Ya Allah, Atas KemuliaanMu,KeagunganMu dan Belas EhsanMu limpahkan lah hidayahMu kepada kami,semuga kami semua berjumpa dengan sebenar-benar jalan untuk kami pulang kesisiMu........


Fekah tanpa tasauf fasik,Tasauf tanpa fekah zindiq

Monday, December 05, 2011

Bahaya Taklid Dalam Tauhid


umat islam hanya mentauhidkan Allah yang esa dan tidak menyembah makhluk lain.


APABILA ditanya dari mana nas al-Quran dan sunnah yang menyebut pembahagian yang jelas bagi tauhid tiga serangkai iaitu tauhid uluhiah, tauhid rububiah dan tauhid asma' wa sifat, pendokongnya yang mengaku berpegang dengan al-Quran dan sunnah pun, teragak-agak mendatangkan hujah.
Lantas mendatangkan hujah-hujah berbentuk taklid iaitu WAMY, ulama-ulama lain dan silibus-silibus beberapa buah universiti yang menyokong. Itu sebenarnya taklid.
Kadang-kadang didatangkan nukilan al-Baghdadi dalam al-Farq Baina al-Firaq berkaitan dengan tafsiran perkataan 'ahlussunnah' sebab mahu bergantung dengan ulama silam Ahlussunnah, namun ditiadakan syarahan bahawa Imam al-Baghdadi sebenarnya mensyarahkan tauhid Sifat di dalam kitab tersebut apabila beliau mensyarahkanfirqah najiah (firqah yang selamat). Bahkan perkataan 'tauhid-tauhid sifat' dalam definisi tersebut diabaikan. Walhal itulah antara sifat-sifat 20.
Lihat bagaimana Imam al-Baghdadi mensyarahkan pandangan Ahlussunnah dalam mentauhidkan sifat Allah SWT:
"Mereka ijmak bahawa tempat tidak meliputiNya (Allah SWT tidak bertempat) dan masa tidak mengikatnya, berbeza dengan firqah al-Hasyamiah dan al-Karamiah, yang mengatakan Allah memegang arasynya".
(Lihat Al-Baghdadi, al-Farq Baina al-Firaq, hal.256).
Dalam isu tauhid, amat merbahaya kita bertaklid. Sepatutnya didatangkan nas-nas yang jelas berkaitan pembahagian tiga serangkai tersebut bersesuaian sekiranya kita bersarjanakan al-Quran dan sunnah.
Kalau berdoa selepas solat secara berjemaah yang tidak ditunjuk oleh hadis secara jelas pun dituduh bidaah dan sesat oleh sesetengah orang (walau berdoa disuruh dalam al-Quran dan sunnah), apatah lagi isu pokok dan besar seperti tauhid.
Apabila ditanya, mana dalil al-Quran dan sunnah apabila anda mengatakan penyembah berhala bertauhid dengan tauhid rububiah (tanpa tauhid uluhiyah)? Lantas akan dinyatakan kata-kata si polan dan polan mengatakan perkara ini dan di sokong pula dengan ulama-ulama ini dan ini.
Persoalan saya: Kenapa tidak ada sepatah pun ayat al-Quran dan hadis atau kata-kata ulama-ulama Salafussoleh (tiga kurun pertama) mengenai perkara ini?
Memang benar ada ayat yang bermaksud:
Dan jika engkau bertanya kepada mereka, siapakah yang menciptakan mereka, nescaya mereka menjawab: Allah; jadi bagaimana mereka dapat dipalingkan (dari menyembah Allah SWT).
(al-Zukhruf: 87).
Dalil ini digunakan untuk menunjuk- kan orang-orang Musyrik (penyembah berhala) beriman dengan iman rububiah. (Mohd. Naim Yasin, hal.11).
Namun kenapa tidak dicantumkan dengan ayat selepasnya?
Dan (Allah mengetahui) ucapannya (Muhammad): Ya Tuhanku, sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang tidak beriman.
(al-Zukhruf: 88).
Tidak pula al-Quran mahupun sunnah menyebut orang-orang Musyrik beriman dengan tauhid rububiah sahaja! Ini persoalan akidah, sepatutnya ada nasnya secara jelas.
Sebaliknya al-Quran mengatakan dengan jelas bahawa mereka bukan orang yang beriman. Bagaimana kita boleh mengubahnya mengatakan mereka beriman dengan tauhid rububiah? Mana dalilnya sebab ini persoalan akidah?
Ini adalah taklid. Kenapa kita membenarkan taklid dalam soalan akidah sebegini? Kita amat tidak adil apabila membenarkan taklid pada persoalan akidah sebegini.
Lantas kemungkinan saya pula ditanya:
Apa dalil kamu dari al-Quran dan sunnah yang menyebabkan kamu mengkhususkan Sifat 20 untuk Allah SWT?
Maka saya berkata:
"Bahawasanya Allah SWT bersifat dengan segala sifat kesempurnaan, dan maha suci dari segala kekurangan. Sesungguhnya ketuhanannya melazimkan kesempurnaan mutlak secara khusus untuk ZatNya.
"Kemudian, kami memilih sifat-sifat terpenting daripada sifat-sifatNya yang maha sempurna dan kami menjelaskannya secara terperinci perkara-perkara dan keyakinan-keyakinan yang berkaitan dengannya
(Lihat al-Buti, 1992, Kubra al-Yaqiniyat al-Kauniyyah, h108).
Adalah satu fitnah sekiranya kami dikatakan menghadkan sifat Allah SWT kepada 20 sahaja!
Saya mungkin ditanya lagi:
Mana dalilnya dari al-Quran dan sunnah? Saya akan mengatakan bahawa semua sifat dua puluh itu ada dalilnya di dalam al-Quran dan sunnah. Kalau mahu diperincikan, boleh dilihat dalam semua buku yang mensyarahkan Sifat 20.
Saya ditanya lagi: Bukankan Sifat 20 itu susunan Muktazilah?
Saya berkata:
Sekiranya saudara membaca sejarah Islam silam, saudara akan memahami bahawa pada zaman Khalifah Abbasiah iaitu Ma'mun bin Harun ar Rasyid (198H-218H), al-M'tashim (218H-227H) dan al-Watsiq (227H-232H) adalah khalifah-khalifah penganut fahaman Muktazilah atau sekurang-kurangnya penyokong-penyokong yang utama dari golongan Muktazilah.

Dalam sejarah Islam, dinyatakan terjadinya apa yang dinamakan 'fitnah al-Quran itu makhluk' yang mengorbankan beribu-ribu ulama yang tidak sefaham dengan kaum Muktazilah.

Pada masa itu, Imam Abu Hassan al-Asy'ari muda remaja, dan belajar kepada seorang Sheikh Muktazilah, iaitu Muhammad Abdul Wahab al-Jabai (wafat 303H).

Imam Abu Hassan al-Asy'ari (wafat 324H) melihat terdapat kesalahan besar kaum Muktazilah yang bertentangan dengan iktiqad (keyakinan) Nabi SAW dan sahabat-sahabat baginda, dan banyak bertentangan dengan al-Quran dan sunnah. Lantas beliau tampil meninggalkan fahaman Muktazilah dan menongkah hujah-hujah kaum Muktazilah.
Kefahaman Masyarakat
Bermula dari itulah, Imam Abu Hassan al-Asy'ari melawan kaum Muktazilah dengan lidah dan tulisannya. Justeru, susunan tauhidnya bermula setelah dia berjuang menentang Muktazilah dan mengembalikan kefahaman masyarakat kepada al-Quran dan sunnah.
Di atas jalannya, ulama silam menelusuri, antaranya ialah Imam Abu Bakar al-Qaffal (wafat 365H), Imam Abu Ishaq al-Asfaraini (wafat 411H)., Imam al-Hafiz al-Baihaqi (wafat 458), Imam Haramain al-Juwaini (wafat 460H), Imam al-Qasim al-Qusyairi (wafat 465H), Imam al-Baqilani (wafat 403H), Imam al-Ghazali (wafat 505H), Imam Fakhrurazi (wafat 606H) dan Imam Izzuddin bin Abd Salam (wafat 660H). (Lihat Kiyai Sirajuddin Abbas (2008). Aqidah ahlussunnah wal Jamaah, h21-23).
Tidak pernah wujud pertelingkahan antara penghuraian Imam Abu Hassan al-Asy'ari dan Imam al-Maturidi dengan pengikut-pengikut mazhab fiqh yang empat.
Kemudian saya mungkin diperlekeh kerana pengajian sifat 20 ini bentuknya kaku, lantas contoh sindirannya ialah:
"Wujud maksud ada, lawannya tiada.... akhirnya semuanya tiada".
Saya katakan sememangnya cara perbahasan Sifat 20 kena diperbaharui dan diringkaskan.
Dalil-dalil al-Quran berkaitan sifat tersebut perlu lebih dipertekankan berbanding dengan dalil-dalil akal yang rumit-rumit yang mungkin zaman kita tidak memerlukannya.
Pada saya, mungkin penulisan seorang ulama Indonesia Kiai Sirajuddin Abbas bertajuk: Aqidah Ahlussunnah wal Jamaah, boleh digunakan untuk memudahkan kefahaman pembaca. Buku ini masih banyak dijual di toko-toko buku di Wisma Yakin, Kuala Lumpur.
Saya kemudian ditanya berkaitan dengan sahabat-sahabat saya yang mungkin belajar dan mengajar tauhid tiga serangkai ini?
Saya katakan pengalaman saya mendengar pensyarah-pensyarah dan sahabat-sahabat saya yang mengajar tauhid pecah tiga ini, ada di kalangan mereka tidak ekstrem, tidak sampai mengkafirkan/mensyirikkan golongan yang tidak sependapat.
Contohnya bila memperkatakan tawassul dan menziarahi kubur, ada di kalangan mereka menerimanya tanpa mengkafirkannya atau menyesatkannya.
Demikian juga persoalan penafsiran ayat-ayat sifat, ada yang tidak menerima/ tidak taklid bulat-bulat kenyataan Sheikh Muhammad bin Abdul Wahab, dan lebih kepada menyerahkan kepada Allah SWT. Mereka lebih suka merujuk terus ke Ibn Taymiyyah berbanding Sheikh Abd Wahhab.
Di kalangan mereka (mengikut cerita adik saya ketika dia belajar di Universiti Yarmuk, Jordan), pensyarah Aqidahnya mengatakan: Kamu orang-orang Malaysia, ramai mengikut Ahlu sunnah aliran Asyairah.
Namun, tauhid yang diajarkan ini mengikut susunan Ibn Taymiyah kerana menjadi silibus Universiti ini (pada masa itu). Terserah kepada kamu mengikut keyakinan Asyairah itu (tanpa beliau menyesatkannya).
Mereka menyedari ramai ulama silam (sama ada muhadithin, fuqaha' atau mufassirin) dari kurun ke tiga Hijrah berpegang kepada huraian Imam Abu Hassan al-Asy'ari (wafat 324H) dan Imam Abu Mansur al-Maturidi (wafat 333H).
Walaupun begitu, ada yang amat ekstrem dalam pegangannya sehinggakan menyesatkan imam-imam terdahulu yang berada dalam lingkungan ratusan tahun.
Semoga pembaca membuat pertimbangan dan terbuka berkaitan isu ini. Pada saya berpegang pada tauhid susunan dan huraian orang yang dekat dengan Rasulullah SAW (al-'ali) lebih selamat dari berpegang kepada tauhid orang terkemudian dan sekarang yang kelihatan cacar marba metodenya dan bertaklid dengan orang-orang baru (al-nazil).
Semoga Allah SWT menyelamatkan kita dari kesesatan dan menganugerahkan kita jalan yang lurus.
Sumber : Utusan Malaysia
Bacaan Tambahan :
Ulamak-ulamak Asya'iroh

