pada komennya terhadap hadith Al-Jariyyah tersebut).

Di sini, Imam Al-Kauthari telah membuat suatu kesimpulan yang ringkas dan padat yang mencakupi hampir kesemua perbahasan dalam risalah ini.

Pertama: Beliau menguatkan pendapat bahawasanya hamba perempuan tersebut seorang yang bisu. Maka, kemungkinan bagi beliau, dialog antara Rasulullah s.a.w. dengan hamba perempuan tersebut adalah dengan isyarat.

Ataupun, dialog tersebut berlaku dengan lafaz daripada Rasulullah s.a.w. kepada hamba perempuan tersebut dan hamba perempuan tersebut menjawabnya dengan isyarat.

Jika kemungkinan yang kedua ini (iaitu Rasulullah s.a.w.) berinteraksi dengan hamba perempuan tersebut dengan lafaz, maka lafaz yang paling rajih (kuat) yang digunakan oleh Rasulullah s.a.w. adalah lafaz pertanyaan tentang kalimah syahadah (adakah kamu mengakui tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah?) berbanding lafaz aina Allah berdasarkan banyak hujah yang disebutkan sebelum ini.

Pendirian Imam Al-Kauthari dan sebahagian ulama' lain bahawasanya kedua-dua pihak (Rasulullah s.a.w. dengan hamba perempuan) tersebut berinteraksi dengan isyarat untuk membuat kesimpulan bahawasanya lafaz hadith yang berbeza-beza daripada sanad yang berbeza-beza tersebut adalah olahan semula perawi-perawi hadith dalam menggambarkan perisitiwa tersebut.

Saidina Mu'awiyyah yang meriwayatkan peristiwa ini dengan lafaz di mana Allah adalah berdasarkan kefahamnnya terhadap situasi yang berlaku tersebut, dalam masa yang sama beliau sendiri masih baru memeluk Islam dan tidak mahir dalam penggunaan lafaz yang sesuai bagi Allah s.w.t., sebagaimana yang dinilai oleh Imam An-Nawawi yang akan dibincangkan kemudian.

Kedua: Walaupun situasi yang berlaku adalah dialog, iaitu hamba perempuan tersebut tidak bisu, maka yang rajih tetap adalah pertanyaan kalimah syahadah berdasarkan tawabi'e (riwayat-riwayat yang saling menguatkan dalam konteks yang sama) dan syawahid (hujah-hujah daripada hadith-hadith yang laing yang menguatkan konteks atau bentuk hadith Al-Jariyyah versi pertanyaan kalimah syahadah tersebut).

Ketiga: Kesimpulan oleh Imam Al-Kauthari juga mencakupi perbahasan di mana hadith Al-Jariyyah ini hanya sesuai dijadikan panduan dalam masalah syariat sahaja, iaitu tidak boleh berkata-kata dalam solat, dan tidak boleh dijadikan hujah dalam masalah aqidah.

Hal ini kerana, dalil yang digunakan dalam masalah aqidah mestilah qat'ie yang membawa kepada keyakinan, sedangkan kedudukan hadith Al-Jariyyah ini, tidak membawa kepada keyakinan, terutamanya lafaz aina Allah tersebut. Hal ini kerana:

- Banyak mengandungi lafaz yang saling bercanggah antara satu sama lain membuatkan ianya kembali kepada pengaruh perawi dalam hadith tersebut.

- Hadith Al-Jariyyah versi Imam Muslim dikatogorikan sebagai muttharrib (iaitu menyalahi yang lebih kuat) dari sudut matannya.

- Hadith Al-Jariyyah adalah hadith ahaad yang bertentangan dengan konsep yang disebutkan dalam hadith-hadith mutawatir.

Keempat: Imam Al-Kauthari menyebutkan bahawasanya, Imam Al-Bukhari sendiri tidak meriwayatkan hadith Al-Jariyyah ini dalam kitab sahihnya. Kalaulah hadith ini sangat penting untuk dijadikan dalil dalam masalah aqidah, pasti Imam Al-Bukhari sendiri akan meriwayatkannya.

Menurut Imam Al-Kauthari lagi, Imam Al-Bukhari ada meriwayatkan sebahagian daripada hadith ini, iaitu tentang larangan terhadap berkata-kata atau mengucap yarhamkallah ketika solat dalam juzu' khalq al-af'al, suatu risalah kecil yang menghimpunkan hadith-hadith mengenai sesuatu bab yang cabang. Ia dikatakan oleh sebahagian ulama', sebagai bahagian yang dikeluarkan oleh Imam Al-Bukhari daripada kitab sahihnya.

Pun begitu, menurut Imam Al-Kauthari, Imam Al-Bukhari tidak meriwayatkan pun mengenai kisah Al-Jariyyah tersebut yang membawa kepada kepercayaan tuhan bertempat di langit dalam juzu' tersebut. Ini menunjukkan bahawasanya, hadith Al-Jariyyah tersebut bukanlah sandaran dalam masalah aqidah itu sendiri.

Bahkan, Imam Muslim sendiri tidak meriwayatkan hadith Al-Jariyyah ini dalam bab Al-Iman, tetapi dalam باب تحريم الكلام في الصلاة"" (bab Haram Berkata-kata dalam Solat) dan sebagainya. Ini menunjukkan bahawasanya Imam Muslim sendiri menggunakan hadith ini dalam masalah amal, bukan dalam masalah aqidah kerana hadith Al-Jariyyah ini sememangnya diketahui mempunyai banyak lafaz yang berbeza-beza yang tidak boleh dijadikan dasar bagi masalah aqidah.

Hanya mereka yang jahil tentang manahij Imam Muslim sahaja terlalu sibuk berhempas-pulas menjadikan hadith Al-Jariyyah ini dalam menetapkan tempat bagi Allah s.w.t. yang melibatkan masalah aqidah.

Oleh yang demikian, kesimpulannya, aqidah Islam itu sendiri menyucikan Allah s.w.t. daripada "bertempat" dan hadith Al-Jariyyah yang mempunyai pelbagai penilaian dari pelbagai sudut yang akhirnya dinilai sebagai marjuh tidak boleh dijadikan dalil untuk menetapkan fahaman Allah bertempat ini. Ini kerana, selain daripada matannya muttharrib dan syaz menurut sebahagian ulama', ianya juga hadith ahaad yang tidak boleh dijadikan sandaran dalam masalah aqidah terutamanya jika bersifat zhonni. Ini suatu manhaj ilmiah yang jelas di sisi ahli ilmu. Hanya mereka yang jahil dan ta'asub sahaja cuba mengingkarinya.

Ditulis Oleh : Mukhlis 101

Penjelasan Mengenai Hadith Jariyah (Di Mana ALlah?) Bab 7
Fasal Kedua: Selayang Pandang Terhadap Hadith Al-Jariyyah Riwayat Imam Muslim 

Suatu hal yang perlu kita sedari bahawasanya, hadith Al-Jariyyah riwayat Imam Muslim dengan lafaz aina Allah ini setelah kita selidiki, didapati bahawasanya ianya tidak boleh dijadikan sandaran kepada masalah aqidah kerana faktor-faktor yang telah diperbincangkan pada fasal yang pertama sebelum ini.