Aqidah Al Azhar Oleh Dr Yusof al Qardhawi
http://jomfaham.

Friday, December 02, 2011

Penjelasan Mengenai Hadith Jariyah (Di Mana ALlah?) Bab 9 Dan Bab 10

Perkataan Ulama' Muhaddith Muktabar dalam Menafikan Tempat dan Jisim bagi Allah s.w.t. (Suatu Pentunjuk Ke Arah Memahami Aqidah Tanzih Mereka)

Imam Al-Hafiz Abu Bakr bin Al-Husein Al-Baihaqi As-Syafi'e (458 H) (yang sering menjadi rujukan termasuklah bagi sesetengah kelompok mujassimah dalam cuba menisbahkan tempat bagi Allah) ada berkata:

وأنه الظاهر فيصح إدراكه بالأدلة، الباطن فلا يصح إدراكه بالكون في مكان. واستدل بعض أصحابنا في نفي المكان عنه بقول النبي (صلّى الله عليه و سلّم) "أنت الظاهر فليس فوقك شىء، وأنت الباطن فليس دونك شىء"، وإذا لم يكن فوقه شىء ولا دونه شىء لم يكن في مكان

Maksudnya: "Allah s.w.t. itu Maha Zahir kerana (kewujudannya) boleh didapati dengan bukti-bukti (daripada kekuasaanNya melalui alam ini) dan Maha Bathin kerana tidak boleh didapati (kewujudanNya) secara bertempat. Sebahagian para ulama' kami (aliran ahlus-sunnah) menafikan tempat bagi Allah s.w.t. dengan berpandukan dalil sabda Rasulullah s.a.w. yang berbunyi: "Kamu Maha Zahir yang tiada di atas kekuasaanMu sesuatupun dan Maha Bathin yang tiada di sampingMu sesuatu pun". Jika tiada di atasNya sesuatu dan tiada di sampingNya sesuatu, jelaslah bahawasanya Allah s.w.t. wujud tanpa bertempat"
(Al-Asma' wa As-Sifat: 400)


Imam Al-Muhaddith Umar bin Muhammad An-Nasafi (537 H) ada berkata"

والمُحدِثُ للعالَم هو الله تعالى ، لا يوصف بالماهيَّة ولا بالكيفية ولا يَتمكَّن في مكان

Maksudnya: "Adapun yang mewujudkan alam daripada tiada adalah Allah s.w.t.. Dia tidak disifati dengan sebarang sifat mahiyyah, tidak disifati dengan sebarang tatacara dan tidak bertempat pada sebarang tempat"
(risalah Aqidah An-Nasafiyyah)

Imam Al-Hafiz Ibn 'Asakir Ad-Dimasyqi (571 H) juga ada berkata:

كان ولا مكان فخلق العرش والكرسي ولم يحتج إلى مكان ، وهو بعد خلق المكان كما كان قبل خلقه

Maksudnya: Allah s.w.t. wujud tanpa tempat. Maka Dia ciptakan Arasy dan Kursi tanpa berhajat kepada tempat. Dia wujud juga setelah menciptakan tempat sebagaimana Dia wujud sebelum menciptakan tempat (iaitu tidak bertempat).
(Tabiyyin Kizb Al-Muftari: 150)

Al-Hafiz Imam Ibn Al-Jauzi (597 H) juga ada berkata:

الواجب علينا أن نعتقد أن ذات الله تعالى لا يحويه مكان ولا يوصف بالتغير والانتقال

Maksudnya: "Wajib bagi kita untuk meyakini bahawasanya zat Allah s.w.t. tidak diliputi oleh tempat dan tidak bersifat dengan sebarang perubahan dan perpindahan"
(Shoid Al-Khatir: 47)

Bahkan, Imam Ibn Al-Jauzi mengarang satu risalah khusus dalam menolak golongan mujassimah yang berfahaman tuhan berjisim dan bertempat ini dengan nama "Daf Syubah At-Tasybih".

Imam Ibn Athir (606 H) juga ada menyebutkan:

المراد بقرب العبد من الله تعالى القرب بالذكر والعمل الصالح ، لا قرب الذات والمكان لأن ذلك من صفات الأجسام ، والله يتعالى عن ذلك ويتقدس

Maksudnya: "Yang dimaksudkan dengan dekatnya hamba kepada Allah adalah kehampiran dengan zikir dan amal soleh, bukan dekat secara bertempat kerana bertempat adalah ciri-ciri kejisiman sesuatu jisim sedangkan Maha Suci Allah daripada sifat kejisiman tersebut…"
(An-Nihayah fi Gharib Al-Hadith 4/32)


Imam Al-Qurthubi (671 H) ada menyebutkan juga:

و "العليّ" يراد به علو القدر والمنزلة لا علو المكان ، لأن الله منزه عن التحيز

Maksudnya: "Adapun Allah "Maha Tinggi" itu bermaksud ketinggian keagungan dan kedudukanNya, bukan ketinggian tempat, kerana Allah s.w.t. tidak bertempat".
(Al-Jami'e li Ahkam Al-Qur'an pada Surah Al-Baqarah ayat 255 (3/278) )

Seorang ulama' hadith agung pada zamannya, yang menjadi rujukan utama dalam bidang hadith iaitulah Imam Az-Zahabi yang sering diselewengkan maksud tulisan beliau oleh golongan mujassimah moden, juga ada berkata dalam menjelaskan pendirian dan aqidahnya yang berlepas tangan daripada fahaman "Tuhan bertempat":

وتعالى الله أن يحد أو يوصف إلا بما وصف به نفسه أو علمه رسله بالمعنى الذي أراد بلا مثل ولا كيف

Maksudnya: "Maha Suci Allah daripada dibatasi oleh sebarang batasan (samada tempat atau masa) atau Maha Suci Allah juga daripada sebarang sifat melainkan apa yang hanya disifatkan kepada diriNya atau apa yang diajarkan kepada para rasulNya dengan makna yang Dia sendiri kehendaki tanpa sebarang penyerupaan dengan makhluk dan tanpa tatacara…
(Siyar A'lam An-Nubala' 16/97-98)

Seorang ulama' hadith agung yang turut menjadi rujukan dalam bidang hadith iaitulah Al-Hafiz Imam An-Nawawi (676 H) juga ada berkata:

إن الله تعالى ليس كمثله شىء , منزه عن التجسيم والانتقال والتحيز في جهة وعن سائر صفات المخلوق

Maksudnya: "Sesungguhnya Allah s.w.t. tiada yang menyerupaiNya. Dia tidak berjisim, tidak berpindah-pindah, tidak diliputi oleh sebarang tempat dan tidak bersifat dengan sebarang sifat makhluk".
(Syarah Sahih Muslim 3/19)

Imam Al-Hafiz Al-Karmani (786 H) menjelaskan tentang aqidah ini:

قوله ( في السماء ( ظاهره غير مراد ، إذ الله منزه عن الحلول في المكان ، لكن لما كانت جهة العلو أشرف من غيرها أضافها إليه إشارة إلى علو الذات والصفات

Maksudnya: "Perkataan Allah "fis sama'" maka makna zahirnya bukanlh yang dimaksudkan oleh Allah s.w.t. kerana Allah s.w.t. tidak bertempat pada sebarang tempat, tetapi oleh kerana posisi di atas adalah posisi yang paling mulia berbanding posisi lain, maka Allah s.w.t. menisbahkan posisi "atas" tersebut kepada diriNya sebagai petunjuk terhadap ketinggian darjat zat dan sifatNya."
(fath Al-Bari: 13/412)

Imam Al-Muhaddith Al-Hafiz Ahmad Al-Iraqi (826 H) berkata:

...والله تعالى منزه عن الاستقرار والتحيز والجهة...

Maksudnya: "…sedangkan Allah s.w.t. tidak menetap di sesuatu, tidak mengambil ruang dan tidak bertempat…"
(Torh At-Tathrib 8/84)

Imam Al-Hafiz Ibn Hajar Al-Asqollani (852 H) berkata:

استدل به من أثبت الجهة وقال هي جهة العلو ، وأنكر ذلك الجمهور لأن القول بذلك يفضي إلى التحيز ، تعالى الله عن ذلك

Maksudnya: Golongan yang cuba menetapkan tempat bagi Allah menggunakan hadith ini (hadith nuzul) sebagai hujah bahawa Allah bertempat di atas, sedangkan jumhur ulama' (iaitulah ahlus-sunnah kesemuanya) mengingkarinya kerana perkataan tersebut (Allah bertempat di atas) membawa maksud Allah itu mengambil ruang (bertempat) sedangkan Maha Suci Allah daripada tempat…"
(Fath Al-Bari 3/30)

Imam Ibn Hajar r.a. berkata lagi:

فمعتمد سلف الأئمة وعلماء السنة من الخلف أن الله منزه عن الحركة والتحول والحلول، ليس كمثله شىء

Maksudnya: "Muktamad sebagai pegangan salaf dari kalangan ahlus-sunnah dan juga khalaf bahawasanya Allah s.w.t. tidak bergerak-gerak, tidak berubah-ubah dan tidak bertempat. Tiada yang menyerupaiNya.
(Fath Al-Bari 7/124)

Imam Al-Muhaddith Badruddin Mahmud bin Ahmad Al-'Aini Al-Hanafi (855 H) (salah seorang pensyarah hadith Sahih Al-Bukhari) ada menyebut:

تقرر أن الله ليس بجسم ، فلا يحتاج إلى مكان يستقر فيه، فقد كان ولا مكان

Maksudnya: Telah diketahui bahawasanya Allah s.w.t. tidak berjisim dan tidak memerlukan tempat untuk Dia menetap padanya. Dia wujud tanpa tempat
('Umdah Al-Qari 12/25/117)

Demikianlah sedikit daripada ungkapan sebahagian para ulama' hadith yang jelas berlepas tangan daripada fahaman tuhan bertempat yang cuba diketengahkan oleh golongan mujassimah sehingga hari ini. Aqidah Islam yang sejahtera adalah aqidah tanzih iaitu menyucikan Allah s.w.t. daripada sebarang kekurangan termasuklah menyucikan Allah s.w.t. daripada bertempat dan berjisim.

Hanya mereka yang terus ingin mengikut ta'asub diri mereka terhadap kejahilan dan kesesatan mujassimah sahaja yang terus berkeras kepala untuk terus mempercayai tuhan wujud secara bertempat. Mereka tidak lain hanyalah mengikut hawa nafsu mereka, samada mereka menyedarinya ataupun tidak.


Ulasan-ulasan Para Muhadithin Muhaqqiqin (yang teliti) Terhadap Hadith Al-Jariyyah

Hendaklah difahami bahawasanya, hadith-hadith itu bukanlah suatu nas-nas yang mana semua orang boleh berinteraksi dengannya sesuka hatinya atau berdasarkan apa yang dikehendakinya. Para ahli ilmu khususnya ahli hadith mempunyai suatu manhaj ilmiah yang sangat luas lagi mendalam dalam menjadi panduan ketika berinteraksi dengan nas-nas Islami.

Kita akan kupaskan setelah ini, kecelaan bagi mereka yang tidak mempunyai latar belakang ilmu yang mendalam dalam bidang hadith, untuk menyelami perbahasan-perbahasan yang tinggi seperti membahaskan hadith ini dengan makna zahir lalu menyalahi fahaman as-sawadh al-a'zhom dalam memahaminya.

Imam Abu Hanifah ketika ditanya:

أرأيت لو قيل أين الله تعالى ؟ فقال - أي أبو حنيفة : يقال له كان الله تعالى ولا مكان قبل أن يخلق الخلق ، وكان الله تعالى ولم يكن أين ولا خلق ولا شىء ، وهو خالق كل شىء

Maksudnya: "Apa pendapatmu kalau kamu ditanya tentang di mana Allah?" Lalu Imam Abu Hanifah menjawab: "Dikatakan kepadanya bahawasanya Allah s.w.t. wujud tanpa bertempat sebelum menciptakan tempat. Maka dia wujud sebelum wujudnya "di mana" it sendiri malah sebelum wujud sebarang makhluk. Allah s.w.t. yang Maha Pencipta bagi segala sesuatu…"
(Al-Fiqh Al-Absath, Himpunan risalah-risalah Imam Abi Hanifah yang ditahqiq oleh Imam Al-Kauthari m/s 25)

Ini jelas menunjukkan bahawasanya aqidah salafus-soleh tidak memahami aina Allah tersebut dengan membawa fahaman Allah bertempat di atas langit. Mereka menafikan tempat bagi Allah s.w.t..

Al-Hafiz Imam An-Nawawi berkata dalam syarah beliau terhadap Sahih Muslim tentang hadith aina Allah tersebut:


قوله صلى الله عليه وسلم: أين الله ؟ قالـت في السماء ، قال: من أنا قالت: أنت رسول الله، قال: أعتقها فإنها مؤمنة هذا الحديث من أحاديث الصفات وفيها مذهبان:ـ

أحدهما: الإيمان به من غير خوض في معناه مع اعتقاد أن الله تعالى ليس كمثله شئ وتنـزيهه عن سمات المخلوقات.

والثاني: تأويله بما يليق به، فمن قال بهذا قال: كان المراد امتحانها هل هي موحدة تـقر بأن الخالق المدبر الفعال هو الله وحده وهو الذي إذا دعاه الداعي استقبل السماء كما إذا صلى المصلي استقبل الكعبة، وليس ذلك لأنه منحصر في السماء كما أنه ليس منحصرا في جهة الكعبة بل ذلك لأن السماء قبلة الداعين كما أن الكعبة قبلة المصلين.

Maksudnya: "Hadith ini adalah daripada hadith-hadith sifat (mutasyabihat) yang dalam memahaminya ada dua mazhab (metod).

"Pertama: ialah beriman dengannya (hadith tersebut) tanpa mendalami apa yang dimaksudkannya disertai dengan aqidah bahawasanya Allah s.w.t. tidak menyerupai sesuatu apa pun dan mensucikanNya daripada segala tanda-tanda atau sifat-sifat makhluk.

"Kedua: mentakwilkan hadith tersebut dengan apa yang layak bagi Allah. Maka sesiapa yang berpegang dengan jalan yang kedua ini, berpeganglah dia dengan bahawasanya yang dimaksudkan dengan hadith tersebut ialah Junjungan Nabi s.a.w. menguji jariah tersebut untuk mengetahui sama ada dia seorang ahli tauhid yang mengakui Maha Pencipta, Maha Pentadbir dan Maha Pembuat adalah Allah semata-mata, yang mana Dialah Tuhan yang apabila seseorang memohon kepadaNya maka dia menghadap ke langit sebagaimana apabila seseorang sembahyang dia menghadap kaabah, dan tidaklah perlakuan sedemikian ini (iaitu menghadap ke langit ketika berdoa atau menghadap kaabah ketika bersolat) menunjukkan bahawasanya Allah terbatas di langit sebagaimana juga tidaklah Dia terbatas pada posisi kaabah (yakni Allah tidak dibatasi oleh sebarang tempat kerana Dia Maha Suci daripada segala tempat dan arah, subhanAllah). Bahkan perbuatan menghadap ke langit itu adalah kerana langit itu adalah kiblat orang yang berdoa sebagaimana kaabah itu kiblat bagi orang yang solat".


Kemudian, Imam An-Nawawi menukilkan seperti berikut:

"Imam Al-Qadhi 'Iyad berkata:

لا خلاف بين المسلمين قاطبة - محدثهم ومتكلمهم ومقلدهم ونظارهم - أن الظواهر الواردة بذكر الله في السماء كقوله: ((أأمنتم من في السماء)) أنها ليست على ظاهرها، وأنها متأولة عند جميعهم...

"Tidak ada khilaf di kalangan umat Islam sekaliannya samada dari kalangan ahli-ahli fiqh, ahli-ahli hadith mereka, ahli-ahli kalam, para pemuka mahupun pengikut mereka bahawasanya segala nas yang pada zahirnya menyebut Allah di langit seperti firman Allah ta`ala: "Patutkah kamu merasa aman (tidak takut) kepada Tuhan (yang pusat pemerintahanNya) di langit itu, menunggang-balikkan bumi menimbus kamu…" dan sebagainya tidaklah dimaksudkan dengan makna zahirnya. Bahkan, ianya ditakwilkan di sisi mereka semua (bukan difahami dengan makna zahir."


Imam Al-Qurthubi pula ada menyebut dalam kitab Al-Mufhim yang mensyarahkan lafaz-lafaz hadith dalam Sahih Muslim pada hadith Al-Jariyyah ini:

وقوله صلى الله عليه وسلم للجارية أين الله هذا السؤال من النبي صلى الله عليه وسلم أراد أن يُظهر منها ما يدلُ على أنها ليست ممن يعبُدُ الأصنام ولا الحجارة التي في الأرض، فأجابت بذلك وكأنها قالت إن الله ليس من جنس ما يكون في الأرض

وأين ظرف يسأل به عن المكان كما أن متى ظرف يُسأل به عن الزمان ...وهو لا يصحُّ إطلاقه على الله تعالى بالحقيقة إذ الله تعالى منـزه عن المكان كما هو منـزه عن الزمان بل هو خالق الزمان والمكان ولم يـزل موجودا ولا زمان ولا مكان وهو الآن على ما عليه كان

Maksudnya: "Adapun sabda Nabi s.a.w. kepada Al-Jariyyah tersebut dengan perkataan "Aina Allah?" merupakan soalan daripada Rasulullah s.a.w. yang mengkehendaki bukti daripada hamba perempuan tersebut samada dia bukan penyembah berhala mahupun penyembah batu yang di bumi. Maka hamba perempuan menjawab dengan jawapan tersebut seolah-olah cuba menjelaskan bahawasanya Allah bukanlah daripada jenis-jenis tuhan di bumi (yang disembah oleh musyrikin).

"Aina adalah perkataan yang ditanya dengan menggunakannya untuk mengetahui sesuatu tempat sebagaimana juga mata adalah perkataan yang ditanyakan untuk mengetahui masa… (Adapun pertanyaan dengan aina (di mana) tersebut) tidak boleh ditujukan kepada Allah secara hakikatnya kerana Allah s.w.t. tidak bertempat sebagaimana Dia tidak diliputi oleh sebarang masa. Bahkan Dialah pencipta masa dan tempat sedangkan Dia wujud sejak azali tanpa bertempat dan tanpa diliputi oleh masa. Dia wujud kini sebagaimana Dia wujud sejak azali.