Selain daripada ianya syaz (terasing dengan menyalahi yang lebih banyak) dan mudthorib (marjuh atau lemah berbanding yang lebih kuat) dari sudut matannya, ianya juga merupakan hadith yang kembali kepada berbilang-bilang lafaz sehingga tidak lagi boleh dijadikan dalil yang qat'ie yang membawa kepada ilmu atau keyakinan.

Namun, perbahasan tersebut jika dinilai hadith Al-Jariyyah ini dinilai daripada segenap sudut, samada dari sudut perbandingan riwayat, dari sudut perbandingannya dengan usul Islam, perbandingan sanad dan matan dan sebagainya akan membawa kepada keputusan sedemikian (iaitu hadith Al-Jariyyah versi Imam Muslim adalah mudthorib dan sebagainya).

Adapun jika kita menilai hadith Al-Jariyyah versi riwayat Imam Muslim ini secara zatnya, berteraskan aqidah yang sejahtera, tanpa membuat perbandingan riwayat dan sebagainya (walaupun pada hakikatnya, pembuktian ilmiah perlu melalui proses perbandingan riwayat ini), kita akan dapati, lafaz aina Allah (di mana Allah) dan lafaz fi As-Sama' (Allah di langit) itu sendiri merupakan daripada nas-nas mutasyabihat, yang mana yang dimaksudkan bukanlah dengan makna zahir bagi nas-nas tersebut.

Ia kembali kepada dua pendirian utama ahlus-sunnah wal jamaah iaitu samada tafwidh, menyerahkan makna kepada Allah tanpa mentapkan makna zahir atau ta'wil memberi makna lain berdasarkan kaedah bahasa Arab dan konsep murni aqidah Islam. Kedua-duanya adalah manhaj salaf dan khalaf dalam berinteraksi dengan nas-nas mutasyabihat ini.

Kedudukan Persoalan Aina Allah: Hakiki atau Kiasan?

Sebahagian ulama' lain ketika berinteraksi dengan hadith Al-Jariyyah versi riwayat Imam Muslim ini cuba mengambil langkah untuk mendekatkan makna aina dengan kefahaman yang sahih, iaitu dengan kefahaman yang tidak membawa kepada fahaman tajsim atau "Allah s.w.t. bertempat".

Mereka adalah seperti Imam Ibn Al-Jauzi, Imam An-Nawawi, Imam Al-Qurthubi, Imam Al-Baji dan sebagainya. Mereka dengan aqidah murni Islam, dengan menolak konsep dan fahaman "Allah bertempat di atas Arasy", lalu mensyarahkan hadith Al-Jariyyah versi Imam Muslim ini dengan syarahan yang menepati aqidah murni Islam.

Terlebih dahulu, perkara yang paling perlu difahami oleh mereka yang berinteraksi dengan nas-nas mutasyabihat adalah, apa yang zahir daripada mutasyabihat, dengan maknanya dari sudut bahasa, bukanlah yang dimaksudkan oleh Allah s.w.t. dan Rasul-Nya s.a.w..

Ada makna lain yang dimaksudkan oleh Allah s.w.t. dan Rasul-Nya s.a.w. jika zahir sesuatu nas itu mengandungi kesamaran dan membawa kepada tasybih. Maka, kedudukan nas-nas mutasyabihat ini dipalingkan daripada makna zahirnya dengan dua cara iaitu:

Pertama: Tafwidh Ma'na: Iaitu menyerahkan makna sebenar nas mutasyabihat tersebut kepada Allah s.w.t. tanpa mendalaminya.

Kedua: Ta'wil Qarib: Iaitu memberi makna sebenar (makna lain) kepada nas mutasyabihat tersebut berdasarkan konsep majazi dalam bahasa Arab bersesuaian dengan aqidah Islam yang murni.

Dalam berinteraksi dengan nas aina Allah dalam hadith Al-Jariyyah ini juga, para ulama' ahlus-sunnah wal jamaah, baik salaf mahupun khalaf, menggunakan salah satu daripada dua manhaj tersebut yang mana kedua-duanya sebenarnya adalah ta'wil (palingkan) daripada makna zahir atau daripada maknanya dari sudut bahasa.

Perbahasan mengenai mutasyabihat ini telah banyak alfaqir bincangkan dalam beberapa risalah sebelum ini, maka diharap dapat kembali merujuk semula kepadanya.

Penjelasan Mengenai Hadith Jariyah (Di Mana ALlah?) Bab 8

Aqidah Murni Islam: Tanzih (Mensucikan) Allah daripada Kelaziman-kelaziman Jisim

Aqidah murni Islam, selain daripada mengandungi konsep tauhid (keesaan), ianya juga mengandungi konsep tanzih, iaitu menyucikan Allah s.w.t. daripada sebarang sifat-sifat kekurangan.

Antara sifat-sifat kekurangan adalah dengan menyamakan samada zat, sifat mahupun perbuatan Allah s.w.t. dengan jisim, sifat mahupun perbuatan makhluk. Antara yang membawa kepada menyamakan Allah s.w.t. dengan makhluk adalah dengan menetapkan ciri-ciri kejisiman kepada Allah s.w.t. seperti mendakwa zat Allah bertempat, berjisim, mempunyai anggota tubuh, bergerak-gerak, dibatasi oleh masa dan sebagainya.

Sebagaimana Allah s.w.t. tidak dibatasi oleh masa, begitu juga Dia tidak dibatasi oleh tempat kerana masa dan tempat adalah hasil ciptaan Allah s.w.t.. Mustahil Allah s.w.t. dibatasi oleh makhluk-makhlukNya.

Perkataan Salafus-Soleh dalam Menafikan Tempat dan Jisim bagi Allah s.w.t. (Suatu Pentunjuk Ke Arah Memahami Aqidah Tanzih Mereka)

Saidina Ali r.a. berkata:

كان- الله- ولا مكان ، وهو الان على ما- عليه- كان اهـ. أي بلا مكان

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah s.w.t. itu tidak bertempat. Dia sekarang dalam keadaan seperti mana Dia sebelum ini (iaitu tetap qadim dan abadi tanpa bertempat)”.
(Al-firaq bainal Firaq karangan Abu Mansur: 333)

Beliau berkata lagi



من زعم أن إلهنا محدود فقد جهل الخالق المعبود


Saidina Ali k.r.w.j. berkata lagi: “Sesiapa yang beranggapan bahawa, Tuhan kita mahdud (ada ruang lingkup tertentu atau ada had-had tertentu), bererti dia jahil tentang Tuhan Maha Pencipta lagi Tuhan yang disembah”
(hilyatul Auliya’: 1/73)

Imam Ali Zainal Abidin bin Al-Husein r.a. (94 H) berkata:



أنت الله الذي لا يحويك مكان


Maksudnya: “Sesungguhnya, Engkaulah Allah, yang tidak bertempat” (Ittihaf Saadah Al-Muttaqin:
4/380)


Imam Ja’far As-Sodiq r.a. (148 H) berkata:

من زعم أن الله في شيء، أو من شيء، أو على شيء فقد أشرك.