Imam Abu Al-'Abbas Ahmad Al-Qurtubi berkata juga lagi:

هو الله لا أيـن ولا كـيـف عنـده ولا حَدَّ يحويه ولا حصرَ ذي حَدِّ

Maksudnya: Dialah Allah, tanpa di mana dan tanpa tatacara bagiNya. Dia tidak dibatasi oleh sebarang batasan yang meliputi.
(Tobaqot As-Syafi'iyyah: terjemah Abi Al-Hasan Al-Asy'ari 3/428)



Imam Husein bin Muhammad At-Tayyibi (743 H) ketika mengulas tentang hadith Al-Jariyyah ini berkata:

لم يُرِد - أي الرسول - السؤال عن مكانه - أي الله - فإنه منزه عنه

Maksudnya: "Tiada dikehendaki oleh Rasulullah s.a.w. ketika bertanya tersebut untuk bertanya tentang tempat bagi Allah s.w.t. kerana Maha Suci Allah s.w.t. daripada bertempat…"
(syarh At-Tayyibi 'ala Misykat Al-Masobih 6/340)


Imam Jahbal (733 H) berkata pula:

ولا يقال له أين ولا حيث، يُرَى لا عن مقابلة ولا على مقابلة ، كان ولا مكان ، كوَّن المكان ، ودبَّرَ الزمان ، وهو الآن على ما عليه كان ، هذا مذهب أهل السنة ،

Maksudnya: "Tidak dikatakan bagi Allah, di mana dan bagaimana. Dia dilihat oleh orang-orang beriman di Akhirat tanpa bertentangan tanpa berpalingan. Allah wujud tanpa bertempat lalu menciptakan tempat dan mentadbir masa. Dia wujud kini sebagaimana Dia wujud sejak azali (tanpa tempat). Inilah mazhab ahli sunnah. (
tobaqot As-Syafi'iyyah Al-Kubra: 9/41)

Imam Fakhruddin Al-Razi ada menyebutkan berkenaan hadith Al-Jariyyah ini bahawaasnya, ianya tidak membawa kepada Allah bertempat kerana dalil daripada surah Al-An'aam ayat 12 dan 13 menunjukkan bahawasanya tempat dan masa serta apa yang wujud dalam keterbatasan pada kedua-duanya adalah milik Allah s.w.t.. Oleh yang demikian, Allah s.w.t. tidak bertempat dan tidak diliputi oleh masa sama sekali. (rujuk Asas At-Taqdis dalam mensyarahkan hadith tersebut)

Imam Ibn Al-Jauzi ketika mengulas tentang hadith Al-Jariyyah ini menyebutkan

قلت قد ثبت عند العلماء أن الله تعالى لا تحويه السماء والأرض و لا تضمه الأ قطار، وإنما عرف بإشاراتها تعظيم الخالق عندها

Maksudnya: Telah tetap bagi ulama' bahawasanya Allah s.w.t. tidak diliputi oleh langit mahupun bumi dan tidak terangkum dalam mana-mana tempat. Namun, Rasulullah s.a.w. mengetahui dengan isyarat hamba perempuan tersebut bahawa dia mengagungkan Maha Pencipta"
(Daf' Syubah At-Tasybih 189)

Imam Abu Bakr Ibn Al-Arabi pula berkata dalam syarh Sunan At-Tirmizi tentang hadith tersebut:

والمراد بالسؤال بها عنه تعالى المكانة فإن المكان يستحيل

Maksudnya: "Yang dimaksudkan dengan soalan "Aina Allah" adalah bertanyakan kepada hamba perempuan tersebut tentang kedudukan Allah s.w.t. bukan bertanya tentang tentang tempat bagi Allah s.w.t. kerana tempat bagi Allah s.w.t. adalah mustahil…"
(Syarh Sunan At-Tirmizi 11/273)


Imam Muhammad bin Khalifah Al-Ubbi dalam syarah Muslim beliau (Al-Ikmal) mengulas hadith tersebut dengan berkata:

وقيل إنما سألها بأين عما تعتقده من عظمة الله تعالى، وإشارتها إلى السماء إخبار عن جلاله في نفسها

Maksudnya: "Dikatakan bahawasanya Rasulullah s.a.w. bertanya kepada hamba perempuan tersebut dengan soalan "aina" untuk bertanya tentang pegangan hamba tersebut tentang keagungan Allah s.w.t., lalu hamba perempuan tersebut menunjukkan ke langit dalam menjelaskan keagungan Allah dalam dirinya (bukan mengenai tempat Allah)"
(Ikmal Al-Mu'allim pada syarah hadith tersebut)

Imam Muhammad As-Sanusi Al-Hasani dalam Mukammil Ikmal turut mensyarahkan hadith Al-Jariyyah tersebut dengan makna takwilan iaitu keagungan Allah s.w.t..

Imam Al-Baji ketika mensyarahkan hadith ini juga ada menyebut:

لعلها تريد وصفه بالعلو وبذلك يوصف كل من شأنه العلو فيقال فلان في السماء بمعنى علو حاله ورفعته وشرفه

Maksudnya: "boleh jadi yang dimaksudkan oleh hamba perempuan tersebut adalah menyifatkan Allah dengan ketinggian, iaitu ketinggian keagunganNya, kerana dikatakan seseorang itu di langit dengan makna ketinggian keadaannya dan ketinggian darjat kemuliaannya".
Rujuk kitab Al-Muntaqi.


Demikian sedikit sebanyak syarah kepada hadith Al-Jariyyah versi aina Allah yang diriwayatkan oleh Imam Muslim ini. Majoriti ulama' salaf dan khalaf iaitulah ulama' ahlus-sunnah wal jamaah memalingkan aina Allah daripada makna zahirnya yang membawa kepada kejisiman. Lebih jelas lagi, sebahagian besar daripada mereka (ulama' muktabar) membuat ulasan yang menafikan "sekeras-kerasnya" fahaman tajsim dan fahaman tuhan bertempat daripada hadith Al-Jariyyah ini, dengan memberi makna keagungan, ketinggian kedudukan Allah dan sebagainya.

Mereka mensyarahkan hadith Al-Jariyyah dengan makna keagungan dan sebagainya tanpa menetapkan makna zahir Allah di langit pada hadith Al-Jariyyah tersebut bukan berdasakan hawa nafsu mereka, sebagaimana dakwaan sebahagian mujassimah yang jahil lagi menyesatkan, tetapi berteraskan manhaj ilmiah yang sahih lagi mendalam.

Para ulama' hadith seperti Imam Al-Baihaqi, Imam Ibn Al-Jauzi, Imam An-Nawawi, Imam Az-Zahabi, Imam Al-Qurtubi, Imam Ibn Hajar Al-Asqollani dan sebagainya yang terlibat dalam menafikan makna zahir aina Allah daripada Allah s.w.t. merupakan antara rujukan utama umat Islam dalam bidang hadith itu sendiri. Mereka tidak akan mengulas hadith Al-Jariyyah dengan hawa nafsu mereka, sebagaimana sangkaan golongan mujassimah sejak dahulu sehinggalah hari ini.

Adapun mereka yang jahil dan terus ta'asub dengan kejahilan serta para pemimpin mereka, lalu terus menisbahkan tempat bagi Allah s.w.t. dengan nas-nas mutasyabihat terutamanya berkenaan hadith Al-Jariyyah versi Imam Muslim ini, maka merekalah sebenarnya yang samada jahil dengan kerangka dan manhaj ilmiah ulama' Islam, ataupun sengaja mengikut hawa nafsu mereka. Sememangnya mengakui kesalahann diri bagi diri yang sudah bersarang dengan ujub di hati, adalah suatu yang amat berat. Ya Allah, sembuhkanlah penyakit ujub daripada hatiku ini dan hati umat Islam khususnya bagi mereka yang sudah terkeluar daripada landasan majoriti umat Islam ini. Amin…

Thursday, December 01, 2011

Penjelasan Mengenai Hadith Jariyah (Di Mana ALlah?) Bab 6, 7 Dan 8

Penjelasan Mengenai Hadith Jariyah (Di Mana ALlah?) Bab 6


Kajian Dari Sudut Perbandingan Ad-Dilalah (Petunjuk) dalam Riwayat-riwayat Tersebut

Perbahasan sebentar tadi sudah jelas menunjukkan bahawasanya dari sudut sanad sahaja, lafaz hadith Aina Allah adalah marjuh. Kini, kita akan membincangkan pula dari sudut makna antara lafaz-lafaz hadith tersebut, yang mana yang lebih dekat dengan usul aqidah Islam.

Sebagaimana yang difahami daripada hadith-hadith Al-Jariyyah tersebut, Rasulullah s.a.w. bertanya kepada hamba perempuan tersebut dengan tujuan untuk menilai samada dia seorang yang beriman ataupun tidak.

Tujuan dan maksud Rasulullah s.a.w. bertanyakan kepada Al-Jariyyah tersebut demi untuk menilai adakah hamba perempuan tersebut seorang yang perpegang dengan aqidah Islam yang murni.

Berdasarkan daripada tujuan pertanyaan Rasulullah s.a.w. inilah, dapat kita fahami lafaz yang manakah lebih mendekati maksud tujuan pertanyaan Rasulullah s.a.w. tersebut, iaitu untuk menilai keislamannya.

- Lafaz Aina Allah (di mana Allah) Atau Lafaz Bertanyakan Kalimah Syahadah?

- Lafaz "Aina Allah (Di Mana Allah)"

Jika kita menjadikan lafaz hadith riwayat Imam Muslim tersebut sebagai lafaz yang tetap daripada Rasulullah s.a.w., bukan daripada pengaruh perawi, maka ia tidak adil kerana masih ada lagi riwayat yang lain dengan lafaz yang berbeza yang mempunyai jalan sanad yang lebih banyak dan kuat.

Namun, untuk lebih adil dalam menilai, tanpa pengaruh hawa nafsu dan kepentingan taasub kepada kesesatan, kita juga sewajarnya menilai lafaz dalam matan Imam Muslim dan membandingkannya dengan lafaz-lafaz yang lain bagi sampai kepada kehendak soalan Rasulullah s.a.w. tersebut.

Persoalannya, adakah pertanyaan "di mana Allah" membawa kepada tauhid ataupun menetapkan "Allah di atas langit" suatu yang membezakan antara Islam dengan pegangan jahiliyyah orang Arab musyrik pada ketika itu?