Maksudnya: “Sesiapa yang mengatakan bahawa Allah s.w.t. berada pada mana-mana tempat, atau berada atas sesuatu, atau berasal daripada sesuatu, maka dia telahpun syirik...”
(risalah Al-Qusyairiyah: 6)

Imam Abu Hanifah r.a. (150H) berkata:

كان الله تعالى ولا مكان قبل أن يخلق الخلق ، وكان الله تعالى ولم يكن أين ولا خلق ولا شىء ، وهو خالق كل شىء

Maksudnya: Allah s.w.t. itu wujud tanpa bertempat sebelum dia menciptakan makhluk. Maka, Allah s.w.t. wujud tanpa di mana, tanpa makhluk dan tanpa sesuatupun (bersamaNya). Dialah yang menciptakan segalanya.
(Al-Fiqh Al-Absath: 25)

Imam As-Syafi’e r.a. (204 H) berkata:

إنه تعالى كان ولا مكان فخلق المكان وهو على صفة الأزلية كما كان قبل خلقه المكان لا يجوز عليه التغيير في ذاته ولا التبديل في صفاته

“Allah s.w.t. wujud tidak bertempat. Dia menciptakan tempat, sedangkan Dia tetap dengan sifat-sifat keabadianNya, sepertimana sebelum Dia menciptakan makhluk. Tidak layak Allah s.w.t. berubah sifatNya atau zatNya.”
(ittihaf saadah Al-Muttaqin: 2/24).

Sheikhul Hanabilah Imam Abu Al-Fadhl meriwayatkan daripada Imam Ahmad r.a. yang berkata ketika mensyarahkan makna istiwa':

هو العلو والارتفاع ولم يزل الله عاليا رفيعا قبل أن يخلق عرشه فهو فوق كل شىء والعالي علي كل شىء... علا ولا يجوز أن يقال استوي بمماسه ولا بملاقاه تعالي الله عن ذلك علوا كبيرا والله تعالي لم يلحقه تغيير ولا تبدل ولا تلحقه الحدود قبل خلق العرش ولا بعد خلق العرش

Maksudnya: "Iaitu ketinggian darjat dan keagunganNya. Allah s.w.t. sentiasa Maha Tinggi dan Maha Tinggi (darjatNya) sebelum Dia menciptakan Arasy. Dia di atas setiap sesuatu dan Maha Tinggi (kedudukanNya) daripada setiap sesuatu… Tidak boleh seseorangberkata bahawasanya, istiwa itu zat Allah s.w.t. menyentuh Arasy atau menempatinya. Maha Suci Allah s.w.t.daripadanya (bertempat tersebut) setinggi-tinggiNya. Dia tidak akan berubah-ubah, tidak dibatasi dengan sebarang batasan sebelum penciptaan Arasy dan setelah kejadian Arasy tersebut"
(Risalah At-Tamimi: 2/265-290)

Imam At-Tohawi (321H) berkata juga:

"وتعالى - أي الله - عن الحدود والغايات والأ ركان والأعضاء والأدوات، لا تحويه الجهات الست كسائر المبتدعات"

Maksudnya: "Maha Tinggi dan Suci Allah s.w.t. daripada sebarang had, sempadan, anggota, dan alat. Dia tidak tertakluk dalam mana-mana sudut yang enam (tidak bertempat).”
(Al-Aqidah At-Tohawiyyah)


Imam Ibn Hibban (354 H) berkata:


كان- الله- ولا زمان ولا مكان

Maksudnya: "Sesungguhnya Allah s.w.t. tidak tertakluk kepada tempat dan masa”
(Al-Ihsan fi tartib sahih Ibn Hibban: 4/8)


Imam At-Tabari r.a. berkata:


فتبين إذا أن القديم بارىء الأشياء وصانعها هو الواحد الذي كان قبل كل شىء ، وهو الكائن بعد كل شىء ، والأول قبل كل شىء ، والآخر بعد كل شىء، وأنه كان ولا وقت ولا زمان ولا ليل ولا نهار، ولا ظلمة ولا نور ولا سماء ولا أرض ولا شمس ولا قمر ولا نجوم ، وأن كل شىء سواه محدث مدبرمصنوع...

Maksudnya: "Jelaslah bahawa Allah s.w.t. qadim, Tuhan kepada seluruh makhluk dan Penciptanya. Dialah yang Maha Esa yang wujud sebelum sesuatu wujud. Dia juga kekal setelah kewujudan makhluk. Dialah yang Maha Awal sebelum segala sesuatu dan Maha Akhir setelah segala sesuatu. Allah s.w.t. itu wujud tanpa masa, zaman, siang, malam, tanpa kegelapan dan tanpa cahaya, tanpa langit, tanpa bumi, tanpa matahari, tanpa bulan dan tanpa bintang. Semua selainNya adalah baharu yang ditadbir dan diciptakan (olehNya)."
(Tarikh At-Tabari : 1/26)



Imam Abu Al-Hasan Al-Asy'ari r.a. (324 H) berkata:

كان الله ولا مكان فخلق العرش والكرسي ولم يحتج إلى مكان

Maksudnya: "Allah s.w.t. wujud tanpa bertempat. Dia menciptakan Arasy dan Kursi tanpa memerlukan kepada tempat."
(tabyiin kazbul muftari: 150)

http://jomfaham.





Tuesday, November 29, 2011

Penjelasan Mengenai Hadith Jariyah (Di Mana ALlah?) Bab 4 Dan Bab 5

Perbandingan Antara Riwayat-riwayat Lain Dari Sudut Mentarjihkan Lafaz

Riwayat Keempat:

Imam Abdul Razak meriwayatkan dalam Al-Mushonnaf melalui jalan 'Atho' juga (tabi'ien yang sama seperti riwayat Imam Muslim dan Al-Mizzi):-
"Daripada Ibn Juraij yang meriwayatkan

"Daripada "Atho' bahawasanya ada seorang lelaki (iaitu Mu'awiyah berdasarkan petunjuk dari riwayat Muslim tadi) memiliki kambing yang sihat. Lalu lelaki tersebut teringin untuk menghadiahkan seekor kambingnya kepada Nabi s.a.w.. Namun, (pagi itu) seekor serigala menggigit kambing tersebut. Lelaki itu (Saidina Mu'awiyah) terus marah lalu menampar hamba perempuannya. Lalu lelaki itu (iaitu Mu'wiyah) menceritakannya kepada Rasulullah s.a.w. dalam masa yang sama menceritakan juga bahawasnya dia mempunyai tanggungan untuk memerdekakan seseorang hamba yang beriman. Tetapi dia khuatir untuk memerdekakan hamba perempuan yang dipukulnya tersebut.

"Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda: "Bawa dia ke mari". Setelah lelaki itu membawa hamba perempuannya berjumpa Rasulullah s.a.w., Rasulullah s.a.w. bertanya kepadanya:

أتشهدين أن لا إله إلا الله

Maksudnya: "Adakah kamu mengakui bahawa tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah"?

Hamba perempuan itu menjawab: "Ya".

Rasulullah s.a.w. bertanya lagi: "Adakah kamu mengakui bahawasanya aku adalah pesuruh Allah (Rasulullah)"

Hamba perempuan itu menjawab: "Ya"…" (sehinggalah akhir hadith).


Ini suatu bentuk lafaz hadith yang lain yang diriwayatkan oleh seorang tabi'ien iaitu 'Atho' bin Yasar yang merupakan perawi daripada Saidina Mu'awiyah bin Al-Hakam sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Imam Al-Mizzi dan Imam Abdul Razzak.