Imam Abdullah As-Siddiq Al-Ghumari menjelaskan bahawasanya:
"Sesungguhnya Nabi s.a.w. menjelaskan rukun-rukun Iman dalam hadith Jibril (Sahih Al-Bukhari) menyebut: "Iman adalah kamu beriman kepada Allah, Malaikat, Kitab-kitab, Hari Akhirat dan beriman dengan Qadha dan Qadar", lalu tidak menyebut pula aqidah bahawasanya Allah berada di atas langit.

"Sesungguhnya, aqidah Allah berada di atas langit tidak pernah menetapkan konsep tauhid sama sekali dan tidak juga menafikan syirik itu sendiri. Bagaimana Rasulullah s.a.w. mengetahui keislamannya daripada aqidah tersebut sedangkan orang-orang musyrikinlah yang berpegang dengan aqidah bahawa Allah berada di langit dalam masa yang sama mensyirikkan Allah dalam penyembahan mereka dengan menjadikan tuhan-tuhan di bumi."
(Fath Al-Mu'in: 29)


Rasulullah s.a.w. pernah bertanya kepada Ibn 'Utbah (atau Ibn 'Ubaid) yang musyrik: "Berapa tuhan yang kamu sembah?". Dia menjawab: "Enam tuhan di bumi dan satu tuhan di langit" (Hadith riwayat At-Tirmizi dan Ibn Huzaimah).

Sheikh Dr. Umar Abdullah Kamil berkata: "Bukankah ada golongan yang menyembah bulan, bintang, matahari dan sebagainya yang berada di langit? Maka, kepercayaan tuhan di langit tidak membawa kepada keislaman itu sendiri" (hadith Al-Jariyyah: 9)

Bahkan, aqidah Fir'aun juga percaya Tuhan kepada Nabi Musa a.s. berada di langit dalam masa yang sama dia seorang kafir bahkan mendakwa ketuhanan diri. Jadi, soalan di mana Allah tidak membawa kepada maksud untuk mengetahui samada seseorang itu beriman atau tidak dan aqidah Allah di langit tidak menggambarkan keimanan atau keislaman seseorang itu sendiri.

Dari sudut ini juga sudah menjauhkan lafaz hadith riwayat Imam Muslim daripada kehendak sebenar pertanyaan Rasulullah s.a.w. kepada hamba perempuan tersebut berbanding lafaz hadith riwayat Imam Malik dan sebagainya.

- Adakah Persoalan di mana Allah Sesuai bagi Allah Itu Sendiri?

Amirul Mu'minin fi Al-Hadith Imam Ibn Hajar Al-Asqollani r.a. berkata:

فلا يتوجه على حكمه – سبحانه – لِمَ ولا كيف؛ كما لا يتوجه عليه في وجوده أين وحيث

Maksudnya: Tidak boleh mensasarkan perkataan "kenapa" atau bagaimana kepada ketentuan Allah sebagaimana tidak boleh mensasarkan perkataan "di mana" dan "bagaimana" untuk membahaskan tentang wujud Allah".
(Fath Al-Bari 1/221)



Imam As-Subki ada menyebut dalam As-Saif As-Saqil m/s 94:

أقول : أما القول : فقوله صلى الله عليه وآله وسلَّم للجارية أين الله؟ قالت : في السماء وقد تكّلم الناس عليه قديما وحديًثا

Maksudnya: "Aku berkata: Adapun perkataan Rasulullah s.a.w. kepada hamba perempuan tersebut dengan lafaz di mana Allah, lalu hamba perempuan tersebut berkata: Allah di langit", maka ianya telah diperkatakan oleh ramai ulama' dahulu dan terkini mengenainya (dinilai).




Imam Ibn Rusd Al-Jadd Al-Maliki ada berkata juga:

فلا يقال أين ولا كيف ولا متى لأنه خالق الزمان والمكان

Maksudnya: "Tidak boleh ditanyakan kepada Allah dengan soalan di mana, bagaimana dan bila kerana Allah s.w.t. adalah pencipta masa dan tempat".
Al-Madkhal: Nasa'ih Al-Murid 3/181)


Imam Abu Al-Abbas Ahmad bin Ibrahim Al-Qurthubi berkata dalam kitab Al-Mufhim (syarah Sahih Muslim):

وأين ظرف يسأل به عن المكان كما أن متى ظرف يُسأل به عن الزمان ...وهو لا يصحُّ إطلاقه على الله تعالى بالحقيقة إذ الله تعالى منـزه عن المكان كما هو منـزه عن الزمان بل هو خالق الزمان والمكان ولم يـزل موجودا ولا زمان ولا مكان وهو الآن على ما عليه كان

Maksudnya: "Aina adalah perkataan yang ditanya dengan menggunakannya untuk mengetahui sesuatu tempat sebagaimana juga mata adalah perkataan yang ditanyakan untuk mengetahui masa… (Adapun pertanyaan dengan aina (di mana) tersebut) tidak boleh ditujukan kepada Allah secara hakikatnya kerana Allah s.w.t. tidak bertempat sebagaimana Dia tidak diliputi oleh sebarang masa. Bahkan Diala pencipta masa dan tempat sedangkan Dia wujud sejak azali tanpa bertempat dan tanpa diliputi oleh masa. Dia wujud kini sebagaimana Dia wujud sejak azali. (rujuk Al-Mufhim pada komen terhadap hadith tersebut)



Demikianlah sebagaimana yang dijelaskan oleh para ulama' yang muktabar bahawasanya perkataan ataupun persoalan aina (di mana) Allah s.w.t. itu sendiri tidak layak ditujukan kepada Allah s.w.t.. Oleh yang demikian, Imam Al-Kauthari menjelaskan bahawasanya, ianya (lafaz aina) kembali kepada Mu'awiyah itu sendiri yang bukanlah dari kalangan sahabat yang terkenal dalam keilmuannya. Bahkan, dalam hadith tersebut juga menggambarkan kedudukan Saidina Mu'awiyyah bin Al-Hakam yang masih baru dalam memeluk Islam sehinggakan masalah bercakap dalam solat tidak dibenarkan juga tidak diketahui olehnya (rujuk ta'liqat Al-Kauthari 'ala As-Saif As-Saqil dan dalam ta'liqat Al-Kauthari 'ala Al-Asma' wa As-Sifat 532)

Nota ini merupakan salah satu nota utama yang menunjukkan betapa lafaz aina Allah ini adalah marjuh (lemah berbanding riwayat lain) kerana ianya tidak layak ditujukan kepada Allah s.w.t..

Ia juga kembali kepada pengaruh perawi dalam matan hadith Al-Jariyyah in yang menjadi perbahasan utama sejak di awal perbahasan mengenai hadith ini.

- Lafaz Aina Allah Tidak Langsung Membawa Kepada Penilaian Tauhid

Dalam aqidah Islam yang sejahtera, sudah jelas dalam hadith Jibril bahawasanya rukun Iman yang asasi ada enam perkara iaitulah beriman kepada Allah, Malaikat, Kitab-kitab, para rasul, hari Akhirat dan Qadha' dan Qadar Allah.

Oleh yang demikian, bertanyakan tentang salah satu daripada rukun-rukun iman tersebut merupakan lebih utama untuk mengetahui seseorang itu beriman ataupun tidak.

Fahaman tuhan berada atau bertempat di atas langit dianuti oleh Yahudi, Kristian, Budha, Hindu dan sebagainya. Bahkan, orang-orang Musyrik di Makkah dan Arab Jahiliyyah juga ada yang mempercayai fahaman tuhan di langit tersebut.

Maka, pertanyaan tersebut tidak pula membawa kepada maksud daripada apa yang ingin dinilai oleh Rasulullah s.a.w. tersebut, iaitu keislaman hamba perempuan tersebut sama sekali.

- Pertanyaan tentang Kalimah Syahadah:

Adapun bertanya tentang kalimah syahadah ("adakah kamu mengakui (bersaksi) bahawa tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah?") merupakan suatu lafaz yang lebih dekat maksudnya kepada apa yang ingin ditanyakan oleh Rasulullah s.a.w. kepada hamba perempuan tersebut di samping sanadnya lebih banyak daripada hadith tersebut dengan lafaz aina Allah.

- Syawahid: Hadith-hadith Menceritakan Asas Ukuran Keislaman Seseorang Adalah Kalimah Syahadah

Rasulullah s.a.w. telah memberi suatu kaedah umum untuk membuktikan keislaman dan keimanan seseorang terhadap aqidah Islam dengan konsep kalimah syahadah. Hal ini berdasarkan banyak hadith-hadith tentang makna tersebut antaranya:

Pertama: Rasulullah s.a.w. bersabda:

أمرت أن أقاتل الناس حتى يشهدوا أن لا إله إلا الله وأني رسول الله

Maksudnya: "Aku diperintahkan agar memerangi manusia (menyebarkan risalah Islam) sehinggalah mereka bersaksi (mengakui) bahawasanya tiada tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah dan aku adalah utusan Allah "
(Hadith riwayat Al-Bukhari dalam sahihnya 1/497 dan Muslim dalam sahihnya 1/51-52)

Imam As-Suyuti menyebut dalam kitab Al-Jami'e As-Shoghir (no 1630) setelah meriwayatkan hadith ini dengan berkata: "hadith ini mutawatir".

Adapun Imam Al-Munawi dalam syarahnya menjelaskan tentang hadith ini bahawa ianya mutawatir kerana diriwayatkan oleh lima belas orang sahabat. Imam Al-Muhaddith Al-Kattani dalam buku nazm al-mutanathir mengatakan, Imam Az-Zabidi menjelaskan bahawasanya hadith ini mutawatir kerana diriwayatkan oleh enam belas orang sahabat sebagaimana juga dikatakan oleh Imam Al-Iraqi.