Bahkan, dari satu sudut yang lain, hadith ini juga tidak bertentangan dari sudut kefahamannya dengan riwayat Imam Al-Baihaqi kerana kemungkinan hamba perempuan itu seorang yang bisu masih boleh difahami daripada riwayat Abdul Razzak ini kerana Rasulullah s.a.w. ketika bertanya dengan soalan "adakah", hamba perempuan tersebut hanya perlu menggunakan isyarat (seperti mengangguk) untuk membawa faham bahawasanya dia membenarkan soalan tersebut. Kemudian, perawi hadith mengolahkan isyarat tersebut dalam bentuk perkataan untuk lebih menjelaskan peristiwa tersebut.

Pun begitu, kedudukan hamba perempuan itu seorang yang bisu adalah sebagaimana yang diriwayatkan melalui jalan Imam Al-Baihaqi dan ianya juga kemungkinan berdasarkan kefahaman Imam Al-Baihaqi dan sebahagian ulama' lain semata-mata.

Apa yang paling penting adalah, lafaz pertanyaan Rasulullah s.a.w. kepada hamba perempuan (Al-Jariyyah) tersebut pada riwayat Abdul Razzak adalah dengan bertanyakan kalimah syahadah, bukan bertanyakan "di mana Allah". Ini suatu isyarat yang jelas menunjukkan hadith Al-Jariyyah ini diriwayatkan dengan banyak lafaz yang berbeza-beza. Maka, sudah pasti ianya kembali kepada "pengaruh" perawi-perawi hadith tersebut.

Jadi, lafaz aina Allah (di mana Allah) dalam riwayat Imam Muslim itu sendiri tidak qat'ie sehingga sesetengah pihak memaksa semua orang menetapkan lafaz tersebut secara zahir lalu menetapkan tempat bagi Allah s.w.t.. Berbezanya lafaz menunjukkan lafaz hadith tersebut tidak kuat untuk dinisbahkan kepada Rasulullah s.a.w. apatah lagi jika lafaz bertanyakan kalimah syahadah yang diriwayatkan oleh Imam Abdul Razzak lebih kuat petunjuknya dalam memberi faham keislaman seseorang berbanding pertanyaan di mana Allah dalam riwayat Imam Muslim dan Imam Al-Baihaqi.

Oleh yang demikian, lafaz hadith yang diriwayatkan daripada jalan Imam Al-Mizzi dan Imam Abdul Razzak jelas menunjukkan Rasulullah s.a.w. tidak bertanya: "di mana Allah" kepada hamba perempuan tersebut. Sebaliknya, dalam riwayat Abdul Razzak, yang ditanya adalah berkenaan kalimah syahadah yang lebih kuat petunjuknya dalam menentukan keislaman seseorang.

Dari segi sanad hadith riwayat Imam Abdul Razzak pula, ianya merupakan suatu sanad yang 'aliy (tinggi: sedikit perantaraan antara periwayat hadith yang meriwayatkan hadith dalam kitab-kitabnya dengan Rasulullah s.a.w.) iaitu daripada Ibn Juraij yang meriwayatkan daripada 'Atho' bin Yasar daripada Saidina Mu'awiyah r.a..

Imam Az-Zahabi meletakkan riwayat Ibn Juraij daripada 'Atho' bin Yasar sebagai silsilah yang tinggi kesahihannya, iaitu darjat setelah silsilah az-zahab (iaitu Imam Malik meriwayatkan daripada Imam Nafi'e yang meriwayatkan daripada Saidina Ibn Umar r.a.) dan seangkatan dengannya. (Al-Muqizhoh: 25)

Malah, riwayat Imam Abdul Razzak ini turut dikuatkan oleh riwayat Imam Malik dalam Al-Muwatho'.

Riwayat Kelima berkenaan Hadith Al-Jariyyah

Imam Malik r.a. meriwayatkan dalam Al-Muwatho' (m/s 777) dengan sanad yang 'aliy iaitu daripada Ibn Syihab yang meriwayatkan daripada Ubaidillah bin Abdullah bin 'Utbah bahawasanya:
"Ada seorang lelaki daripada kaum Anshor membawa hamba perempuannya yang berkulit gelap kepada Rasulullah s.a.w.. Lalu beliau berkata: "Wahai Rasulullah. Aku mempunyai tanggungan agar memerdekakan seorang hamba perempuan. Kalau hamba perempuanku ini seorang yang beriman, maka aku akan memerdekakannya". Lalu Rasulullah s.a.w. bertanya: Adakah kamu mengakui tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah"? Hamba perempuan tersebut menjawab: "Ya". Rasulullah s.a.w. bertanya lagi: "Adakah kamu mengakui aku sebagai pesuruh Allah?" Jawabnya: "Ya". Rasulullah s.a.w. bertanya lagi: "Adakah kamu meyakini adanya hari kebangkitan setelah kematian?" Jawabnya: "Ya". Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda: "Merdekakanlah dia. Sesemangnya dia seorang yang beriman".


Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Malik dengan sanad tinggi ('aliy) melalui jalan seorang tabi'ie yang agung iaitu Imam Ubaidillah bin Abdullah bin 'Utbah yang dikenali sebagai Al-Fuqaha' As-Sab'ah (ulama' fiqh yang tujuh) di Madinah.

Beliau adalah seorang yang terpercaya lagi teliti (rujuk At-Taqrib).

Malah, riwayat dengan lafaz ini juga diriwayatkan oleh beberapa ahli hadith yang lain iaitu:-

- Imam Al-Baihaqi sendiri juga meriwayatkan hadith dengan lafaz ini dalam As-Sunan Al-Kubra (10/57).

- Imam Abdul Razzak juga meriwayatkan hadith Al-Jariyyah dengan jalan ini juga melalui sanad: daripada Ma'mar daripada Az-Zuhri daripada Ubaidillah bin Abdullah tersebut. (rujuk Al-Mushonnaf 9/175)

- Imam Ahmad juga meriwayatkan hadith Al-Jariyyah ini dengan jalan yang sama dalam Al-Musnad (3/451-452)

Penilaian Hadith riwayat Kelima ini:-

Adapun Abu Bakr Muhammad bin Muslim (Ibn Syihab) Az-Zuhri (50-125 H) merupakan antara perawi-perawi yang dinilai sebagai thiqqah dan tersenarai dalam antara tobaqot al-huffaz yang tinggi kedudukannya oleh Imam Az-Zahabi. (Al-Muqizhoh: 69)

Imam Ibn Kathir dalam tafsirnya memberi komen terhadap hadith Al-Jariyyah melalui jalan ini (Ubaidillah bin Abdullah) dengan berkata:

إسناده صحيح وجهالة الصحابي لا تضره

"Sanadnya sahih sedangkan kejahilan (tidak disebut) sahabat (dalam riwayat Ubaidillah) ini tidak mengurangkan darjat kesahihannya" (Tafsir Ibn Kathir: 1/547)


Imam Ibn Hajar Al-Haithami pula berkata: "ia diriwayatkan oleh Imam Ahmad dengan perawi-perawinya yang sahih" (Al-Majma' 1/23).

Ini menunjukkan hadith-hadith riwayat "adakah kamu mengakui tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah" ini lebih banyak jalan periwayatannya berbanding lafaz "aina Allah" itu sendiri. Sehinggakan, Imam Al-Baihaqi juga ada meriwayatkan dengan jalan sebagaimana riwayat Imam Malik ini. Hal ini sahaja sudah menguatkan lafaz hadith yang diriwayatkan oleh Imam Malik dan Imam Abdul Razzak sendiri, berbanding riwayat Imam Muslim.

Bila berlakunya percanggahan dari sudut lafaz hadith melalui banyak jalan, maka timbullah permasalahan itthirob (اضطراب) dalam matan sesuatu hadith tersebut.

Hadith Al-Jariyyah: Sememangnya Diriwayatkan dengan Lafaz-lafaz yang Berbeza-beza


Imam Al-Bazzar ada menyebutkan tentang hadith Al-Jariyyah ini dengan berkata:

وهذا قد روى نحوه بألفاظ مختلفة

Maksudnya: Ia diriwayatkan sebegini dengan lafaz-lafaz yang berbeza-beza. (Kasyf Al-Astar: 1/14)

Amirul Mu'minin fi Al-Hadith Al-Hafiz Imam Ibn Hajar berkata tentang hadith Al-Jariyyah ini:

وفي اللفظ مخالفة كثيرة

Maksudnya: "Dan pada lafaz hadith ini banyak (riwayat) yang saling bercanggah" (At-Takhlish Al-Khabir 3/223)

Imam Al-Baihaqi juga ada menyebutkan dalam membuat komen terhadap hadith ini:

وهذا صحيح قد أخرجه مسلم مقطعا من حديث الأوزاعي وحجاج الصواف عن يحيى بن أبي كثير دون قصة الجارية؛ و أظنه إنما تركها من الحديث لاختلاف الرواة في لفظه

Maksudnya: "Hadith ini sahih (sanadnya) yang diriwayatkan oleh Imam Muslim secara ringkas (dipotong nas keseluruhan hadith) daripada hadith Al-Auza'ie dan Hajjaj As-Showwaf daripada Yahya bin Abi Kathir tanpa kisah Al-Jariyyah, yang mana aku rasa sebab kisah Al-Jariyyah tersebut tidak diriwayatkan (oleh Imam Muslim: demikian menurut Imam Al-Baihaqi) daripada hadith tersebut kerana berlakunya perbezaan dalam kalangan perawi terhadap lafaznya." (Al-Asma' wa As-Sifat m/s 422)

Dua nota utama yang dapat difahami daripada perkataan Imam Al-Baihaqi berkenaan hadith ini:-

Pertama: Menurut Imam Al-Baihaqi, naskhah sahih Muslim yang beliau miliki tidak mengandungi kisah Al-Jariyyah itu sama sekali. Beliau membuat andaian bahawasanya kemungkinan Imam Muslim tidak meriwayatkan kisah tersebut kerana para perawi berselisih mengenai lafaznya.

Kedua: Menurut Imam Al-Baihaqi, hadith Al-Jariyyah ini diriwayatkan dengan lafaz yang berbeza-beza.

Dari sudut hadith ini diriwayatkan dengan banyak lafaz yang berbeza-beza pun, sudah menunjukkan lafaz hadith ini tidak boleh dijadikan suatu pegangan yang kuat apatah lagi melibatkan masalah aqidah. Sekurang-kurangnya, ia kembali kepada kaedah:

ما طرقه الاحتمال سقط به الاستدلال

Maksudnya: "Jika jalan-jalan periwayatan hadith itu mengandungi kemungkinan, maka gugurlah "petunjuk" daripada hadith tersebut dengan sebab "kemungkinan" tersebut.

Setelah penjelasan ini juga, fahamlah kita bahawasanya kedudukan hadith Al-Jariyyah ini diriwayatkan dengan lafaz yang berbeza-beza yang akhirnya membawa kepada hukum idthirob (kegoncangan atau pertembungan).

Hukum Idthirab dalam Periwayatan Hadith Al-Jariyyah

Imam Ibn Sholah berkata dalam Muqoddimahnya (m/s 45):

المضطرب من الحديث‏:‏ هو الذي تختلف الرواية فيه، فيرويه بعضهم على وجه، وبعضهم على وجه آخر مخالف له‏.

Mudthorrib (kegoncangan) dalam hadith adalah: hadith yang berbeza riwayat mengenainya. Sebahagian mereka (ahli hadith) meriwayatkannya dengan satu wajah (bentuk) sedangkan sebahagian yang lain meriwayatkannya dengan wajah (bentuk atau lafaz) yang berbeza yang bercangggah dengannya (wajah pertama).


Beliau berkata lagi seterusnya:

ثم قد يقع الاضطراب في متن الحديث، وقد يقع في الإسناد...

Maksudnya: Terkadang, berlakunya idthirob dalam matan hadith, terkadang pula dalam sanad hadith. (Muqoddimah Ibn Sholah ibid)

Dalam erti kata yang lain, tidak semestinya suatu hadith itu jika diriwayatkan dengan sanad yang sahih, maka idthirob tidak boleh berlaku dalam matan hadith tersebut. Kadang-kala, hadith yang diriwayatkan dengan sanad yang sahih juga mengandungi matan yang Mudthorib sebagaimana yang berlaku dalam riwayat Imam Muslim dalam perbahasan hadith Al-Jariyyah ini yang akan diperincikan kemudian.

Imam An-Nawawi juga ada menyebutkan:

المضطرب : هو الذي يرو ى على أوجه مختلفة متقاربة

Maksudnya: Mudthorib adalah hadith yang diriwayatkan melalui banyak bentuk yang berbeza-beza yang hampir dekat (lafaz dan maknanya). (At-Taqrib)

Apabila berlakunya percanggahan antara banyak jalan periwayatan hadith, maka berlakunya idthirob dalam hadith yang diriwayatkan tersebut sekiranya bentuk lain bagi hadith tersebut lebih kuat (ar-rajih).

Hadith Al-Jariyyah dan Tarjih

Disebabkan berlakunya pertembungan antara bentuk-bentuk hadith Al-Jariyyah melalui banyak riwayat para ahli hadith, maka ia membawa kepada keperluan kepada mentarjihkan (menguatkan) salah satu daripada beberapa bentuk dan lafaz hadith yang saling berbeza-beza tersebut.

Perlu diingat juga bahawasanya, apabila berlakunya perbezaan dan perselisihan dalam periwayatan sesuatu hadith itu sendiri, dengan pelbagai bentuknya, maka ini menunjukkan bahawasanya lafaz yang diperselisihkan tersebut mempunyai pengaruh perawi padanya, bukan lagi secara jelas daripada Rasulullah s.a.w.. Maka, wujudnya perselisihan mengenai lafaz dalam hadith ini menjadikan ketentuan hukum hadith ini sebagai zhonni ad-dilalah itu sendiri, iaitu tidak jelas petunjuk lafaznya.

Oleh yang demikian, sesetengah golongan yang terpengaruh dengan fahaman tajsim yang siang malam menulang-ulangi hadith Al-Jariyyah dengan lafaz riwayat Imam Muslim untuk dijadikan pedoman dalam aqidah merupakan suatu yang tersasar jauh daripada manhaj ilmiah sebenar kerana perkara berkenaan aqidah hanya boleh diambil daripada nas-nas yang bersifat qat'ie samada dari sudut at-thubut (penetapan nas tersebut) mahupun ad-dilalah (petunjuk nas tersebut) yang membawa kepada ilmu, bukan zhon (keraguan).