Kedua: Saidina Ibn Umar r.a. meriwayatkan bahawasanya ketika Rasulullah s.a.w. ingin mengetahui adakah Ibn As-Shoyyad samada dia islam ataupun tidak, maka Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Adakah kamu bersaksi (mengetahui) bahawasanya aku adalah utusan Allah?".
Hadith riwayat Imam Al-Bukhari (6/171)

Hadith ini merupakan asas bagi penilaian keislaman seseorang yang digambarkan sendiri oleh Saidina Rasulullah s.a.w.. Penilaian terhadap keislaman seseorang jelas adalah berdasarkan ucapan kalimah syahadah sebagaimana yang menjadi pegangan utama umat Islam berdasarkan dalil-dalil mutawatir tersebut.

Hadith Ketiga: Diriwayatkan daripada Saidina Ibn Abbas r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda kepada Saidina Mu'az r.a. ketika mengutuskannya dalam berdakwah:

إنك تأتي قوما من أهل الكتاب فأدعهم إلى شهادة أن لا إله إلا الله وأني رسول الله

Maksudnya: "Bahawasanya kamu datangi kaum ahli kitab dan mengajak mereka kepada syahadah bahawasanya tiada tuhan selain daripada Allah dan bahawasanya aku adalah rasul Allah…"
(hadith riwayat Imam Muslim 1/50)


Hadith Keempat: Diriwayatkan daripada Abi Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda kepadanya:
"…sesiapa sahaja yang mengucap dua kalimah syahadah dengan penuh keyakinan terhadap maknanya, maka khabarkanlah syurga baginya…"
(hadith riwayat Imam Muslim 1/60)


Demikianlah hujah-hujah (syawahid) bahawasanya lafaz syahadah adalah lebih tepat yang ditanyakan oleh Rasulullah s.a.w. kepada hamba perempuan tersebut kerana ianya berdasarkan hadith-hadith yang disebutkan sebentar tadi. Rasulullah s.a.w. sendiri mengajarkan akan asas ukuran keislaman dan keimanan seseorang adalah dengan lafaz kalimah syahadah yang mana ianya difahami oleh para sahabat r.a. yang sudah lama bersahabat dengan Rasulullah s.a.w..

- Riwayat-riwayat Pertanyaan Kalimah Syahadah Dalam Kisah yang Berbeza

Di samping syawahid (hujah-hujah dalam membela lafaz hadith kalimah syahadah tersebut) secara prinsip Islami (iaitu kalimah syahadah adalah ukuran keislaman seseorang), terdapat juga syawahid (hujah-hujah penguat) bagi hadith Al-Jariyyah dengan lafaz pertanyaan kalimah syahadah berdasarkan situasi-situasi yang hampir sama dengan kisah Al-Jariyyah tersebut di mana dalam situasi-situasi tersebut juga, Rasulullah s.a.w. bertanyakan kalimah syahadah untuk menilai keislaman seseorang.

Antaranya:-


Hadith Pertama:


عن الشريد بن سويد الثقفي قال قلت يا رسول الله إن أمي أوصت أن نعتق عنها رقبة وعندي جارية سوداء قال: ادع بها فجاءت فقال: من ربك؟ قالت: الله ، قال: من أنا ؟ قالت: أنت رسول الله ، قال: أعتقها فإنها مؤمنة

Maksudnya: Daripada As-Syarid bin Suwaid As-Saqofi bahawasanya beliau berkata: "Saya berkata: "Wahai Rasul Allah. Sesungguhnya ibuku telah mewasiatkan kepadaku untuk memerdekakan bagi pihaknya seorang hamba sahaya dalam masa yang sama saya mempunyai hamba perempuan yang berkulit gelap." Rasulullah s.a.w. bersabda: "Bawakan dia ke mari".

Setelah hamba perempuan tersebut datang lalu Rasulullah s.a.w. bertanya kepadanya: "Siapa tuhan kamu?" Hamba perempuan itu menjawab: "Allah". Rasulullah s.a.w. bertanya lagi: "Siapa pula aku?" Hamba perempuan itu menjawab: "Kamu adalah utusan Allah". Rasulullah s.a.w. lalu bersabda: "Merdekakanlah dia kerana sesungguhnya dia seorang yang beriman".


Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Ibn Hibban dalam sahihnya (1/418-419).

Hadith Kedua: Juga lafaz hadith yang sama dengan riwayat Imam Ibn Hibban tentang kisah As-Syarid dengan hamba perempuannya tersebut yang diriwayatkan juga oleh Imam An-Nasa'ie dalam As-Sunan Al-Kubra 6/252.

Hadith Ketiga: Juga dengan lafaz hadith yang sama dengan riwayat Imam Ibn Hibban dan An-Nasa'ie yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam musnadnya.

Hadith Keempat: Hadith yang diriwayatkan oleh Ad-Darimi dalam sunannya daripada kisah As-Syarid juga dengan lafaz pertanyaan Rasulullah s.a.w. kepada hamba tersebut:

أتشهدين أن لا إله إلا الله

Maksudnya: "Adakah kamu bersaksi (mengakui) tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah?".


Sekian hadith ini juga menunjukkan kuatnya lafaz pertanyaan kalimah syahadah dalam hadith Al-Jariyyah versi Mu'awiyyah bin Al-Hakam yang diriwayatkan oleh Imam Malik dan sebagainya.

Kesimpulan dan Tarjih

Berdasarkan sekurang-kurangnya lima jalan riwayat hadith Al-Jariyyah dengan lafaz kalimah syahadah atau siapa tuhan kamu (iaitu tawabie': jalan-jalan riwayat yang lain yang menguatkan sesuatu jalan), ditambahi pula dengan sekurang-kurangnya empat hadith yang menunjukkan asas ukuran keislaman dan keimanan seseorang adalah dengan kalimah syahadah (iaitu syawahid) dan empat riwayat yang menunjukkan kisah hamba perempuan As-Syarid r.a. yang menggunakan lafaz pertanyaan kalimah syahadah ataupun siapa tuhan kamu, menjadikan hadith Al-Jariyyah versi pertanyaan kalimah syahadah adalah lebih kuat daripada hadtih Al-Jariyyah versi pertanyaan aina Allah (di mana Allah).

Berdasarkan penilaian ilmiah, tanpa ta'asub dengan kesesatan fahaman mujassimah, pasti seseorang pengkaji secara jelas mengetahui bahawasanya hadith Al-Jariyyah versi aina Allah (di mana Allah) yang diriwayatkan oleh Imam Muslim adalah marjuh (lemah dari sudut matannya walaupun sahih sanadnya) jika dibandingkan dengan sekian banyak hadith dengan banyak jalan riwayat yang menguatkan hadith Al-Jariyyah versi pertanyaan tentang kalimah syahadah.

Di hamparan pengkajian ilmiah ini, justeru tiada lagi hujah bagi golongan mujassimah untuk menggunakan lafaz hadith Al-Jariyyah versi Aina Allah ini kerana jelas marjuh lagi syaz (bercanggah dengan riwayat yang lebih banyak lagi kuat) atau mudthorib (hampir sama maknanya dengan syaz dari sudut matan), melainkan berdasarkan faktor mengikut hawa nafsu mereka semata-mata untuk bersikap keras kepala dalam terus menjaja hadith Al-Jariyyah ini dalam menetapkan kesesatan fahaman Allah wujud bertempat ini.

Mereka sering bukan sahaja menggunakan hadith-hadith mengikut hawa nafsu mereka tanpa mizan (neraca) ilmiah yang sejahtera, malah turut menggunakan perkataan-perkataan sebahagian ulama' dengan kefahaman yang berbeza sebagaimana dengan kefahaman sebenar ulama' tersebut.

Sememangnya sudah jelas, lafaz Aina Allah itu sendiri menurut sebahagian besar ulama' ahlus-sunnah, merupakan suatu yang tidak layak ditujukan kepada Allah dengan makna hakiki, malah, lafaz aina Allah juga bercanggah dengan asas ukuran keislaman seseorang yang digariskan oleh Rasulullah s.a.w. dalam banyak hadith mutawatir. Hadith riwayat Imam Muslim ini sekurang-kurangnya berdarjat ahad (diriwayatkan oleh tidak lebih tiga orang dalam satu peringkat masa) yang tidak boleh digunakan sebagai hujah setelah bertentangan dengan hadith mutawatir (yang diriwayatkan oleh lebih tiga orang dalam satu peringkat masa).

Imam Al-Kauthari membuat suatu kesimpulan yang menyeluruh dalam penelitian terhadap hadith Al-Jariyyah ini dengan berkata:

وراوي هذا الحديث عن ابن الحكم هو عطاء بن يسار وقـد اختلفت ألفاظه فيه ففي لفظ له: فمد النبي صلى الله عليه وسلم يده إليها وأشار إليها مستفهما مَن في السماء ... الحديث ، فتكون المحادثة بالإشارة على أن اللفظ يكون ضائعا مع الخرساء الصماء فيكون اللفظ الذي أشار إليه الناظم والمؤلف لفظ أحد الرواة على حسب فهمه لا لفظ الرسول صلى الله عليه وسلم ومثل هذا الحديث يصح الأخذ به فيما يتعلق بالعمل دون الاعتقاد حيث اشتمل على تشميت العاطس في الصلاة ومنع النـبي صـلى الله عليه وسلم عن ذلك ولم يخرجه البخاري في صحيحه وأخرج في جزء خلق الأفعال ما يتعلق بتشميت العاطس من هذا الحديث مقتصرا عليه دون ما يتعلق بكون الله في السماء وبدون أي إشارة إلى أنه اختصر الحديث.

Maksudnya: "Perawi hadith ini daripada Ibn Al-Hakam adalah 'Atho' bin Yasar. Lafaz hadith tersebut berbeza-beza. Ada lafaz yang berbunyi: "Rasulullah menunjukkan tangannya kepada perempuan tersebut lalu menunjuk isyarat kepadanya dengan membawa maksud siapa di langit… sehingga akhir hadith. Maka, terzahir bahawasanya dialog berlaku secara bahasa isyarat kerana penggunaan lafaz gugur dengan sebab berinteraksi dengan seorang hamba perempuan yang bisu. Maka lafaz yang digunakan oleh penulis hadith adalah lafaz yang diolah oleh salah seorang perawi hadith ini berdasarkan kefahamannya terhadap situasi tersebut, bukan lafaz Rasulullah s.a.w. itu sendiri.