Kembali kepada perbahasan fasal ini, apa yang cuba dibincangkan adalah lebih lanjut untuk mengkaji yang manakah "lafaz" atau bentuk hadith yang paling kuat (rajih) darip pelbagai sudut kajian.

Kajian Dari Sudut Perbandingan Riwayat dan Sanad

Jika kita perhatikan dari awal perbahasan, kita dapati bahawasanya ada dua lafaz yang utama yang saling bertembung atau berbeza berkaitan hadith Al-Jariyyah iaitu:

Pertama: Rasulullah s.a.w. bertanyakan kepada hamba perempuan tersebut tentang kalimah syahadah.

Kedua: Rasulullah s.a.w. bertanya kepada hamba perempuan tersebut tentang di mana Allah.

Adapun Lafaz: Adakah kamu mengakui tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah atau bertanya tentang kalimah tauhid mempunyai banyak jalan periwayatan dengan sanad yang kuat berbanding riwayat pertanyaan Allah di mana.

Riwayat Pertama: Riwayat Imam Malik r.a. dalam Al-Muwatho' bab (كتاب العتاقة والولاء) :-

"Sabda Rasulullah s.a.w. kepada hamba perempuan tersebut:

"أتشهدين أن لا إله إلا الله " ، قالت: "نعم " ، قال: "أتشهدين أني رسول الله" ، قالت:" نعم"، قال: "أتوقنين بالبعث بعد الموت" قالت: "نعم". فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم: "أعتقها"

"Adakah kamu mengetahui bahawa tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah?". Hamba perempuan itu menjawab: "Ya". Rasulullah s.a.w. bertanya lagi: "Adakah kamu mengakui bahawasanya aku adalah utusan Allah?" Hamba perempuan itu menjawab: "Ya". Rasulullah s.a.w. bertanya lagi: "Adakah kamu beriman dengan hari kebangkitan setelah kematian?" Hamba perempuan itu menjawab: "Ya". Rasulullah s.a.w. bersabda: "Merdekakanlah dia…".

Riwayat Kedua: Riwayat Abdul Razzak dalam Al-Mushonnaf



Imam Abdul Razak meriwayatkan dalam Al-Mushonnaf daripada Ibn Juraij yang meriwayatkan daripada "Atho':-

Rasulullah s.a.w. bertanya kepadanya:

أتشهدين أن لا إله إلا الله

Maksudnya: "Adakah kamu mengakui bahawa tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah"?

Hamba perempuan itu menjawab: "Ya".

Rasulullah s.a.w. bertanya lagi: "Adakah kamu mengakui bahawasanya aku adalah pesuruh Allah (Rasulullah)" Hamba perempuan itu menjawab: "Ya"…" (sehinggalah akhir hadith).

Riwayat Ketiga: Riwayat Al-Bazzar dalam Kasyf Al-Astar dalam 1/14:

Diriwayatkan daripada Saidina Ibn Abbas r.a.:-

"Rasulullah s.a.w. bersabda: "Adakah kamu mengakui bahawasanya aku adalah pesuruh Allah (Rasulullah)" Hamba perempuan itu menjawab: "Ya"…" (sehinggalah akhir hadith).

Riwayat Keempat: Riwayat Imam At-Tabrani dalam Al-Kabir 12/27 dengan jalan yang sama seperti jalan Al-Bazzar.

Riwayat Kelima: Riwayat Imam Abdul Razzak dalam Al-Musonnnaf (9/175) dengan jalan lain daripada Ma'mar daripada Az-Zuhri daripada Ubaidillah bin Abdullah.

Riwayat Keenam: Riwayat Imam Ahmad dalam Musnad Imam Ahmad (3/451) dengan jalan Imam yang sama dengan riwayat Abdul Razzak pada riwayat kelima.

Riwayat Ketujuh: Riwayat Imam Al-Baihaqi dalam As-Sunan Al-Kubra 7/388 dengan lafaz "siapa tuhan kamu":-

" من ربك " ، قالت : " الله ربي " ، قال : " فما دينك " ، قالت : " الإسلام " ، قال : " فمن أنا " ، قالت : " أنت رسول الله " ، قال : " أعتقها

Maksudnya: Rasulullah s.a.w. bertanya kepada hamba perempuan: "Siapa tuhan kamu?" Hamba tersebut menjawab: "Allah tuhanku." Rasulullah s.a.w. bertanya: "Apa agamamu?". Dia menjawab: "Islam". Rasulullah s.a.w. bertanya lagi: "Siapa aku?" Dia menjawab: "Rasulullah". Rasulullah s.a.w. kemudian bersabda: "Kalau demikian, bebaskanlah dia".

Demikian adalah hadith-hadith yang berkaitan dengan hadith Al-Jariyyah ini di mana lafaz kalimah syahadah atau tentang ketuhanan Allah yang ditanya oleh Rasulullah s.a.w. melalui banyak jalan dan sandarannya.

Adapun hadith yang berkaitan dengan aina Allah (di mana Allah) cuma ada dua jalan iaitu daripada jalan Imam Muslim dan jalan Imam Al-Baihaqi dari satu riwayat.

Namun, Imam Al-Baihaqi meriwayatkan hadith Al-Jariyyah dengan lafaz aina Allah tetapi tanpa menetapkan lafaz Allah fi As-Sama' (Allah di langit) oleh hamba perempuan kerana ianya dikatakan bisu.

Bahkan, menurut Imam Al-Baihaqi juga, hadith dengan jalan yang sama ini diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam naskhah yang beliau (Al-Baihaqi) miliki tanpa kisah Al-Jariyyah tersebut.

Ini memberi kefahaman kepada kita bahawasanya ada sebahagian naskhah sahih Muslim sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Al-Baihaqi tanpa kisah Al-Jariyyah.

Dari sudut sanad sahaja, walaupun sanad hadith Imam Muslim itu sahih (atau hasan dari sudut penilaian sebahagian ulama' tentang Hilal bin Abi Maimunah yang dianggap sebagai hasan sahaja), namun ianya suatu lafaz yang terasing (tafarrud) dalam hadith Al-Jariyyah ini kerana hanya disokong oleh riwayat Imam Al-Baihaqi dalam masa yang sama Imam Al-Baihaqi menyatakan kedudukan lafaz hadith ini saling berbeza. Lebih daripada itu, Imam Al-Baihaqi menjelaskan dalam Al-Asma' wa As-Sifat bahawa Imam Muslim tidak meriwayatkan kisah Al-Jariyyah dalam naskhah Sahih Muslim yang beliau miliki.

Dalam situasi pengkajian sebegini, dari sudut sanad juga telah menunjukkan lafaz Rasulullah s.a.w. bertanyakan tentang kalimah syahadah lebih kuat dengan banyak jalan sanad yang berbeza.

Jika kita lihat kedudukan hadith Al-Jariyyah dengan lafaz bertanyakan kalimah syahadah ini, maka kita dapati seperti berikut:-

Tobaqot As-Sohabah: Ia diriwayatkan oleh Saidina Mu'awiyyah bin Al-Hakam r.a. (riwayat Abdul Razzak dan riwayat Imam Al-Baihaqi) dan Saidina Ibn Abbas r.a. (Al-Bazzar dan At-Tobrani).

Tobaqot At-Tabi'ien: Ia diriwayatkan oleh 'Atho' bin Yasar dan Ubaidillah bin Abdullah bin Utbah yang merupakan dua perawi dari kalangan tabi'en yang dipercayai.

Tobaqor Tabi'ie At-Tabi'en: Ia diriwayatkan oleh Az-Zuhri, Ibn Syihab (kedua-duanya daripada Ubaidillah), Ibn Juraij (daripada 'Atho' bin Yasar) dan sebagainya.

Sanad hadith-hadith yang membawa maksud bertanyakan kalimah syahadah adalah sangat kuat dengan pelbagai jalan yang kuat. Maka, dari sudut sanad sahaja, hadith riwayat Imam Malik, Imam Ahmad, Imam Abdul Razzak, Imam Al-Bazzar, Imam At-Thobrani dan Imam Al-Baihaqi ini lebih rajih berbanding hadith riwayat Imam Muslim yang tersendiri secara sanadnya.

Maka, hukum idthirob jatuh kepada matan hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim walaupun sanadnya sahih, kerana idthirob terkadang hanya berlaku pada matan hadith walaupun pada sanad yang sahih.

Sheikhu Sheikhna (guru kepada guru kami) Al-Muhaddith Abdullah As-Siddiq Al-Ghumari berkata dalam pentarjihan hadith ini dari sudut sanad:
"Lafaz Hadith (Al-Jariyyah) yang diriwayatkan oleh Imam Muslim ini syaz (terasing daripada lafaz yang lebih rajih) lagi tertolak dengan banyak alasan. Pertama: Riwayat dengan lafaz ini bercanggah daripada hadith-hadith mutawatir daripada Rasulullah s.a.w. yang lain yang menunjukkan jika seseorang datang kepada Baginda s.a.w. untuk mengetahui keislamannya, maka dia akan bertanya tentang kalimah syahadah. Jika orang tersebut membenarkannya, maka Rasulullah s.a.w. akan mengakui keislamannya."
(Fath Al-Mu'in m/s 27-28 oleh Al-Allamah Sheikh Abdullah As-Siddiq Al-Ghumari).

Dalam kitab beliau tersebut, Al-Allamah Sheikh Abdullah Al-Ghumari menguatkan lafaz yang diriwayatkan oleh Imam Malik, Imam Abdul Razzak dan sebagainya.

Dr. Umar Abdullah Kamil turut menghimpunkan pelbagai bukti termasuklah dari sudut sanad bahawasanya lafaz riwayat Imam Muslim itu sebenarnya marjuh (lemah berbanding lafaz-lafaz lain) dan Mudthorib (bertembung dengan yang lebih tepat) (Hadith Al-Jariyyah 7-9)

Perlu diingat bahawasanya, biarpun Sahih Muslim dipegang oleh keseluruhan para ulama' hadith sebagai kitab hadith sahih, namun sepertimana yang sedia maklum di sisi ahli hadith sendiri, kitab Sahih Muslim tidak semestinya mengandungi semua hadith yang berdarjat paling sahih berbanding riwayat-riwayat lain, malah ada juga hadith-hadith di dalam Sahih Muslim yang kurang darjat kesahihannya berbanding riwayat-riwayat lain walaupun tidak menjatuhkan taraf kesahihan hadith riwayat Imam Muslim tersebut.

Hal ini diakui sendiri oleh Imam Az-Zahabi (673-748 H) dalam Al-Muqizah (m/s 80) dan Al-Mizan (2/440-445), dan Imam Ibn Hajar Al-Asqollani dalam Hady As-Sari dan Tahzib At-Tahzib (5/256-261) serta Al-Hafiz Al-Hazimi (548-584 H) dalam syurut Al-A'immah Al-Khamsah (m/s: 150-184). Sheikhu Sheikhna Abdul Fattah Abu Ghuddah juga menjelaskan hal tersebut dalam tatmah Ar-Rabi'ah ke atas kitab Al-Muqizah oleh Imam Az-Zahabi.

Oleh yang demikian, tidak wajar seseorang menggunakan lafaz hadith Al-Jariyyah dalam masalah aqidah sehingga berhempas-pulas ingin menetapkan juga Allah s.w.t. dengan "bertempat", sedangkan hadith riwayat Imam Muslim dalam bab ini, jika dinilai dari sudut sanad sahaja, maka ianya marjuh (ada jalan lain yang lebih kuat/rajih). Bagaimana lafaz yang marjuh (ada yang lebih kuat) boleh dijadikan hujah dalam bab aqidah sedangkan ianya bersifat zhonni atau syaz?


Penjelasan Mengenai Hadith Jariyah (Di Mana ALlah?) Bab 3

Perbandingan hadith Al-Jariyyah Riwayat Imam Muslim dengan Riwayat-riwayat Lain dari Sudut Samada Ungkapan atau Isyarat Tangan

Perbandingan ini merupakan suatu bentuk perbandingan yang menunjukkan betapa kedudukan lafaz "aina Allah" (di mana Allah) dan fis sama' (di langit) adalah tidak qat'ie. Ini kerana wujudnya perbezaan lafaz daripada jalan perawi-perawi yang lain.

Riwayat Kedua tentang Kisah Al-Jariyah:

Imam Al-Hafiz Al-Mizzi meriwayatkan dalam tuhfah Al-Asyraf (8/427):-

Daripada Sa'id bin Zaid yang meriwayatkan

Daripada Tawiyah Al-'Anbari yang meriwayatkan

Daripada 'Atho' bin Yasar yang meriwayatkan

Daripada Shohib Al-Jariyyah (tuan hamba perempuan tersebut) iaitu Saidina Mu'awiyah r.a. bahawasanya dalam kisah al-jariyah tersebut menyebut:

فمد النبي يده إليها مستفهما "من في السماء؟" قالت: الله

Maksudnya: "Nabi s.a.w. menghulurkan tangannya seolah-olah memberi faham bahawa siapa di langit? Lalu hamba perempuan tersebut berkata: Allah".

Hadith ini juga paling rendah penilaiannya adalah hasan, tidak bawah daripada darjat hasan. Bahkan, sebahagian ulama' hadith menguatkan hadith ini kerana di sisi mereka, Sa'id bin Zaid adalah thiqqah (terpercaya). Imam Al-Bukhari menjelaskan bahawa Said bin Zaid adalah shoduq (boleh dipercayai).

Perbandingan Antara Hadith Riwayat Muslim dan Riwayat Al-Mizzi (dan Az-Zahabi)

- Dalam riwayat Muslim:

Rasulullah s.a.w. bersabda: "Di mana Allah?"

Hamba perempuan menjawab: "Di langit".

- Dalam riwayat kedua ini (Al-Mizzi dan Az-Zahabi):

Rasulullah s.a.w. menggunakan isyarat tangan yang mana difahami oleh perawi (Mu'awiyah bin Al-Hakam) bahawa yang dimaksudkan adalah, siapa yang di langit, tanpa sebarang lafaz daripada Rasulullah s.a.w..

Hamba perempuan menjawab: "Allah".