"Hadith sebegini hanya boleh digunakan dalam masalah amal, bukan masalah aqidah. Ini kerana, dalam hadith ini mengandungi perbuatan mengucapkan ucapan kepada orang yang bersin di dalam solat lalu Rasulullah s.a.w. melarang perbuatan tersebut.

"Imam Al-Bukhari sendiri tidak meriwayatkan hadith tersebut dalam kitab sahihnya. Imam Al-Bukhari walaubagaimanapun, ada meriwayatkan hadith tentang tasymit (ucap yarkamkaLlahi) bila seseorang bersin tanpa meriwayatkan sebarang penambahan hadith yang menceritakan tuhan di langit, dalam juz'u khalq al-af'alnya (risalah himpunan hadith-hadith dalam perkara cabang iaitu berkaitan penciptaan perbuatan makhluk yang dihimpunkan oleh Imam Al-Bukhari) tanpa sedikitpun menunjukkan hadith tersebut dipendekkan". (Ta'liqat Al-Kauthari 'ala As-Saif As-Saqil pada komennya terhadap hadith Al-Jariyyah tersebut).

Di sini, Imam Al-Kauthari telah membuat suatu kesimpulan yang ringkas dan padat yang mencakupi hampir kesemua perbahasan dalam risalah ini.

Pertama: Beliau menguatkan pendapat bahawasanya hamba perempuan tersebut seorang yang bisu. Maka, kemungkinan bagi beliau, dialog antara Rasulullah s.a.w. dengan hamba perempuan tersebut adalah dengan isyarat.

Ataupun, dialog tersebut berlaku dengan lafaz daripada Rasulullah s.a.w. kepada hamba perempuan tersebut dan hamba perempuan tersebut menjawabnya dengan isyarat.

Jika kemungkinan yang kedua ini (iaitu Rasulullah s.a.w.) berinteraksi dengan hamba perempuan tersebut dengan lafaz, maka lafaz yang paling rajih (kuat) yang digunakan oleh Rasulullah s.a.w. adalah lafaz pertanyaan tentang kalimah syahadah (adakah kamu mengakui tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah?) berbanding lafaz aina Allah berdasarkan banyak hujah yang disebutkan sebelum ini.

Pendirian Imam Al-Kauthari dan sebahagian ulama' lain bahawasanya kedua-dua pihak (Rasulullah s.a.w. dengan hamba perempuan) tersebut berinteraksi dengan isyarat untuk membuat kesimpulan bahawasanya lafaz hadith yang berbeza-beza daripada sanad yang berbeza-beza tersebut adalah olahan semula perawi-perawi hadith dalam menggambarkan perisitiwa tersebut.

Saidina Mu'awiyyah yang meriwayatkan peristiwa ini dengan lafaz di mana Allah adalah berdasarkan kefahamnnya terhadap situasi yang berlaku tersebut, dalam masa yang sama beliau sendiri masih baru memeluk Islam dan tidak mahir dalam penggunaan lafaz yang sesuai bagi Allah s.w.t., sebagaimana yang dinilai oleh Imam An-Nawawi yang akan dibincangkan kemudian.

Kedua: Walaupun situasi yang berlaku adalah dialog, iaitu hamba perempuan tersebut tidak bisu, maka yang rajih tetap adalah pertanyaan kalimah syahadah berdasarkan tawabi'e (riwayat-riwayat yang saling menguatkan dalam konteks yang sama) dan syawahid (hujah-hujah daripada hadith-hadith yang laing yang menguatkan konteks atau bentuk hadith Al-Jariyyah versi pertanyaan kalimah syahadah tersebut).

Ketiga: Kesimpulan oleh Imam Al-Kauthari juga mencakupi perbahasan di mana hadith Al-Jariyyah ini hanya sesuai dijadikan panduan dalam masalah syariat sahaja, iaitu tidak boleh berkata-kata dalam solat, dan tidak boleh dijadikan hujah dalam masalah aqidah.

Hal ini kerana, dalil yang digunakan dalam masalah aqidah mestilah qat'ie yang membawa kepada keyakinan, sedangkan kedudukan hadith Al-Jariyyah ini, tidak membawa kepada keyakinan, terutamanya lafaz aina Allah tersebut. Hal ini kerana:

- Banyak mengandungi lafaz yang saling bercanggah antara satu sama lain membuatkan ianya kembali kepada pengaruh perawi dalam hadith tersebut.

- Hadith Al-Jariyyah versi Imam Muslim dikatogorikan sebagai muttharrib (iaitu menyalahi yang lebih kuat) dari sudut matannya.

- Hadith Al-Jariyyah adalah hadith ahaad yang bertentangan dengan konsep yang disebutkan dalam hadith-hadith mutawatir.

Keempat: Imam Al-Kauthari menyebutkan bahawasanya, Imam Al-Bukhari sendiri tidak meriwayatkan hadith Al-Jariyyah ini dalam kitab sahihnya. Kalaulah hadith ini sangat penting untuk dijadikan dalil dalam masalah aqidah, pasti Imam Al-Bukhari sendiri akan meriwayatkannya.

Menurut Imam Al-Kauthari lagi, Imam Al-Bukhari ada meriwayatkan sebahagian daripada hadith ini, iaitu tentang larangan terhadap berkata-kata atau mengucap yarhamkallah ketika solat dalam juzu' khalq al-af'al, suatu risalah kecil yang menghimpunkan hadith-hadith mengenai sesuatu bab yang cabang. Ia dikatakan oleh sebahagian ulama', sebagai bahagian yang dikeluarkan oleh Imam Al-Bukhari daripada kitab sahihnya.

Pun begitu, menurut Imam Al-Kauthari, Imam Al-Bukhari tidak meriwayatkan pun mengenai kisah Al-Jariyyah tersebut yang membawa kepada kepercayaan tuhan bertempat di langit dalam juzu' tersebut. Ini menunjukkan bahawasanya, hadith Al-Jariyyah tersebut bukanlah sandaran dalam masalah aqidah itu sendiri.

Bahkan, Imam Muslim sendiri tidak meriwayatkan hadith Al-Jariyyah ini dalam bab Al-Iman, tetapi dalam باب تحريم الكلام في الصلاة"" (bab Haram Berkata-kata dalam Solat) dan sebagainya. Ini menunjukkan bahawasanya Imam Muslim sendiri menggunakan hadith ini dalam masalah amal, bukan dalam masalah aqidah kerana hadith Al-Jariyyah ini sememangnya diketahui mempunyai banyak lafaz yang berbeza-beza yang tidak boleh dijadikan dasar bagi masalah aqidah.

Hanya mereka yang jahil tentang manahij Imam Muslim sahaja terlalu sibuk berhempas-pulas menjadikan hadith Al-Jariyyah ini dalam menetapkan tempat bagi Allah s.w.t. yang melibatkan masalah aqidah.

Oleh yang demikian, kesimpulannya, aqidah Islam itu sendiri menyucikan Allah s.w.t. daripada "bertempat" dan hadith Al-Jariyyah yang mempunyai pelbagai penilaian dari pelbagai sudut yang akhirnya dinilai sebagai marjuh tidak boleh dijadikan dalil untuk menetapkan fahaman Allah bertempat ini. Ini kerana, selain daripada matannya muttharrib dan syaz menurut sebahagian ulama', ianya juga hadith ahaad yang tidak boleh dijadikan sandaran dalam masalah aqidah terutamanya jika bersifat zhonni. Ini suatu manhaj ilmiah yang jelas di sisi ahli ilmu. Hanya mereka yang jahil dan ta'asub sahaja cuba mengingkarinya.

Ditulis Oleh : Mukhlis 101

Penjelasan Mengenai Hadith Jariyah (Di Mana ALlah?) Bab 7
Fasal Kedua: Selayang Pandang Terhadap Hadith Al-Jariyyah Riwayat Imam Muslim 

Suatu hal yang perlu kita sedari bahawasanya, hadith Al-Jariyyah riwayat Imam Muslim dengan lafaz aina Allah ini setelah kita selidiki, didapati bahawasanya ianya tidak boleh dijadikan sandaran kepada masalah aqidah kerana faktor-faktor yang telah diperbincangkan pada fasal yang pertama sebelum ini.

Selain daripada ianya syaz (terasing dengan menyalahi yang lebih banyak) dan mudthorib (marjuh atau lemah berbanding yang lebih kuat) dari sudut matannya, ianya juga merupakan hadith yang kembali kepada berbilang-bilang lafaz sehingga tidak lagi boleh dijadikan dalil yang qat'ie yang membawa kepada ilmu atau keyakinan.

Namun, perbahasan tersebut jika dinilai hadith Al-Jariyyah ini dinilai daripada segenap sudut, samada dari sudut perbandingan riwayat, dari sudut perbandingannya dengan usul Islam, perbandingan sanad dan matan dan sebagainya akan membawa kepada keputusan sedemikian (iaitu hadith Al-Jariyyah versi Imam Muslim adalah mudthorib dan sebagainya).

Adapun jika kita menilai hadith Al-Jariyyah versi riwayat Imam Muslim ini secara zatnya, berteraskan aqidah yang sejahtera, tanpa membuat perbandingan riwayat dan sebagainya (walaupun pada hakikatnya, pembuktian ilmiah perlu melalui proses perbandingan riwayat ini), kita akan dapati, lafaz aina Allah (di mana Allah) dan lafaz fi As-Sama' (Allah di langit) itu sendiri merupakan daripada nas-nas mutasyabihat, yang mana yang dimaksudkan bukanlah dengan makna zahir bagi nas-nas tersebut.

Ia kembali kepada dua pendirian utama ahlus-sunnah wal jamaah iaitu samada tafwidh, menyerahkan makna kepada Allah tanpa mentapkan makna zahir atau ta'wil memberi makna lain berdasarkan kaedah bahasa Arab dan konsep murni aqidah Islam. Kedua-duanya adalah manhaj salaf dan khalaf dalam berinteraksi dengan nas-nas mutasyabihat ini.

Kedudukan Persoalan Aina Allah: Hakiki atau Kiasan?

Sebahagian ulama' lain ketika berinteraksi dengan hadith Al-Jariyyah versi riwayat Imam Muslim ini cuba mengambil langkah untuk mendekatkan makna aina dengan kefahaman yang sahih, iaitu dengan kefahaman yang tidak membawa kepada fahaman tajsim atau "Allah s.w.t. bertempat".

Mereka adalah seperti Imam Ibn Al-Jauzi, Imam An-Nawawi, Imam Al-Qurthubi, Imam Al-Baji dan sebagainya. Mereka dengan aqidah murni Islam, dengan menolak konsep dan fahaman "Allah bertempat di atas Arasy", lalu mensyarahkan hadith Al-Jariyyah versi Imam Muslim ini dengan syarahan yang menepati aqidah murni Islam.

Terlebih dahulu, perkara yang paling perlu difahami oleh mereka yang berinteraksi dengan nas-nas mutasyabihat adalah, apa yang zahir daripada mutasyabihat, dengan maknanya dari sudut bahasa, bukanlah yang dimaksudkan oleh Allah s.w.t. dan Rasul-Nya s.a.w..

Ada makna lain yang dimaksudkan oleh Allah s.w.t. dan Rasul-Nya s.a.w. jika zahir sesuatu nas itu mengandungi kesamaran dan membawa kepada tasybih. Maka, kedudukan nas-nas mutasyabihat ini dipalingkan daripada makna zahirnya dengan dua cara iaitu:

Pertama: Tafwidh Ma'na: Iaitu menyerahkan makna sebenar nas mutasyabihat tersebut kepada Allah s.w.t. tanpa mendalaminya.

Kedua: Ta'wil Qarib: Iaitu memberi makna sebenar (makna lain) kepada nas mutasyabihat tersebut berdasarkan konsep majazi dalam bahasa Arab bersesuaian dengan aqidah Islam yang murni.

Dalam berinteraksi dengan nas aina Allah dalam hadith Al-Jariyyah ini juga, para ulama' ahlus-sunnah wal jamaah, baik salaf mahupun khalaf, menggunakan salah satu daripada dua manhaj tersebut yang mana kedua-duanya sebenarnya adalah ta'wil (palingkan) daripada makna zahir atau daripada maknanya dari sudut bahasa.

Perbahasan mengenai mutasyabihat ini telah banyak alfaqir bincangkan dalam beberapa risalah sebelum ini, maka diharap dapat kembali merujuk semula kepadanya.

Penjelasan Mengenai Hadith Jariyah (Di Mana ALlah?) Bab 8

Aqidah Murni Islam: Tanzih (Mensucikan) Allah daripada Kelaziman-kelaziman Jisim

Aqidah murni Islam, selain daripada mengandungi konsep tauhid (keesaan), ianya juga mengandungi konsep tanzih, iaitu menyucikan Allah s.w.t. daripada sebarang sifat-sifat kekurangan.

Antara sifat-sifat kekurangan adalah dengan menyamakan samada zat, sifat mahupun perbuatan Allah s.w.t. dengan jisim, sifat mahupun perbuatan makhluk. Antara yang membawa kepada menyamakan Allah s.w.t. dengan makhluk adalah dengan menetapkan ciri-ciri kejisiman kepada Allah s.w.t. seperti mendakwa zat Allah bertempat, berjisim, mempunyai anggota tubuh, bergerak-gerak, dibatasi oleh masa dan sebagainya.

Sebagaimana Allah s.w.t. tidak dibatasi oleh masa, begitu juga Dia tidak dibatasi oleh tempat kerana masa dan tempat adalah hasil ciptaan Allah s.w.t.. Mustahil Allah s.w.t. dibatasi oleh makhluk-makhlukNya.

Perkataan Salafus-Soleh dalam Menafikan Tempat dan Jisim bagi Allah s.w.t. (Suatu Pentunjuk Ke Arah Memahami Aqidah Tanzih Mereka)

Saidina Ali r.a. berkata:

كان- الله- ولا مكان ، وهو الان على ما- عليه- كان اهـ. أي بلا مكان

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah s.w.t. itu tidak bertempat. Dia sekarang dalam keadaan seperti mana Dia sebelum ini (iaitu tetap qadim dan abadi tanpa bertempat)”.
(Al-firaq bainal Firaq karangan Abu Mansur: 333)

Beliau berkata lagi



من زعم أن إلهنا محدود فقد جهل الخالق المعبود


Saidina Ali k.r.w.j. berkata lagi: “Sesiapa yang beranggapan bahawa, Tuhan kita mahdud (ada ruang lingkup tertentu atau ada had-had tertentu), bererti dia jahil tentang Tuhan Maha Pencipta lagi Tuhan yang disembah”
(hilyatul Auliya’: 1/73)

Imam Ali Zainal Abidin bin Al-Husein r.a. (94 H) berkata:



أنت الله الذي لا يحويك مكان


Maksudnya: “Sesungguhnya, Engkaulah Allah, yang tidak bertempat” (Ittihaf Saadah Al-Muttaqin:
4/380)


Imam Ja’far As-Sodiq r.a. (148 H) berkata:

من زعم أن الله في شيء، أو من شيء، أو على شيء فقد أشرك.

Maksudnya: “Sesiapa yang mengatakan bahawa Allah s.w.t. berada pada mana-mana tempat, atau berada atas sesuatu, atau berasal daripada sesuatu, maka dia telahpun syirik...”
(risalah Al-Qusyairiyah: 6)

Imam Abu Hanifah r.a. (150H) berkata:

كان الله تعالى ولا مكان قبل أن يخلق الخلق ، وكان الله تعالى ولم يكن أين ولا خلق ولا شىء ، وهو خالق كل شىء

Maksudnya: Allah s.w.t. itu wujud tanpa bertempat sebelum dia menciptakan makhluk. Maka, Allah s.w.t. wujud tanpa di mana, tanpa makhluk dan tanpa sesuatupun (bersamaNya). Dialah yang menciptakan segalanya.
(Al-Fiqh Al-Absath: 25)

Imam As-Syafi’e r.a. (204 H) berkata:

إنه تعالى كان ولا مكان فخلق المكان وهو على صفة الأزلية كما كان قبل خلقه المكان لا يجوز عليه التغيير في ذاته ولا التبديل في صفاته

“Allah s.w.t. wujud tidak bertempat. Dia menciptakan tempat, sedangkan Dia tetap dengan sifat-sifat keabadianNya, sepertimana sebelum Dia menciptakan makhluk. Tidak layak Allah s.w.t. berubah sifatNya atau zatNya.”
(ittihaf saadah Al-Muttaqin: 2/24).

Sheikhul Hanabilah Imam Abu Al-Fadhl meriwayatkan daripada Imam Ahmad r.a. yang berkata ketika mensyarahkan makna istiwa':

هو العلو والارتفاع ولم يزل الله عاليا رفيعا قبل أن يخلق عرشه فهو فوق كل شىء والعالي علي كل شىء... علا ولا يجوز أن يقال استوي بمماسه ولا بملاقاه تعالي الله عن ذلك علوا كبيرا والله تعالي لم يلحقه تغيير ولا تبدل ولا تلحقه الحدود قبل خلق العرش ولا بعد خلق العرش

Maksudnya: "Iaitu ketinggian darjat dan keagunganNya. Allah s.w.t. sentiasa Maha Tinggi dan Maha Tinggi (darjatNya) sebelum Dia menciptakan Arasy. Dia di atas setiap sesuatu dan Maha Tinggi (kedudukanNya) daripada setiap sesuatu… Tidak boleh seseorangberkata bahawasanya, istiwa itu zat Allah s.w.t. menyentuh Arasy atau menempatinya. Maha Suci Allah s.w.t.daripadanya (bertempat tersebut) setinggi-tinggiNya. Dia tidak akan berubah-ubah, tidak dibatasi dengan sebarang batasan sebelum penciptaan Arasy dan setelah kejadian Arasy tersebut"
(Risalah At-Tamimi: 2/265-290)

Imam At-Tohawi (321H) berkata juga:

"وتعالى - أي الله - عن الحدود والغايات والأ ركان والأعضاء والأدوات، لا تحويه الجهات الست كسائر المبتدعات"

Maksudnya: "Maha Tinggi dan Suci Allah s.w.t. daripada sebarang had, sempadan, anggota, dan alat. Dia tidak tertakluk dalam mana-mana sudut yang enam (tidak bertempat).”
(Al-Aqidah At-Tohawiyyah)


Imam Ibn Hibban (354 H) berkata:


كان- الله- ولا زمان ولا مكان

Maksudnya: "Sesungguhnya Allah s.w.t. tidak tertakluk kepada tempat dan masa”
(Al-Ihsan fi tartib sahih Ibn Hibban: 4/8)


Imam At-Tabari r.a. berkata:


فتبين إذا أن القديم بارىء الأشياء وصانعها هو الواحد الذي كان قبل كل شىء ، وهو الكائن بعد كل شىء ، والأول قبل كل شىء ، والآخر بعد كل شىء، وأنه كان ولا وقت ولا زمان ولا ليل ولا نهار، ولا ظلمة ولا نور ولا سماء ولا أرض ولا شمس ولا قمر ولا نجوم ، وأن كل شىء سواه محدث مدبرمصنوع...

Maksudnya: "Jelaslah bahawa Allah s.w.t. qadim, Tuhan kepada seluruh makhluk dan Penciptanya. Dialah yang Maha Esa yang wujud sebelum sesuatu wujud. Dia juga kekal setelah kewujudan makhluk. Dialah yang Maha Awal sebelum segala sesuatu dan Maha Akhir setelah segala sesuatu. Allah s.w.t. itu wujud tanpa masa, zaman, siang, malam, tanpa kegelapan dan tanpa cahaya, tanpa langit, tanpa bumi, tanpa matahari, tanpa bulan dan tanpa bintang. Semua selainNya adalah baharu yang ditadbir dan diciptakan (olehNya)."
(Tarikh At-Tabari : 1/26)



Imam Abu Al-Hasan Al-Asy'ari r.a. (324 H) berkata:

كان الله ولا مكان فخلق العرش والكرسي ولم يحتج إلى مكان

Maksudnya: "Allah s.w.t. wujud tanpa bertempat. Dia menciptakan Arasy dan Kursi tanpa memerlukan kepada tempat."
(tabyiin kazbul muftari: 150)

http://jomfaham.