Daripada hasil perbandingan ini, dapatlah difahami bahawasanya, lafaz "di mana Allah" tidak qat'ie daripada Rasulullah s.a.w. kerana beberapa faktor:

Pertama: Jika dibandingkan dengan riwayat Al-Mizzi, jelas menunjukkan Rasulullah s.a.w. sekadar menggunakan isyarat tangan yang mana difahami oleh Saidina Mu'awiyah bin Al-Hakam r.a. bahawa yang dimaksudkan adalah "di mana Allah" (seperti dalam riwayat Muslim). Kedua-dua hadith ini hampir sama darjat kesahihannya sebagaimana yang disebutkan tadi.

Kedua: Jika kita perhatikan dalam riwayat Imam Muslim sendiri jelas di mana "cara" Saidina Mu'awiyah meriwayatkan lafaz hadith ini adalah dengan makna, iaitu ada pengaruhnya dalam membuat lafaz hadith tersebut.

Dua faktor ini telah menyebabkan lafaz "aina Allah" dalam hadith tersebut adalah tidak qat'ie (jelas). Dalam kaedah mengatakan, "jika adanya kemungkinan, maka gugurlah istidlal (pendalilan atau pembuktian terhadap sesuatu). Kaedah ini dalam masalah hukum, maka dalam masalah aqidah adalah lebih utama lagi tidak boleh ada kesamaran dalam sandarannya (berkenaan aqidah).

Riwayat Ketiga:

Imam Al-Baihaqi meriwayatkan dalam As-Sunan Al-Kubra pada kitab Al-Zhihar dalam bab I'taq Al-Khurasa' Iza Asyarat Bil Iman (dalam riwayat Imam Abu Daud juga sebegini):

Daripada jalan 'Auf bin Abdillah bin 'Utbah:

Daripada Abdullah bin 'Utbah:

Daripada ayahnda beliau 'Utbah:

Daripada Abi Hurairah r.a.:


"Bahwasanya ada seseorang (iaitu Mu'awiyah) datang dengan membawa hamba perempuan yang berkulit gelap. Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda:

أين الله؟

Maksudnya: "Di mana Allah?"

Lalu hamba perempuan menunjukkan isyarat ke arah langit dengan jarinya.

Dalam hadith ini juga menunjukkan "lafaz yang sama" dengan riwayat Muslim dari sudut sabda Rasulullah s.a.w. namun dari sudut hamba perempuan, ianya menggunakan isyarat pula kerana
menurut Imam Al-Baihaqi bahawasanya hamba perempuan ini bisu.

Cuba kita gabungkan ketiga-tiga lafaz daripada ketiga-tiga riwayat.

Riwayat Muslim:

Sabda Rasulullah s.a.w.: "Di mana Allah?"

Hamba perempuan berkata: "Di langit".

Riwayat Al-Mizzi dan Az-Zahabi:

Rasulullah s.a.w. menunjukkan isyarat ke langit yang membuatkan Saidina Mu'awiyah memahami bahawa yang dimaksudkan oleh Nabi s.a.w. adalah "Siapa di langit?"

Hamba perempuan berkata: "Allah"

Riwayat Imam Al-Baihaqi

Sabda Rasulullah s.a.w.: "Di mana Allah?"

Hamba perempuan menunjukkan isyarat ke langit.

Menurut Imam Al-Baihaqi, hamba perempuan itu bisu. Jadi, riwayat Imam Muslim yang mana hamba perempuan tersebut berkata "di langit" jika dinilai dari sudut komen Imam Al-Baihaqi, maka ianya bukan daripada perkataan hamba perempuan itu sendiri, tetapi daripada Saidina Mu'awiyah yang meriwayatkan hadith ini dengan makna (secara maknawi). Pengaruh perawi dalam lafaz hadith memang telah dijelaskan sebelum ini.

Jika seseorang yang berinteraksi dengan seseorang yang bisu juga terkadang juga menggunakan isyarat. Kemungkinan ini jugalah yang menjawab persoalan mengapa dalam riwayat Al-Mizzi bahawasanya Rasulullah s.a.w. juga menggunakan isyarat tangan juga.

Taufiq (Penggabungan): Kemungkinan daripada gabungan ketiga-tiga riwayat ini adalah, Rasulullah s.a.w. berinteraksi secara isyarat dengan hamba perempuan tersebut (riwayat Al-Mizzi) kerana dia seorang yang bisu dan perempuan itu juga menjawab juga secara isyarat (sebagaimana dalam riwayat Al-Baihaqi). Adapun riwayat Imam Muslim adalah olahan daripada Saidina Mu'awiyah yang memahami peristiwa tersebut sebegitu lalu diolah dengan lafaznya sendiri kerana ingin menjelaskan lagi peristiwa tersebut kepada perawi setelah beliau, sedangkan lafaz tersebut tidaklah daripada Rasulullah s.a.w. dan tidak juga daripada hamba perempuan tersebut.

Imam Al-Kauthari juga menyimpulkan perkara yang hampir sama di mana jika sebenarnya dialog antara Rasulullah s.a.w. berlaku secara isyarat maka gugurlah petunjuk daripada lafaz hadith ini (lafaznya tidak boleh dibauat hujah) kerana lafaz-lafaznya adalah daripada olahan perawi hadith itu sendiri.

Maksudnya:

Riwayat Imam Muslim

- Sabda Rasulullah s.a.w.: "Di mana Allah?"

- Hamba perempuan berkata: "Di langit".

Riwayat Al-Mizzi dan Az-Zahabi:

- Hamba perempuan berkata: "Allah"

Riwayat Imam Al-Baihaqi

- Sabda Rasulullah s.a.w.: "Di mana Allah?"

Keempat-empat ungkapan yang dinisbahkan samada kepada Rasulullah s.a.w. dan kepada hamba perempuan tersebut adalah daripada olahan Saidina Mu'awiyah sendiri kerana kedua-duanya (Rasulullah s.a.w. dan hamba perempuan) berinteraksi dengan isyarat kerana hamba perempuan tersebut bisu menurut Imam Al-Baihaqi. Menurut riwayat yang lain, hamba perempuan itu menggunakan isyarat mengangguk. Keadaan Saidina Mu'awiyah yang tidak jelas dengan peristiwa tersebut memang telah dijelaskan sebelum ini dari perkataan beliau yang berkata: "…Atau sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w…" (riwayat Imam Muslim).

Sheikh Dr. Muhammad Sa'id Ramadhan Al-Buti menjawab dalam fatwanya ketika ditanya mengenai hadith Al-Jariyyah tersebut:

الجارية التي سألها رسول الله، كانت خرساء، وإنما أشارت بإصبعها إلى السماء، ليتبين لرسول الله أنها مؤمنة وليست بمشركة.

Maksudnya: "Hamba perempuan yang ditanya oleh Rasulullah s.a.w. adalah seorang yang bisu. Lalu hamba perempuan itu menunjukkan dengan jarinya ke langit…"
Kedudukan Saidina Mu'awiyyah bin Al-Hakam itu sendiri pada ketika itu adalah seorang sahabat yang baru memeluk Islam sehingga dia sendiri tidak tahu bukti hamba perempuannya itu seorang mu'minah, sehingga perlu meminta bantuan Rasulullah s.a.w.. Oleh yang demikian, Imam Al-Kauthari menjelaskan bahawasanya, pertanyaan di mana Allah itu adalah daripada pengaruh perawi iaitu Mu'awiyyah bin Al-Hakam itu sendiri dalam memahami situasi tersebut, bukan daripada lafaz Rasulullah s.a.w. itu sendiri.

http://jomfaham.